TV AlHijrah Sambut Ulang Tahun Ke-14 Dengan Memberi Bantuan Kepada Golongan Memerlukan

20 Jul 2024 • 8:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kali ini TV AlHijrah ingin lari daripada kebiasaan sambutan ulang tahun stesen itu.

Sempena meraikan sambutan ulang tahun TV AlHijrah ke-14, stesen ini mengambil pendekatan berlainan dengan memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sebanyak 100 bakul makanan diberikan kepada Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Cheras (Mualaf), Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Al Mahabbah dan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.

Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, kali ini pihaknya ingin lari daripada kebiasaan sambutan ulang tahun stesen itu.

“Selalunya kami yang menerima hadiah atau kek sempena tahun ulang tahun, tapi tahun ini kami ingin berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.

“Kami percaya inisiatif seperti ini lebih dekat dengan masyarakat. Kami sudah mengadakan pelbagai program sambutan, jadi kali ini kita cuba lari daripada kebiasaan.

“Kita perlu berkongsi program yang selalu dibuat tapi tak nampak di televisyen yang mana ia sangat signifikan dengan TV AlHijrah,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan ulangtahun TV AlHijrah di ibu negara,

image is not available
Saifulizan Sidek

Dalam masa sama, Saifulizan berkata, sepanjang lapan tahun turun ke lapangan menerusi program Hijrah Prihatitn, pihaknya sudah menjelajah ke beberapa lokasi yang kurang mendapat tumpuan seperti pulau dan penempatan terpilih di kawasan pedalaman.

Antara pulau itu termasuk Pulau Redang, Pulau Aur, Pulau Pangkor, Pulau Tuba dan empat pulau di Semporna, Sabah.

"Hampir 10 pulau kita sudah pergi. Seperti kita tahu, kos kehidupan di pulau tiga kali ganda lebih tinggi dari tanah besar.

"Jadi, kita bantu mereka dengan tujuan meringankan bebanan. Kami turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Kalau boleh memang nak bagi semua orang merasa. Sebab itu kita cuba sedaya upaya bantu. Ada kes berkala dan ada kita pantau. Bukan nak menunjuk, tapi kita nak memberi galakan kepada rakan-rakan korporat lain untuk sama-sama menyumbang," katanya.

image is not available

TV AlHijrah telah memulakan siaran percubaan pada 1 November 2010 dan telah bersiaran secara rasmi pada 7 Disember 2010.

Pada 1 Jun 2016, stesen ini mula bersiaran selama 24 jam menjadikannya stesen penyiaran Islam pertama berbuat demikian. - Getaran, 20 Julai 2024

Foto : PR