
TRANSFORMASI Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dikaitkan dengan kurikulum baharu, peralatan moden, pensijilan tambahan serta kerjasama strategik. Namun, persoalan lebih besar sejauh mana industri benar-benar terlibat dalam menentukan bentuk latihan, standard kompetensi dan keperluan pekerjaan.
Selagi hubungan tersebut terbatas kepada memorandum persefahaman, tajaan atau latihan industri pada penghujung pengajian, maka perubahan yang berlaku masih belum menyentuh asas sebenar.
TVET 2.0 memerlukan perkongsian tanggungjawab, bukan sekadar pertambahan program.
Keperluan itu semakin mendesak apabila struktur ekonomi berubah pantas. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, misalnya, menyasarkan transformasi 3,000 kilang pintar menjelang 2030 melalui automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).
Perkembangan ini memerlukan tenaga mahir yang bukan sahaja mampu mengendalikan mesin, malah memahami data, sistem pengeluaran, keselamatan serta proses membuat keputusan.
Justeru, industri perlu dilibatkan sejak peringkat pemetaan kompetensi, reka bentuk modul, pemilihan peralatan hingga penilaian prestasi.
Pembelajaran tidak seharusnya hanya berlaku melalui penerangan dalam bilik darjah. Pelatih perlu terdedah kepada tugasan sebenar, penyelesaian masalah, piawaian keselamatan dan budaya kerja sejak awal pengajian.
Pada masa sama, institusi TVET perlu menyesuaikan latihan dengan keperluan ekonomi setempat. Kerjasama antara beberapa syarikat dalam bentuk konsortium boleh membuka akses kepada kemudahan, kepakaran serta teknologi tanpa membebankan perusahaan kecil dan sederhana.
Pendekatan ini juga membolehkan kampus membangunkan pengkhususan berdasarkan potensi wilayah masing-masing.
Kejayaan TVET tidak wajar diukur melalui kadar kebolehpasaran semata-mata. Ukuran lebih bermakna perlu merangkumi kesepadanan pekerjaan, gaji permulaan, perkembangan pendapatan, tempoh kekal dalam industri serta peluang peningkatan kemahiran.
Negara memerlukan graduan yang mampu berkembang menjadi teknologis, penyelia, usahawan dan pencipta penyelesaian.
Dalam usaha itu, pengajar turut perlu diberi pendedahan berkala kepada perkembangan industri melalui penempatan, pensijilan dan penglibatan dalam projek sebenar.
Pakar industri pula wajar diberi ruang sebagai tenaga pengajar bersama supaya berlaku pertukaran pengetahuan secara dua hala.
TVET 2.0 akhirnya bukan sekadar soal membeli peralatan atau memperkenalkan program baharu. Kejayaannya bergantung pada sejauh mana kerajaan, institusi latihan dan industri berkongsi tanggungjawab membentuk tenaga kerja yang benar-benar diperlukan pasaran.
Apabila latihan berasaskan keperluan sebenar pekerjaan, graduan bukan sahaja memperoleh sijil, malah memiliki kemahiran, pengalaman dan nilai produktiviti yang mampu menjamin masa depan mereka. –UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. FOZI HAFIZ HASSAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Kemahiran Belia Negara, Pekan
The post TVET 2.0: Industri jangan jadi penonton appeared first on Utusan Malaysia.



