Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama TVET, industri halal

21 Aug 2026 • 8:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama TVET, industri halal

PETALING JAYA – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama dua hala menerusi penerokaan peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Thailand, Pol. Capt. Anan Boon-Samran bersama delegasi hari ini.

Menurut beliau, kerjasama TVET menjadi antara ruang yang boleh terus diteroka bagi memperkasa pembangunan kemahiran dan modal insan kedua-dua negara.

“Pertemuan ini menjadi ruang yang baik untuk kami bertukar pandangan dalam usaha memperkukuh hubungan yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Thailand serta meneroka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Antara yang kami bincangkan ialah potensi untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang TVET sebagai antara ruang yang boleh terus diteroka dalam usaha memperkasa pembangunan kemahiran dan modal insan kedua-dua negara,” katanya di laman Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya turut membincangkan potensi kerjasama dalam industri halal memandangkan Anan turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal halal di Trang.

Beliau pada masa sama menjemput Thailand, khususnya pemain industri dari Trang, untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 September ini.

“Dalam masa yang sama, sektor pelancongan dan perdagangan juga mempunyai ruang yang besar untuk terus dirancakkan, lebih-lebih lagi dengan hubungan rapat serta pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.

“Saya berharap pertemuan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama yang bersifat praktikal dan memberi manfaat bersama, sama ada melalui TVET, industri halal, pelancongan mahupun perdagangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hubungan Malaysia-Thailand bukan sekadar hubungan antara dua negara berjiran, sebaliknya perlu terus diterjemahkan kepada lebih banyak peluang dan kemakmuran untuk rakyat kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama TVET, industri halal appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved