TVET aeroangkasa jamin peluang luas kerjaya

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: TVET aeroangkasa jamin peluang luas kerjaya

SETIAP tahun, ramai lepasan sekolah setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula mencari tempat di pusat pengajian tinggi untuk menyambung pelajaran di peringkat sijil, diploma mahupun matrikulasi.

Keadaan ini menjadikan saingan antara pelajar menjadi sengit kerana masing-masing menyimpan niat untuk menggenggam segulung sijil atau diploma dalam bidang seperti pengurusan maklumat, perakaunan mahupun bidang pendidikan untuk menjadi guru.

Sebaliknya, tidak ramai yang memilih untuk memburu cita-cita menggenggam sijil mahupun diploma di kolej kemahiran kerana dimomokkan dalam kalangan keluarga dan masyarakat bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Admal Aviation College, Abdul Malek Packeer, pandangan sempit bidang TVET sebagai pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran perlu diperbetulkan.

Menurutnya, kerjaya TVET antaranya dalam bidang penerbangan atau kejuruteraan aeroangkasa yang khusus menyelenggara kapal terbang sememangnya menjanjikan masa depan cerah dengan pendapatan lumayan.

“Hari ini kita mengadakan Hari Terbuka Admal Aviation College dengan memberi fokus untuk membuka ruang kepada lepasan SPM dan ibu bapa mereka mendapatkan maklumat kerjaya dalam bidang penerbangan. Selain itu, kita juga mengadakan sesi temu duga antara lulusan TVET penerbangan dan pemain industri.

“Program hari ini melibatkan kolaborasi antara pihak Admal Aviation College dengan beberapa pemain industri tempatan dan luar negara.

“Kolaborasi ini juga adalah untuk membantu lepasan kolej kami mencari pekerjaan dan kita menolong pihak industri mendapatkan pekerja (berkemahiran dan terlatih) yang mereka perlukan,” katanya sempena Hari Terbuka & Kerjaya Admal Aviation College dan Admal Flying Academy di Salak Tinggi, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Image from: TVET aeroangkasa jamin peluang luas kerjaya
ABDUL MALEK (tujuh dari kiri) bergambar bersama wakil-wakil industri penerbangan pada Hari Terbuka dan Kerjaya Admal Aviation College di Salak Tinggi, Sepang baru-baru ini.

Abdul Malek berkata, bidang TVET penerbangan sentiasa menjanjikan peluang kerjaya yang luas untuk lepasan kolej kejuruteraan penerbangan tersebut.

Katanya lagi, bidang penerbangan bukan sekadar kursus kemahiran memandu kapal terbang yang turut disediakan di Admal Flying Academy (di lokasi sama), malahan mencakupi kemahiran mengendalikan proses teknikal selepas pendaratan kapal terbang dari peringkat menurunkan penumpang dan bagasi, penyelenggaraan minyak dan penghawa dingin sehinggalah pengurusan membawa masuk dan keluar bekalan makanan penumpang.

“Hari ini sebanyak lima pemain industri seperti SIA Engineering Company (dari Singapura), AeroDarat, Base Maintenance Malaysia, Zenix Aerospace dan Airod Aerospace Technology hadir untuk temu duga pekerja.

“Macam-macam jenis pekerjaan ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang hadir. Terdapat lima hingga 10 jenis bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh setiap syarikat terbabit,” katanya.

Abdul Malek berkata, kehadiran lepasan kolej TVET bukan sahaja melibatkan kolejnya tetapi turut membabitkan lulusan dari kolej-kolej TVET lain di negara ini.

Jelasnya yang sudah 25 tahun berpengalaman dalam bidang penerbangan, seramai 600 orang lepasan kolej hadir untuk sesi temu duga dan ia memberi lebih banyak pilihan untuk pemain industri mencari pekerja yang diinginkan.

“Apa yang penting bagi memastikan pekerjaan terjamin, setiap lepasan TVET dari kolej penerbangan mestilah mengikuti terlebih dahulu kursus kemahiran selaras skop pekerjaan yang ditetapkan industri penerbangan itu sendiri.

“Contohnya, untuk menjadi Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (JPPB), sistemnya amat jelas.

“Begitu juga untuk menjadi juruterbang. Segala sistemnya telah ditetapkan oleh industri penerbangan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Oleh itu, kita kena ikut cara-cara industri. Jika kita ikut cara-cara lain (tidak mengikut sistem industri) pelajar secara tidak langsung teraniaya kerana mengikuti pusat kemahiran tanpa kelulusan dan tidak mengikut piawaian pihak berautoriti seperti CAAM,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang prospek kerjaya pelajar Admal Aviation College sendiri, beliau berkata, seramai 2,800 orang lepasan kolej tersebut kini sudah berada dalam pelbagai sektor industri penerbangan di dalam dan luar negara ini.

Tambahnya, Admal Aviation College merupakan antara pengeluar Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (JPPB) terbesar di negara ini sejak pihaknya mendapat kelulusan pihak berkuasa pada tahun 2016.

“Sejak tahun 2020 seramai 400 lepasan kolej kami menjadi JPPB. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Pada pandangan saya, boleh juga dikatakan kami merupakan pengeluar JPPB terbesar di negara ini dengan menghasilkan 60 hingga 80 jurutera tersebut setiap tahun,” ujarnya.

Bagi kursus penerbangan (juruterbang) yang diadakan di Admal Flying Academy, pihaknya telah mendapat kelulusan tahun lalu daripada pihak berkuasa dan buat masa ini seramai 30 pelatih penerbangan sedang menjalani kursus tersebut.

“Kita menyasarkan populasi 80 pelatih juruterbang dalam masa terdekat dan saya berharap kita mampu mengeluarkan 30 juruterbang setiap tahun pada masa depan,” ujarnya.

The post TVET aeroangkasa jamin peluang luas kerjaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved