TVET diperkasa, negeri peruntuk RM20 juta laksana Teraju IKTISASS latih profesional

LocalTechnology
19 Jun 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

TVET diperkasa, negeri peruntuk RM20 juta laksana Teraju IKTISASS latih profesional

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Teraju Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) untuk memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sekali gus meningkatkan jumlah tenaga kerja profesional dalam industri strategik di Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha berkenaan dilaksanakan bagi menangani isu ketidakpadanan antara peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan kemahiran dimiliki graduan.

Menurut beliau, pendidikan TVET memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa.

“Di negeri Selangor, Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menjadi pusat utama menggerakkan tawaran program TVET dengan beberapa program khusus yang turut melibatkan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha pembangunan modal insan melalui inisiatif Teraju IKTISASS,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor hari ini.

Image from: TVET diperkasa, negeri peruntuk RM20 juta laksana Teraju IKTISASS latih profesional
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 ketika Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex pada 19 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin menambah antara komponen utama program itu ialah penawaran kursus pensijilan kecerdasan buatan (AI) di bawah Google kepada 500 guru di Selangor bagi meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan teknologi berkenaan dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, 500 peserta akan ditawarkan pensijilan profesional industri, manakala 1,000 individu lagi akan menerima Pensijilan Kemahiran Malaysia.

“Usaha Teraju IKTISASS ini dihasratkan untuk meramaikan golongan profesional di Selangor mengikut industri penting dan untuk itu RM20 juta diperuntukkan,” katanya.

IKTISASS merupakan program tajaan penuh dan bantuan kewangan Kerajaan Selangor untuk TVET yang dikendalikan STDC, UNISEL, dan UIS.

Terdahulu, Amirudin ketika membentangkan pakej itu memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif.

Menurutnya, RM209.26 juta lagi diperuntukkan bagi Fasa 2 merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan hari ini.