TVET kini pilihan utama lepasan SPM, bukan lagi pelan kedua

LocalBusiness & Finance
1 Jun 2026 • 1:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: TVET kini pilihan utama lepasan SPM, bukan lagi pelan kedua
ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna

SHAH ALAM – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan peluang pekerjaan yang lebih luas, tempoh pengajian yang lebih singkat serta prospek pendapatan yang kompetitif dalam pelbagai sektor industri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, persepsi bahawa TVET hanya merupakan pilihan kedua selepas universiti perlu diubah kerana bidang tersebut kini menjadi antara pemacu utama pembangunan tenaga kerja mahir negara.

Menurut beliau, setiap pelajar mempunyai kecenderungan dan potensi yang berbeza, justeru laluan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.

“Persaingan untuk memasuki universiti awam semakin sengit, kos pengajian juga meningkat manakala pasaran pekerjaan hari ini lebih memerlukan kemahiran yang selari dengan kehendak industri.

“TVET menawarkan laluan yang lebih praktikal, realistik dan mempunyai kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi kepada lepasan SPM,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menjelaskan, sistem TVET direka untuk melahirkan tenaga kerja mahir menerusi pembelajaran berasaskan latihan praktikal, pengalaman industri sebenar dan pendekatan secara langsung yang membolehkan graduan memasuki alam pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Katanya, sistem TVET negara turut menyediakan laluan pendidikan sehingga Tahap 5 menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Menurut Mohd Asna, graduan TVET kini menjadi pilihan majikan kerana memiliki kemahiran khusus yang diperlukan industri serta mampu menjalankan tugas tanpa memerlukan tempoh latihan tambahan yang panjang.

“Ramai majikan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal, bukan sekadar kelayakan akademik. Keadaan ini memberi kelebihan kepada graduan TVET untuk memperoleh pekerjaan dalam tempoh yang lebih cepat,” ujarnya.

Beliau berkata, antara bidang yang mencatat permintaan tinggi ketika ini termasuk Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Helikopter, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Avionik, Kecerdasan Buatan (AI), Kenderaan Elektrik (EV) dan Keselamatan Siber.

Pada masa sama, katanya, pelajar TVET turut berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara menerusi pelbagai program biasiswa dan kerjasama antarabangsa.

Menurut beliau, kerajaan China menawarkan biasiswa penuh kepada 1,000 pelajar lepasan TVET dari Malaysia, manakala kos tiket penerbangan ditanggung oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Selain itu, institusi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan MARA turut menyediakan laluan pengajian ke Rusia, Perancis, Jepun serta Korea Selatan dalam pelbagai bidang teknologi dan kemahiran khusus.

Mohd Asna berkata, kerajaan di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara turut memperluaskan peluang pendidikan TVET sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah menerusi program yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua. Ia merupakan laluan profesional yang mendapat pengiktirafan kerajaan dan industri serta semakin mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda.

“Lebih 220,000 pelajar atau 56.86 peratus daripada lepasan SPM dan setaraf kini memilih aliran TVET, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap sektor ini terus meningkat,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 1,398 institusi TVET di seluruh negara terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta bagi memastikan kemahiran yang diajar sentiasa memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.