TW Agro Dinamik, Nanyan Holdings meterai kerjasama RM250 juta bangunkan hab agromakanan di Terengganu

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 3:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TW Agro Dinamik, Nanyan Holdings meterai kerjasama RM250 juta bangunkan hab agromakanan di Terengganu Image from: TW Agro Dinamik, Nanyan Holdings meterai kerjasama RM250 juta bangunkan hab agromakanan di Terengganu liza26/08/2026 - 15:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 26 Ogos – TW Agro Dinamik Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bekerjasama dengan Nanyan Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan hab agromakanan bersepadu bernilai RM250 juta di Mukim Caluk, Setiu.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MOU) bagi pembangunan Kompleks Agro Nanyan, yang merupakan sebahagian daripada usaha melaksanakan semula Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA).

 

Projek berkeluasan 207.40 hektar itu bakal menjadi kawasan agromakanan strategik yang merangkumi aktiviti penternakan, penanaman rumput Napier serta kilang pemprosesan makanan.

 

 

 

 

 

 

Inisiatif berkenaan dilihat mampu menyokong agenda keterjaminan makanan Terengganu dengan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.

 

Lebih penting, pembangunan itu dirancang bukan hanya sebagai kawasan pengeluaran makanan, tetapi sebagai satu rantaian lengkap daripada pengeluaran, pemprosesan sehingga pengedaran kepada pasaran.

 

Pembangunan Berperingkat Pacu Rantaian Nilai Agromakanan

Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam empat fasa dengan jumlah pelaburan RM250 juta bermula dengan pengaktifan aset dan infrastruktur sedia ada sebelum diperluaskan kepada aktiviti hiliran dan hubungan pasaran.

 

Fasa pertama, Activate melibatkan pelaburan RM40 juta untuk mengaktifkan semula aset serta infrastruktur sedia ada, selain memulakan aktiviti pengeluaran dan perdagangan di kawasan tersebut.

 

Fasa kedua, Scale, membabitkan RM55 juta bagi meningkatkan skala penternakan dan aktiviti agromakanan termasuk membina rantaian ekonomi yang melibatkan petani, penternak, koperasi, usahawan dan komuniti luar bandar.

 

Fasa ketiga, Add Value pula diperuntukkan RM95 juta untuk pembangunan industri hiliran seperti rumah penyembelihan moden berskala industri, kemudahan pemprosesan, produk makanan sejuk beku, rantaian sejuk dan logistik.

 

Fasa keempat, Connect pula melibatkan RM60 juta bagi menghubungkan Kompleks Agro Nanyan dengan pasaran domestik, nasional dan serantau yang akan mengembangkan peranannya daripada pusat pengeluaran kepada platform rantaian bekalan dan perdagangan agromakanan.

 

t

 

ECRL Boleh Perkukuh Pengangkutan Hasil Agro

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mahu melihat kemudahan Rel Pantai Timur (ECRL) dimanfaatkan bagi membantu membawa keluar hasil agromakanan dari Setiu dan Besut apabila projek berkenaan beroperasi kelak.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama pihak ECRL bagi membolehkan stesen yang pada asalnya lebih tertumpu kepada penumpang turut mempunyai keupayaan mengendalikan kargo ringan.

 

Menurut beliau, Terengganu mempunyai enam stesen ECRL iaitu Jertih, Setiu, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Cukai dengan Dungun serta Cukai turut mengendalikan penumpang dan kargo.

 

Beliau berkata cadangan membolehkan empat lagi stesen mengendalikan kargo ringan boleh membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan, khususnya Setiu dan Besut yang mempunyai potensi besar dalam sektor agromakanan.

 

Kemudahan itu juga penting bagi memastikan hasil seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dapat dihantar ke Kuala Lumpur atau pasaran lain dalam tempoh lebih singkat kerana tempoh penghantaran yang panjang boleh menjejaskan kualiti serta harga hasil berkenaan.

 

Sokongan UPM, FELCRA Lengkapkan Ekosistem

Projek Kompleks Agro Nanyan turut mendapat khidmat nasihat dan sokongan teknikal daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) khususnya dalam penghasilan makanan ternakan bernutrisi tinggi serta pemindahan ilmu dan teknologi.

 

Selain itu, kerjasama strategik bersama FELCRA Food Industries Sdn Bhd turut dirancang bagi melengkapkan rantaian ekosistem agromakanan yang dibangunkan di kompleks tersebut.

 

Pembangunan bersepadu itu dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan selain membuka ruang penyertaan kepada petani, penternak, usahawan dan komuniti luar bandar dalam rantaian ekonomi projek.

 

 

 

 

Secara keseluruhannya, projek itu disasarkan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluaran daging ruminan utama yang lebih kompetitif, berdaya saing dan lestari, di samping memastikan lebih banyak nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam negeri.

 

Kerajaan negeri berharap kerjasama berkenaan dapat diperluaskan ke kawasan lain di Terengganu sekiranya pelaksanaannya berjaya, termasuk berpotensi dikembangkan ke negeri-negeri lain di sepanjang jajaran ECRL. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved