liza29/07/2026 - 12:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 29 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu meneruskan usaha meneroka peluang kerjasama strategik bersama dua lagi pemaju hartanah bagi memperkukuh pembangunan sektor perumahan, khususnya penyediaan rumah berkualiti dan mampu milik untuk rakyat.
Terbaharu, satu delegasi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu mengadakan sesi kunjungan hormat ke Lagenda Properties Berhad dan UDA Holdings Berhad untuk menilai potensi kerjasama.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keupayaan serta perancangan pembangunan syarikat pemaju terbabit, selain mengenal pasti ruang kerjasama yang berpotensi pada masa akan datang.
Perbincangan fokus pembangunan perumahan bersepadu
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dalam sesi berkenaan, Lagenda Properties membentangkan perancangan pembangunan syarikat di seluruh Malaysia yang merangkumi komponen perumahan, kemudahan awam, infrastruktur serta pelan pembangunan yang dilaksanakan secara berfasa.
“Pembentangan itu memberi gambaran mengenai pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan komuniti, termasuk penyediaan kawasan kediaman yang dilengkapi kemudahan sokongan bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.
“Kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk melihat potensi kerjasama bersama pemain industri yang mempunyai pengalaman dalam pembangunan perumahan, namun setiap cadangan perlu dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Aspek pematuhan terhadap dasar pembangunan perumahan negeri menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian bagi memastikan setiap projek yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Fokus kepada rumah mampu milik dan kemudahan awam
Katanya, antara perkara yang turut dibincangkan adalah penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM), penyediaan kemudahan awam mencukupi serta konsep kebolehdiaman dalam sesuatu kawasan pembangunan.
"Kerajaan negeri mahu memastikan setiap pembangunan perumahan bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, tetapi turut mewujudkan persekitaran yang lengkap, selesa dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, pembangunan yang dirancang juga perlu selaras dengan dasar kerajaan negeri serta mengambil kira keperluan semasa dan masa depan penduduk.
Kunjungan ke Lagenda Properties menyusuli pertemuan kerajaan negeri bersama UDA Holdings Berhad sebelum ini sebagai sebahagian daripada pendekatan memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemaju berpengalaman dalam bidang perumahan.
Kerajaan negeri menilai potensi sebelum keputusan dibuat
Wan Sukairi berkata, setiap hasil perbincangan dan pandangan yang dikemukakan sepanjang sesi kunjungan akan dijadikan asas pertimbangan oleh kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan atau keputusan lanjut diambil.
Beliau turut berharap sesi libat urus seperti itu dapat membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan sektor swasta dalam usaha mempertingkatkan penyediaan perumahan berkualiti.
Katanya, kerjasama strategik bersama pihak industri penting bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan pembangunan perumahan yang seimbang, termasuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kunjungan hormat ke Lagenda Properties dan UDA mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menilai pelbagai peluang pembangunan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan sektor perumahan di Terengganu,” katanya. - DagangNews.com






