Kurang 24 jam sejak pelancaran aplikasi Threads, kini nampaknya pihak Twitter tidak begitu gembira dengan penawaran terbaru Meta berkenaan. Pihak Twitter dilihat telah menghantar sepucuk surat kepada pihak Meta, sekaligus memberikan petanda awal kemungkinan akan mengambil tindakan perundangan terhadap Meta atas pelancaran Threads.

Melalui surat yang dihantar pihak Twitter, mereka menuduh Meta telah mengambil beberapa bekas pekerja Twitter yang mempunyai akses rahsia dalaman syarikat Twitter, dan membangunkan aplikasi Threads. Surat tersebut turut menyatakan Twitter mempunyai pelbagai hak, termasuk untuk mengambil langkah perundangan.
Menyentuh berkenaan hal ini secara ringkas melalui Threads, pihak Meta menyatakan tiada seorang pun jurutera Threads yang merupakan bekas pekerja Twitter.
Malah, seperti ramai sedia maklum, Elon Musk sendiri telah membuang ramai pekerja Twitter, yang mana ia mungkin menjadi kebiasaan untuk mereka mencari lokasi kerja baharu untuk meneruskan kerjaya. Namun, tidak diketahui sama ada benar atau tidak pihak Meta menggunakan rahsia dalaman untuk membangunkan serta mempercepatkan pembangunan Threads atau sebaliknya.

Threads merupakan salah satu platform terbaru yang dibangunkan Meta dan beroperasi dibawah Instagram. Ia menawarkan penggunaan seumpama Twitter, dan berjaya mencatat angka penggunaan yang tinggi dalam masa kurang 24 jam pelancaran.
Ramai pengguna sebelum ini sedia mencari platform alternatif kepada Twitter disebabkan tidak menyukai kaedah pengurusan Elon Musk yang melakukan pelbagai perubahan secara tiba-tiba, termasuk mengekang penggunaan platform tersebut sepenuhnya seperti sebelum-sebelum ini. Selain Threads, terdapat juga beberapa platform lain seperti Mastodon dan Bluesky yang menjadi tumpuan ramai akhir-akhir ini.
- Sumber
- Semafor


