Tze Tzin ingatkan BN hormati perjanjian tubuh Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tze Tzin ingatkan BN hormati perjanjian tubuh Kerajaan Perpaduan
BN Negeri Sembilan diingatkan untuk menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.- Gambar kecil (Tze Tzin)

SHAH ALAM - Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin mengingatkan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baharu menjelaskan, kerajaan Pusat dan negeri ditubuhkan susulan tiada gabungan politik menguasai majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Persetujuan Kerajaan Perpaduan adalah mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.

"Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian tersebut sehingga tamat penggal. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Kenyataan tersebut susulan tindakan semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkankan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Susulan perkembangan itu, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan tampil menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO.

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang akhbar khas selepas tiga jam pengumuman dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan.