40 peratus hak sabah: Sabah hormati keputusan Mahkamah Rayuan, diharap rundingan diteruskan-Hajiji

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hajiji

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan bagi penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost Years) serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berharap, rundingan mengenai perkara itu akan diteruskan meskipun prosiding mahkamah masih berjalan, dengan penekanan agar penyelesaian dapat dicapai melalui perbincangan antara kedua-dua pihak.

"Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.

"Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas (1974-2021), ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan," katanya.

Hajiji dalam pada itu mengulangi pendirian kerajaan negeri yang membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan terbaharu mahkamah.

"Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan kerajaan negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian," tegasnya.

Katanya lagi, kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghormatinya.

Tarikh tentatif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran