U Mobile lancar hab inovasi perusahaan berteraskan 5G-A dan AI

Business & Finance
7 Aug 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: U Mobile lancar hab inovasi perusahaan berteraskan 5G-A dan AI

PETALING JAYA: U Mobile melancarkan Hab Platform Inovasi Perusahaan (EIP), sebuah hab inovasi kolaboratif yang dibina berasaskan infrastruktur 5G-Advanced (5G-A) tercanggih syarikat, bagi membantu perusahaan menukar idea kepada penyelesaian dunia sebenar yang dipacu teknologi 5G-A dan Kecerdasan Buatan (AI).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sekali gus menandakan fasa baharu Platform Inovasi Perusahaan U Mobile serta mengukuhkan komitmen syarikat dalam merealisasikan aspirasi Powering Possibilities dengan memperkasa perniagaan memanfaatkan 5G-A dan teknologi baharu bagi memacu transformasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu Malaysia, syarikat sedang membina infrastruktur digital dan asas bagi memacu fasa pertumbuhan negara yang seterusnya.

Ujarnya, melalui Platform Inovasi Perusahaan dan Hab EIP, syarikat mahu mewujudkan persekitaran yang membolehkan organisasi meneroka teknologi baharu dengan yakin, membangunkan penyelesaian praktikal serta memperluaskan inovasi yang menghasilkan impak perniagaan yang boleh diukur menerusi infrastruktur 5G-A.

“Komitmen Powering Possibilities kami selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital terkemuka.

“Apabila penggunaan digital semakin berkembang merentas setiap sektor, kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan rakan teknologi akan menjadi semakin penting, sekali gus mewujudkan kemajuan yang bermakna untuk negara,” katanya dalam kenyataan.

U Mobile berkata, ketika organisasi semakin giat meneroka penyelesaian berasaskan AI dan teknologi canggih lain, banyak syarikat masih berdepan cabaran untuk menterjemahkan inovasi kepada hasil perniagaan yang praktikal.

Menurutnya, hab EIP diwujudkan bagi merapatkan jurang tersebut dengan menyediakan persekitaran khusus untuk perusahaan membangunkan, menguji dan memperagakan penyelesaian berasaskan 5G-A serta AI sebelum dilaksanakan secara lebih meluas dalam operasi mereka.

“Lebih daripada sekadar hab inovasi, Hab EIP merupakan tempat di mana idea diterjemahkan menjadi penyelesaian dunia sebenar.

“Dengan menghimpunkan perusahaan, rakan teknologi, institusi akademik, penasihat dan pihak berkepentingan sektor awam, hab ini membolehkan organisasi membangunkan, menguji dan memperagakan 5G-A, AI serta teknologi baharu lain sebelum memperluaskannya dengan penuh keyakinan.

“Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko pelaksanaan, mempercepatkan penggunaan teknologi dan menghasilkan impak perniagaan yang bermakna dengan lebih pantas,” ujarnya. – UTUSAN

The post U Mobile lancar hab inovasi perusahaan berteraskan 5G-A dan AI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved