U Mobile, syarikat telekomunikasi tempatan dan pengelola rangkaian 5G kedua Malaysia telah membuka hab Enterprise Innovation Platform mereka, iaitu sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai syarikat-syarikat tempatan untuk membangunkan teknologi baru yang memanfaatkan penggunaan rangkaian internet mudah-alih 5G-Advanced dan juga teknologi kecerdasan buatan.
Program U Mobile Enterprise Innovation Platform (EIP) telah diperkenalkan pada awal tahun ini dengan tujuan untuk menyediakan persekitaran agnostik untuk syarikat enterprise, perniagaan kecil dan sederhana, syarikat pemula, pihak akademik dan agensi sektor awam untuk membangun dan mengkomersialkan kes penggunaan 5G-A, bukti konsep dan projek rintis mereka.

Pembukaan hab ini dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebagai penanda permulaan fasa seterusnya program U Mobile EIP ini, memperkasakan perniagaan tempatan untuk memanfaatkan teknologi 5G-A dan untuk memacu agenda transformasi digital. Hab EIP merapatkan jurang teknologi dengan menyediakan persekitaran khusus di mana perusahaan boleh membangun, menguji dan menunjukkan penyelesaian 5G-A dan didayakan AI sebelum meluaskannya merentasi operasi mereka.
Hab EIP ini membawa perusahaan, rakan kongsi teknologi, ahli akademik, penasihat dan pihak berkepentingan sektor awam bersama untuk membolehkan organisasi-organisasi membangun, menguji dan mempamerkan solusi-solusi baru yang memanfaatkan rangkaian 5G-Advanced, AI dan teknologi baharu yang lain sebelum menggunakannya secara meluas. Penyelidikan dan pembangunan teknologi baru di pusat U Mobile EIP ini membantu mengurangkan risiko pelaksanaan, mempercepatkan penerimaan dan memberikan hasil perniagaan yang bermakna dengan lebih pantas.

Sewaktu acara pembukaan hab U Mobile EIP ini, mereka juga telah menunjukkan empat projek yang sedang dibangunkan syarikat tersebut untuk tujuan pengkomersilan. Ini termasuklah:
- Kecerdasan Visual berpacukan 5G dan AI untuk pemantauan operasi secara langsung
- Pembangunan sistem Kembar Digital menggunakan teknologi rangkaian 5G, sistem IoT dan AI untuk pengurusan aset dan ramalan penggunaan
- Dron peronda 5G untuk penangkapan data, pemeriksaan visual dan pengawasan autonomi
- Robot Humanoid dengan Kecerdasan Autonomi yang didayakan rangkaian 5G-Advanced untuk mengautomasikan operasi dan meningkatkan produktiviti.
Selain daripada itu, rakan-rakan U Mobile EIP juga telah memperlihatkan projek-projek mereka sendiri yang memperlihatkan impak penggunaan teknologi rangkaian 5G-Advanced dan kecerdasan buatan dalam pelbagai sektor. Ini termasuklah:
- Penyelesaian pertanian menggunakan teknologi AI oleh MCMC AgriNXT untuk mengoptimumkan operasi dan penggunaan aset perladangan
- Penyelesaian runcit pintar yang dikuasakan teknologi AI Qualcomm, yang memberikan butiran secara langsung tentang tingkah laku pelanggan dan operasi kedai untuk meningkatkan prestasi perniagaan melalui video dan carian pintar
- Penyelesaian Wad Pintar yang dikuasakan teknologi AI Huawei, yang mengintegrasikan rangkaian 5G-A, Akses Nirwayar Tetap (FWA) dan sambungan IoT untuk membolehkan pemantauan pesakit sepanjang masa dan analisis pintar untuk meningkatkan kecekapan klinikal
CEO U Mobile, Wong Heang Tuck berkata “Dengan program dan hab Enterprise Innovation Platform, kami ingin mewujudkan persekitaran di mana organisasi boleh meneroka teknologi baharu dengan yakin, membangunkan
penyelesaian praktikal dan meningkatkan inovasi yang mencipta hasil perniagaan yang boleh diukur melalui
infrastruktur 5G-A canggih kami. Komitmen penjanaan kemungkinan kami adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara digital yang terkemuka. Apabila penerimaan digital dipercepatkan merentasi setiap sektor, kerjasama antara kerajaan, industri, akademik dan rakan kongsi teknologi akan menjadi lebih penting. Dan akhirnya mewujudkan kemajuan yang bermakna untuk negara.”.





