U Mobile Perluaskan Liputan Ultra5G Di Putrajaya Dan Kota Kinabalu

LocalTechnology
30 Aug 2025 • 10:21 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

U Mobile memperluaskan liputan rangkaian Ultra5G ke Putrajaya dan Kota Kinabalu selepas berjaya menjalankan ujian awal di Berjaya Times Square. Langkah ini bertujuan memperkukuh liputan 5G di lebih banyak kawasan sekali gus memberi peluang kepada pengguna merasai kelajuan rangkaian sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Sabah pada 31 Ogos 2025.

image is not available

U Mobile telah melaksanakan rangkaian Ultra5G di Kota Kinabalu dengan kerjasama ZTE dan Celcom Timur Sabah. Buat masa ini, maklumat terperinci mengenai pelaksanaan di Putrajaya masih belum didedahkan. Antara lokasi baharu yang dikenal pasti di Kota Kinabalu termasuk Padang Bandaran dan Kompleks Membeli-Belah Karamunsing.

image is not available

Wakil syarikat memaklumkan bahawa pengguna boleh menikmati sambungan 5G di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman yang merangkumi kawasan pesisir antara Pantai Tanjung Aru dan Terminal Feri Jesselton Point. Di Putrajaya, rangkaian Ultra5G meliputi sepanjang Persiaran Perdana dari Affin Bank hingga ke Wisma Tani. Pengguna boleh mengenal pasti sambungan Ultra5G melalui nama rangkaian ‘UM ULTRA5G’ yang tertera pada peranti mereka.

image is not available

U Mobile turut merancang untuk terus memperluaskan liputan di Putrajaya dan Kota Kinabalu serta menjadualkan pelancaran di kawasan baharu dalam masa terdekat.