liza01/07/2026 - 16:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai – U Mobile, penyedia perkhidmatan telekomunikasi kedua negara yang membangunkan rangkaian 5G telah menamatkan perjanjian bersama Digital Nasional Bhd (DNB).
Ketika ini, U Mobile melengkapkan proses pemindahan pelanggan ke rangkaian 5G miliknya sendiri yang dikenali sebagai ULTRA5G.
Ia adalah satu perubahan besar dalam strategi syarikat apabila U Mobile kini tidak lagi bergantung kepada infrastruktur 5G DNB, sebaliknya mengoperasikan rangkaian 5G secara bebas di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata peralihan tersebut merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat kerana ia memberi kawalan penuh terhadap rangkaian yang dibangunkan sendiri.
Menurut beliau, kawalan penuh ini membolehkan U Mobile mempercepatkan inovasi, meningkatkan pengalaman pelanggan serta menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih berbeza mengikut keperluan pengguna dan perniagaan.
“Sama ada di dalam bangunan mahupun di kawasan terbuka, rangkaian baharu itu akan membolehkan perkhidmatan 5G yang lebih lancar dan stabil kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tahun lalu, U Mobile memperoleh pembiayaan berjumlah RM4.3 bilion daripada empat institusi perbankan bagi menyokong pelaksanaan rangkaian 5G dan pembangunan ULTRA5G di seluruh negara.
Pembiayaan selama 10 tahun itu antara yang terbesar dalam denominasi ringgit yang diperoleh oleh syarikat bukan tersenarai yang menunjukkan keyakinan institusi kewangan terhadap prospek syarikat.

Sejak memulakan pelaksanaan 5G pada Julai 2025, U Mobile memaklumkan liputan di kawasan berpenduduk telah mencapai lebih 85 peratus di seluruh negara.
Selain itu, syarikat turut membangunkan lebih 190 tapak liputan dalam bangunan (IBC) di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti sambungan di lokasi strategik.
U Mobile turut menyasarkan untuk memperluaskan jumlah tapak IBC tersebut kepada lebih 600 lokasi dalam usaha memperkukuh pengalaman pengguna 5G di pelbagai tempat termasuk hab pengangkutan, bangunan komersial, hospital, hotel serta fasiliti kerajaan.
Syarikat menjelaskan perluasan ini penting bagi memastikan pengalaman 5G yang lebih konsisten, khususnya di kawasan tertutup yang sering mencabar dari segi liputan rangkaian.
Sebelum ini, DNB iaitu syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan bertanggungjawab membangunkan infrastruktur 5G negara dan menyewakan akses kepada operator telekomunikasi.
Pada peringkat awal, DNB dirancang sebagai satu-satunya penyedia rangkaian 5G di Malaysia sebelum kerajaan beralih kepada model dua rangkaian 5G bagi meningkatkan persaingan dalam industri.
U Mobile, yang dikawal oleh ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan, telah dipilih pada November 2024 untuk membangunkan rangkaian 5G kedua negara di bawah model baharu tersebut.
Peralihan ini dijangka meningkatkan persaingan dalam sektor telekomunikasi negara serta memberi lebih banyak pilihan dan kualiti perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia.- DagangNews.com


