UAE benar Israel terlibat siasat insiden juruterbang ditikam

WorldPolitics
2 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UAE benar Israel terlibat siasat insiden juruterbang ditikam

BAITULMUQADDIS: Israel akan menyertai siasatan terhadap pembantu juruterbang flydubai yang disyaki terlibat dalam insiden ketika pesawat berkenaan menghampiri Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, siasatan itu dijangka dapat menentukan sama ada Iran mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. Namun, beliau menegaskan Israel setakat ini tidak menerima sebarang amaran khusus mengenai insiden itu.

Dalam wawancara bersama CNN yang disiarkan kelmarin, Netanyahu berkata, Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed bersetuju Israel mengambil bahagian dalam sesi soal siasat terhadap suspek. Suspek ketika ini ditahan di Arab Saudi dan dijangka dipindahkan ke UAE.

“Jadi, tidak lama lagi kita akan mengetahui sama ada Iran mempunyai kaitan dengannya, tetapi saya tidak boleh membuat kesimpulan itu sebelum soal siasat selesai,” katanya.

Netanyahu berkata, suspek adalah warga Oman. Katanya, juruterbang warga India yang ditikam dalam insiden itu menunjukkan ‘keberanian luar biasa’ apabila berjaya membuka pintu kokpit walaupun mengalami pendarahan teruk.

Menurutnya, seorang penumpang warga Israel, seorang tukang paip bernama Yaniv, kemudian memasuki  kokpit selepas terdengar jeritan dan melihat suspek cuba mengganggu sistem kawalan pesawat.

Netanyahu berkata, penumpang itu menolak suspek ke belakang sebelum mengambil alih kawalan pesawat, manakala seorang lagi penumpang warga Israel dan anggota kru membantu menahan penyerang berkenaan. 

Seorang lagi juruterbang yang duduk di bahagian penumpang kemudian memasuki kokpit dan menstabilkan pesawat yang dilaporkan menjunam serta mengalami kerosakan pada bahagian kemudi termasuk ekor.

Netanyahu turut mendakwa Iran berada di belakang satu lagi serangan di Britain. Beliau mendakwa Israel menyerahkan maklumat  plot serangan di Britain itu kepada pihak berkuasa negara tersebut. Netanyahu bagaimanapun tidak mengaitkan secara khusus Iran dengan insiden Flydubai.

Wawancara itu kemudian beralih kepada program nuklear Iran susulan laporan Teheran mungkin berusaha membina semula infrastruktur nuklearnya.

Apabila ditanya sama ada Iran akan cuba menghidupkan semula program nuklearnya, Netanyahu berkata, Teheran akan berbuat demikian jika berkemampuan, sambil mendakwa tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump, termasuk sekatan ekonomi, berkesan dalam menekan rejim Iran.

Netanyahu berkata, matlamat beliau dan Trump adalah sama, iaitu menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear. – AGENSI

 

The post UAE benar Israel terlibat siasat insiden juruterbang ditikam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved