Malam tadi masa tengah sikat rambut depan cermin, tiba-tiba nampak sehelai warna putih berkilat. Terus rasa macam dunia berhenti berpusing. Eh, aku dah tua sangat ke?
Tenang.
Jangan terus capai pengepit nak cabut. Kita kena faham kenapa kilang cat dalam kepala kita ni tiba-tiba mogok.
Rambut kita ni jadi hitam sebab ada melanin atau pigmen warna. Bayangkan macam ada kilang cat kecil kat setiap akar rambut kita. Bila kita makin berumur, kilang ni mula perlahan dan akhirnya tutup kedai. Masa itulah rambut yang tumbuh jadi putih atau kelabu.
Tapi kenapa ada orang baru umur 20-an dah ada uban?
Sebab pertama selalunya adalah faktor genetik. Kalau ayah atau mak jenis cepat beruban, kemungkinan besar anda pun akan lalui benda yang sama. Ini bukan penyakit, ini cuma warisan seni dari keluarga.
Sebab kedua yang ramai tak sedar ialah stres kronik. Bukan stres sebab tersangkut jem sejam dua, tapi stres yang berpanjangan sampai badan tak sempat nak rehat. Stres ni dia pergi kacau sel pigmen tadi sampai sel tu merajuk tak nak buat kerja.
Selain tu, tabiat merokok dan kurang nutrien macam Vitamin B12, zat besi, dan asid folik pun boleh jadi punca. Asap rokok tu sebenarnya racun yang boleh rosakkan folikel rambut dari dalam.
Adakah uban awal ni bahaya?
Kebanyakannya tidak.
Ia lebih kepada isu kosmetik. Tapi kalau uban tu muncul tiba-tiba dalam jumlah yang sangat banyak, rambut gugur teruk, dan badan rasa cepat letih atau jantung berdebar, barulah kita risau ada masalah tiroid atau anemia.
Uban yang dah ada tu selalunya takkan jadi hitam semula kalau puncanya genetik. Tapi kalau punca sebab stres atau kurang vitamin, ada peluang untuk kita perlahankan proses tu dengan jaga makan dan urus tekanan hidup.
Jadi, tak payah nak panik sangat sampai nak beli segala jenis ubat hitamkan rambut yang tak tentu hala dalam online tu. Kadang-kadang, uban tu cuma peringatan untuk kita mula jaga diri dan berhenti merokok.
Uban sehelai dua tu tanda kita kena mula hargai kesihatan sendiri.
Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
