Ubat bukan untuk dibuang

EnvironmentHealth & Fitness
11 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ubat bukan untuk dibuang

SETIAP kali doktor memberikan preskripsi, terselit harapan agar pesakit kembali sihat, mengurangkan penderitaan atau menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Namun, tidak semua ubat yang dibekalkan diambil seperti yang diarahkan. Sebahagiannya dibiarkan tersimpan di dalam laci sehingga tamat tempoh, manakala selebihnya dibuang begitu sahaja. Perbuatan yang kelihatan remeh ini sebenarnya memberi kesan besar kepada pesakit, sistem kesihatan dan alam sekitar.

Setiap ubat yang tidak dimanfaatkan bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan. Ia turut mencerminkan peluang rawatan yang terlepas, usaha petugas kesihatan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya serta penggunaan dana awam yang tidak menghasilkan manfaat optimum.

Lebih membimbangkan, pembuangan ubat secara tidak terkawal boleh mencemarkan tanah dan sumber air, sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Mesej inilah yang diketengahkan menerusi instalasi seni Sayangnya, sebuah karya ArtScience yang dipamerkan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM). Karya tersebut menggunakan ratusan lepuh ubat, kotak ubat dan bahan farmasi terpakai untuk mengajak masyarakat menilai semula makna di sebalik setiap preskripsi yang diterima.

Dari sudut hadapan, pengunjung disambut dengan imej tubuh manusia yang dihiasi susunan lepuh ubat berwarna-warni, melambangkan ikhtiar dan harapan untuk sembuh. Namun, apabila melihat bahagian belakang karya, suasananya berubah. Longgokan bungkusan ubat kosong dan ruang berbentuk hati menggambarkan kehilangan yang lebih besar daripada sekadar pembaziran bahan farmaseutikal.

Ia mengingatkan setiap ubat yang diabaikan membawa bersama harapan pesakit, dedikasi petugas kesihatan dan amanah rakyat yang membiayai sistem kesihatan negara.

Malaysia beruntung kerana memiliki sistem penjagaan kesihatan awam yang menyediakan ubat pada kos yang sangat rendah. Walaupun begitu, kemudahan ini tidak seharusnya diambil mudah.

Setiap dos yang tidak digunakan bermakna sumber yang boleh dimanfaatkan oleh pesakit lain turut terbuang. Oleh itu, penggunaan ubat secara berhemah perlu menjadi tanggungjawab bersama.

Dalam membincangkan isu ini, pesakit tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya. Ada yang menghentikan rawatan kerana mengalami kesan sampingan, terlupa mengambil ubat akibat kesibukan harian atau merasakan diri sudah sembuh.

Bagi pesakit kronik pula, pengambilan ubat dalam tempoh yang panjang boleh menimbulkan keletihan emosi dan menjejaskan motivasi untuk meneruskan rawatan. Keadaan ini membuktikan pematuhan terhadap rawatan merupakan cabaran yang kompleks dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh serta penuh empati.

Di sinilah seni memainkan peranan yang berbeza. Tidak semua orang mampu memahami istilah perubatan atau meneliti laporan penyelidikan, tetapi karya visual dapat menyampaikan mesej kesihatan dengan cara yang lebih dekat di hati. Melalui pengalaman melihat dan menghayati instalasi seperti Sayangnya, masyarakat lebih mudah memahami nilai sebenar setiap ubat yang diterima.

Karya ini juga membuktikan komunikasi sains tidak semestinya bergantung kepada angka atau penerbitan akademik. Kerjasama antara penyelidik bioperubatan, ahli farmasi, pengamal klinikal, pensyarah seni dan pelajar daripada pelbagai bidang berjaya menghasilkan pendekatan yang kreatif untuk mendidik masyarakat.

Usaha rentas disiplin seperti ini memperlihatkan penyelesaian kepada isu kesihatan awam boleh lahir melalui gabungan ilmu, inovasi dan seni.

Universiti wajar memperluaskan inisiatif seumpama ini supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh masyarakat. Pengetahuan yang hanya tersimpan dalam jurnal ilmiah tidak akan memberi impak besar jika gagal menyentuh kehidupan seharian rakyat.

Akhirnya, setiap pil yang diterima bukan sekadar produk farmaseutikal. Di sebaliknya tersimpan harapan untuk sembuh, pengorbanan petugas kesihatan dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem penjagaan kesihatan negara.

Sebelum membuang ubat yang masih berbaki, renungkanlah sama ada yang dibazirkan hanyalah sebiji pil atau amanah yang telah diberikan kepada kita. –UTUSAN

DR. SITI HAWA NGALIM
Pensyarah Kanan,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Universiti Sains Malaysia (USM)

The post Ubat bukan untuk dibuang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved