UBS Securities muncul broker asing pertama tawar perkhidmatan saham patuh Syariah di Bursa Malaysia

02/09/2025 - 12:03
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 2 Sept – Bursa Malaysia mengumumkan penyertaan UBS Securities Malaysia Sdn Bhd sebagai Organisasi Peserta Islamik (Islamic PO) terbaharunya.
Dengan penyertaan ini, UBS Securities menjadi broker asing pertama yang menawarkan perkhidmatan broker saham Islam menerusi Islamic window di Bursa Malaysia-i.
Bursa Malaysia-i ialah platform pelaburan hujung-ke-hujung patuh Syariah pertama di dunia, yang menyediakan kemudahan dagangan sekuriti patuh Syariah dalam rangka kerja yang telus dan kukuh, sekaligus memperluas akses pelabur antarabangsa dan domestik kepada peluang pelaburan beretika berlandaskan prinsip Syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, langkah ini mencerminkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap pelaburan patuh Syariah.
“Ia juga membuktikan komitmen Bursa Malaysia dalam menjadikan pasaran modal Islam negara lebih mudah diakses oleh pelabur antarabangsa dan domestik yang mencari peluang pelaburan beretika dan mematuhi prinsip Syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tanda Aras Baharu Pasaran Modal Islam Malaysia
Beliau berkata, penyertaan UBS Securities sebagai broker asing pertama yang menawarkan perkhidmatan broker saham Islam di Bursa Malaysia-i menandakan pencapaian penting dalam usahanya membangunkan dan mempelbagaikan pasaran modal Islam Malaysia.
“Langkah ini selari dengan fokus strategik kami untuk meningkatkan daya tarikan pasaran serta keterangkuman, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan patuh Syariah.
“Dengan ekuiti patuh Syariah yang membentuk majoriti penawaran kami, Bursa Malaysia terus komited memperluas akses, mendalami kecairan, dan memacu peranan Malaysia sebagai pintu masuk global bagi penyelesaian pasaran modal Islam,” katanya.

Sehingga akhir 2024, modal pasaran sekuriti patuh Syariah meningkat 14.3% tahun ke tahun kepada RM1.34 trilion, berbanding RM1.17 trilion pada 2023, sekali gus menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam utama dunia.
UBS Securities Komited Teroka Peluang di Malaysia
Sementara itu, Ketua Negara UBS Securities, May Lee, pula berkata, pihaknya berbesar hati menjadi institusi kewangan asing pertama menawarkan perkhidmatan broker saham Islam melalui Islamic window.
“Kami kini mengekalkan kedudukan sebagai broker asing teratas dan berada dalam kelompok tiga teratas keseluruhan di Malaysia dengan pegangan pasaran 10%.
“Kami terus melihat potensi pelaburan yang kukuh di Malaysia dan kini berada dalam kedudukan ‘overweight’ terhadap ekuiti Malaysia.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami menyediakan akses global kepada pasaran modal Malaysia di samping memperluas rangkaian produk pelaburan untuk pelanggan kami,” katanya.
Perkhidmatan Broker Saham Islam dan Bursa Malaysia-i
Perkhidmatan broker saham Islam memberikan akses kepada pelabur untuk berdagang sekuriti patuh Syariah sama ada melalui Islamic window atau sebagai broker Islam sepenuhnya.
Ini memastikan pemisahan yang jelas antara urus niaga Islam dan konvensional merangkumi aktiviti dagangan serta pasca dagangan.
Bursa Malaysia-i yang diperkenalkan pada September 2016 menyediakan perkhidmatan bursa secara hujung-ke-hujung dalam kerangka Syariah, membolehkan pelabur berdagang instrumen patuh Syariah menerusi infrastruktur yang telus dan kukuh.
Dengan penyertaan UBS Securities, terdapat 18 firma kini menawarkan perkhidmatan broker saham Islam di Bursa Malaysia-i dengan satu beroperasi sepenuhnya sebagai broker Islam, manakala 17 lagi melalui Islamic window.
Senarai penuh firma broker saham Islam di Bursa Malaysia-i ialah Affin Hwang Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, BIMB Securities Sdn Bhd (sepenuhnya Islam) dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Selain itu, CIMB Securities Sdn Bhd, Hong Leong Investment Bank Berhad, Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Kenanga Investment Bank Berhad, Malacca Securities Sdn Bhd, Maybank Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, M&A Securities Sdn Bhd, Phillip Capital Sdn Bhd, Public Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad, TA Securities Holdings Berhad, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd dan UBS Securities Malaysia Sdn Bhd.
Perkhidmatan broker saham Islam UBS Securities berkuat kuasa bermula 2 September 2025, menandakan satu era baharu penyertaan broker asing dalam pasaran modal Islam Malaysia. - DagangNews.com
standard
