Ucapan Jika Malaikat Jadi Presiden UMNO Cetus Kecaman, Zahid Mohon Ampun Kepada Allah SWT

LocalPolitics
9 Jul 2025 • 12:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial video ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang seolah-olah membandingkan cabaran yang harus dihadapinya sebagai Presiden UMNO dengan malaikat.

“Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden UMNO, malaikat pun lari malam. Tapi tidak Zahid Hamidi, Zahid tetap mempertahankan UMNO,” katanya.

Ucapan itu kemudiannya tular dan mencetuskan kemarahan umat Islam kerana disifatkan keterlaluan.

Zahid mohon ampun kepada Allah SWT dan maaf kepada semua orang

Cakna dengan isu terbabit, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu telah memohon ampun kepada Allah SWT dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

“Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin. Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Zahid terima teguran dengan hati terbuka

Menurutnya, beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan percaya bahawa nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur kata, tetapi pada keikhlasan untuk menginsafi, memperbaiki diri serta belajar dari kesilapan.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya lagi.

Mufti Perlis tegur pemimpin politik banding diri dengan malaikat

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang turut dikenali sebagai Maza menegur presiden sebuah parti yang mengaitkan malaikat dalam ucaapannya.

Susulan itu, Maza berharap individu berkenaan membetulkan kesalahan itu apabila ia kini menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam.

“Beberapa pihak bertanya saya tentang ucapan seorang ahli politik yang menyatakan ‘jika Allah Ta’ala memerintahkan malaikat untuk menjadi Presiden …. (nama partinya), malaikat pun lari malam’.

“Saya rasa beliau terlepas cakap dan saya harap beliau tidak bermaksud seperti yang diucapkan. Pun begitu, saya perlu mengulas ucapan itu supaya tidak diulangi oleh beliau atau pihak yang lain,” katanya dipetik MalaysiaGazette.

Meskipun Maza tidak menamakan pemimpin politik berkenaan namun ia dipercayai berkaitan dengan ucapan Ahmad Zahid.