Ucapan Sanusi dipetik di luar konteks, beliau hanya nyatakan sejarah - Penganalisis politik

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 11:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ucapan Sanusi dipetik di luar konteks, beliau hanya nyatakan sejarah - Penganalisis politik
Periasamy

SEREMBAN – Ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mengguris hati kaum lain telah dipetik di luar konteks asal.

Penganalisis politik dan penulis sejarah, Datuk M Periasamy berkata, hasil penelitian terhadap keseluruhan ucapan Menteri Besar Kedah itu tidak mempertikaikan atau menyanggah kesetiaan masyarakat bukan Melayu terhadap negara ini.

"Jika diteliti secara mendalam, ucapan beliau sebenarnya telah dipetik di luar konteks asal.

"Beliau langsung tidak mempertikaikan, malah tidak menyanggah kesetiaan warga bukan Melayu terhadap Malaysia. Tapi mungkin cara beliau menyampaikan itu agak sensitif,"katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi dalam ceramah di Jempol, Negeri Sembilan didakwa menyentuh mengenai sejarah Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu yang dikatakan semakin terhakis dari aspek ekonomi serta politik.

Kenyataan berkenaan menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong yang mendakwa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan bersifat hasutan.

Menurut Periasamy lagi, fokus utama ucapan pemimpin Pas itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pengundi Melayu tentang tanggungjawab mereka dalam mengukuhkan kuasa politik kaum itu.

Jelasnya, beliau hanya membuat perbandingan sejarah mengenai asal-usul antara orang bukan Melayu dengan orang Melayu.

"Sanusi hanya menyentuh terhadap hubungan nenek moyang atau turun- temurun kaum Cina dan India,bukan menggesa mereka balik ke negara nenek moyang mereka.

"Apa yang beliau sebut adalah fakta sejarah dan tidak boleh dinafikan. Kita perlu mengakuinya dan jangan terperangkap dalam sindrom 'denial' fakta,"katanya.

Tambahnya, orang Melayu diingatkan mengenai kedudukan mereka sebagai rakyat pribumi atau Bumiputera selain turut ditekankan bahawa orang Cina dan Melayu juga merupakan warganegara yang sah berdasarkan hak kerakyatan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, atas dasar itu, orang Melayu digesa mempertahankan kuasa politik di negara yang menjadi tanah asal-usul mereka.

Beliau juga berpandangan, ucapan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai kenyataan berbaur perkauman.

"Kesimpulannya, niat sebenar ucapan Sanusi adalah untuk membangkitkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan naratif kuasa politik orang Melayu sebagai anak pribumi Malaysia," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved