Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil menjelaskan kontroversi berhubung ucapannya mengenai Tanah Melayu yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi.
Menerusi perkongsian Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA), Sanusi berkata kenyataannya itu tidak sepatutnya ditafsir sebagai seruan menolak atau menafikan status kerakyatan golongan bukan Melayu di negara ini.
Ucapan dibuat dalam konteks kempen PRN

Menurut Sanusi, ucapannya dalam Ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Julai lalu dibuat dalam konteks kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jelasnya, kenyataan itu merujuk kepada identiti sejarah Tanah Melayu, kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
Apa yang saya kata hanya begini: “Melayu tadak dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina… Melayu di mana? Melayu di sini saja.” Saya kemudiannya mengulangi gagasan ini dengan merujuk sejarah pembentukan negara: “Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India… Dulu nama tanah ni Tanah Melayu. Ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.”
Sanusi berkata, ungkapan mengenai Tanah Melayu sebagai tanah air sejarah orang Melayu bukanlah gagasan baharu yang diciptanya.
Sebaliknya, beliau mendakwa intipati sama pernah dinyatakan oleh beberapa tokoh British dalam perbahasan Parlimen United Kingdom, antaranya Oliver Stanley pada 1946, Lord Killearn pada 1949 dan Lord Ogmore pada 1957.
Oleh sebab itu, Sanusi berkata ucapannya tidak wajar dijadikan isu seolah-olah beliau memperkenalkan doktrin perkauman baharu.
Tegas tidak nafikan hak bukan Melayu
Dalam penjelasan sama, Sanusi menegaskan pengiktirafan terhadap identiti Melayu tidak bermaksud menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu.
Katanya, mengatakan Tanah Melayu ialah tanah air sejarah orang Melayu tidak sama dengan mengatakan rakyat Malaysia bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.
Rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang menjadi warganegara mempunyai hak perlembagaan, kesetiaan dan rasa kepunyaan terhadap Malaysia. Malaysia ialah tanah air mereka sebagai warganegara.
Pada masa sama, beliau berkata perkara itu tidak menghapuskan hakikat sejarah bahawa Semenanjung ini berkembang daripada negeri-negeri Melayu dan Persekutuan yang mencapai kemerdekaan pada 1957 dinamakan Persekutuan Tanah Melayu.
Kedua-dua kebenaran ini tidak bercanggah.
Sanusi turut berkata ucapannya perlu dibaca berdasarkan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukan semata-mata berdasarkan identiti atau kedudukan politik penuturnya.
The post “Melayu Ada Tanah Melayu Ni Saja” – Ucapan Jadi Kontroversi, Sanusi Beri Penjelasan appeared first on Oh! Media.





