
PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) melonjak ke kedudukan teratas saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menang 4-2 ke atas Barcelona pada perlawanan yang berlangsung di Parc des Princes awal pagi semalam.
Masing-masing satu gol menerusi Desire Doue, Lucas Hernandez, Vitinha dan Fabian Ruiz memastikan pasukan tuan rumah mengutip tiga mata, manakala gol Barcelona dijaringkan Xavi Espart dan Lamine Yamal.
Jurulatih PSG, Luis Enrique berkata, mereka berjaya menguasai perlawanan itu, terutamanya di separuh masa pertama sebelum ia bertukar seimbang sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bermula.
“Saya memang sudah menjangka perlawanan seperti ini akan menjadi sukar dan rumit. Secara keseluruhan aksi agak seimbang, tetapi kami bermain cukup baik di separuh masa pertama dan mendominasi Barcelona.
“Bagaimanapun, kami agak bergelut di separuh masa kedua hampir 15 minit sebelum kembali mendapatkan rentak. Kemudian, kami berjaya mendahului perlawanan dan membuatkan pasukan lebih tenang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memuji aksi ditampilkan barisan pertahanan yang dilihat bekerja keras sepanjang perlawanan bagi mengekang asakan serta serangan dilakukan Barcelona yang diketuai Yamal.
“Kami tidak pernah menganggap PSG sebagai pasukan lebih baik kerana ia mampu menjadi perangkap. Sebab itu saya turut menekankan aksi bertahan kerana jentera serangan Barcelona cukup berbahaya,” ujar Enrique. – AGENSI
The post UCL: PSG tunjuk bukti lebih handal appeared first on Kosmo Online.



