
PARIS – Kepenatan menjadi punca ketika Barcelona terpaksa akur tewas 2-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang berlangsung di Parc des Princes awal pagi semalam.
Kegagalan untuk menyamai rentak permainan pasukan tuan rumah di separuh masa kedua menyaksikan pendahulu La Liga itu didominasi sepenuhnya PSG sebelum pulang dengan tangan kosong.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick menyifatkan kepenatan menjadi faktor utama anak-anak buahnya gagal untuk mempamerkan aksi sebenar sehingga melakukan banyak kesilapan yang memberikan kelebihan buat PSG.
“Bagi saya, ia satu persembahan yang sangat menarik daripada kedua-dua pasukan. Secara jujur, kami melakukan banyak kesilapan, terutamanya dari segi penguasaan bola apabila selalu hilang bola kepada mereka.
“Ini merupakan salah satu aspek yang akan dianalisis dan diperbaiki. Kami juga perlu faham bahawa kesilapan-kesilapan itu disebabkan faktor kepenatan selepas mengharungi jadual yang sangat padat,” katanya.
Pengendali dari Jerman itu menggesa anak-anak buahnya supaya menjadikan kekalahan tersebut sebagai iktibar dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada sekiranya mahu melangkah jauh pada saingan musim ini.
“Kami perlu belajar sesuatu daripada perlawanan hari ini (semalam) kerana PSG mencipta banyak peluang. Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana Joan Garcia cukup cemerlang di pintu gol,” ujar Flick. – AGENSI
The post UCL: Flick dedah punca Barca hilang arah appeared first on Kosmo Online.




