UDA Holdings optimis pasaran hartanah Malaysia kekal berdaya tahan disokong pelbagai inisiatif kerajaan pada 2026

LocalProperty
6 Feb 2026 • 3:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UDA Holdings optimis pasaran hartanah Malaysia kekal berdaya tahan disokong pelbagai inisiatif kerajaan pada 2026 image is not available liza06/02/2026 - 15:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Feb – UDA Holdings Berhad optimis prospek pasaran hartanah negara kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan lebih bersasar pada tahun ini.

 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Azrudyn Rashid berkata keyakinan itu disokong pelbagai inisiatif kerajaan MADANI yang dirancang bagi merangsang pemilikan hartanah serta mengekalkan kestabilan pasaran domestik.

 

Menurut beliau, sokongan terhadap reformasi struktur di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memperkukuh tadbir urus, memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

“Antara inisiatif utama termasuk pelaksanaan pembangunan Residensi MADANI, pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 dan pengenaan duti setem ke atas surat cara pindah milik rumah oleh bukan warganegara bagi menggalakkan pasaran lebih seimbang.

 

“Institusi kewangan turut digalakkan menyokong skim sewa-beli rumah serta skim bina-kemudian-jual bagi meningkatkan akses pemilikan kediaman mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sepanjang 2025, pasaran hartanah dilaporkan mencatatkan aktiviti stabil dengan peningkatan nilai transaksi, sambil mengekalkan momentum pemulihan menjelang suku ketiga, khususnya dalam segmen kediaman dan hartanah berkualiti.

 

Fokus UDA pada 2026 adalah menyediakan kediaman berkualiti, strategik dan mampu milik.

 

Beliau berkata syarikat itu merancang untuk melancarkan hampir 1,000 unit pembangunan kediaman dan ruang komersial melalui projek di Johor Bahru, Ipoh, dan Pekan yang dijangka memberi limpahan positif kepada ekonomi setempat.

 

“Dalam usaha memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera, UDA memperuntukkan RM2.3 juta untuk manfaat lebih 600 usahawan kecil dan sederhana. 

 

“Inisiatif itu merangkumi Program Insentif Usahawan UDA, Malaysia Entrepreneur Hub dan UDA Craft Corner,” jelasnya.

 

Azrudyn berkata syarikat turut memfokuskan sektor hospitaliti menerusi AnCasa Hotels & Resorts bagi memanfaatkan permintaan pelancongan domestik dan antarabangsa melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

“Dalam bidang pengurusan fasiliti, UDA Dayaurus kini mengurus lebih dua juta kaki persegi ruang bangunan, dengan fokus kepada perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu dan peluang kontrak baru di luar portfolio syarikat,” katanya.

 

Sejak penubuhan pada 1971, UDA telah memacu pemerkasaan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera dan membentuk bandar utama di negara ini. 

 

Syarikat kini memfokuskan empat perniagaan teras termasuk pembangunan hartanah, pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti dan pengurusan fasiliti.

 

Dengan penjenamaan baharu ‘Memenuhi Impian’, UDA berhasrat terus menyampaikan produk dan perkhidmatan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik dan komuniti lestari. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article