UDA Holdings Berhad (UDA) berjaya menyerahkan kesemua 153 unit kediaman projek Areca Terrace Fasa 4B lebih awal sekali gus menyaksikan keseluruhan unit projek tersebut habis dijual.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd, Norazim Shukor berkata, sambutan yang diterima mencerminkan kepercayaan pembeli terhadap produk dan jenama UDA serta keupayaan syarikat menyediakan produk berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.
“Areca Terrace Fasa 4B mengetengahkan konsep kediaman moden dan praktikal dengan susun atur ruang yang efisien serta menitikberatkan keselesaan penghuni.
"Ia sekali gus berjaya menarik minat sebahagian besar pembeli yang terdiri daripada golongan profesional dan keluarga muda berumur antara 30 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, untuk projek kediaman ini, UDA selaku peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut berkolaborasi bersama IKEA Tebrau Johor dalam penghasilan unit contoh bercirikan minimalis dan berfungsi sekali gus menjadi tarikan utama dalam membantu pembeli membuat pilihan.
Terdahulu, majlis penyerahan kunci projek Areca Terrace Fasa 4B diadakan pada 18 hingga 21 Mei lalu.
Terletak di lokasi strategik Bandar UDA Utama, kediaman jenis pegangan kekal itu menawarkan 153 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,518 kaki persegi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air.
Ia turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti taman permainan kanak-kanak dan persekitaran kejiranan yang berpagar.
Pada masa sama, Bandar UDA Utama merupakan sebuah pembangunan matang berhampiran institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, pusat membeli-belah serta akses terus ke Johor Bahru City Centre, Second Link ke Tuas Singapura, Lapangan Terbang Senai dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.
“UDA akan terus mengambil langkah proaktif memperkenalkan lebih banyak pembangunan rumah teres dua tingkat yang menekankan susun atur praktikal, reka bentuk kontemporari serta nilai tambah untuk kehidupan berkeluarga,” kata Norazim




