UEC: “Jangan Sampai Ibarat Menyusu Kera Di Hutan” – Prof Teo Gesa Kerajaan Utamakan Pelajar Sistem Kebangsaan

LocalPolitics
19 May 2026 • 11:59 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: UEC: “Jangan Sampai Ibarat Menyusu Kera Di Hutan” – Prof Teo Gesa Kerajaan Utamakan Pelajar Sistem Kebangsaan

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pengumuman kerajaan yang memberi laluan buat pelajar dari sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) serta Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menyambung pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) nyata mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Meskipun telah beberapa hari berlalu, isu ini khususnya melibatkan sistem UEC masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.

Baca Artikel Berkaitan: Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT

Pakar Gesa Kerajaan Tidak Pinggirkan Pelajar Kebangsaan, Ibarat Satu Ketidakadilan Yang Nyata

Terbaharu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menggesa agar kerajaan tidak meminggirkan pelajar sedia ada dalam sistem pendidikan kebangsaan demi untuk memberi laluan kepada pelajar UEC masuk ke IPTA.

Jelas beliau, tindakan membuka kuota IPTA yang sedia terhad kepada pemegang sijil selain pelajar sistem kebangsaan diibaratkan sebagai satu bentuk ketidakadilan yang nyata.

“Janganlah kita hakis pepatah ini ‘puas sudah menabur budi, emas juga dipandang orang’.

“Kita tak nak begitu, kita nak mereka ini menabur budi, kita jaga dan kalau kita buka tempat yang sudah terhad ini, lebih kurang menyusu beruk di hutan dah, anak sendiri kelaparan,” katanya yang dipetik dari Malaysia Gazette.

Pelajar Sedia Ada Yang Kekal Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan Perlu Diberi Keutamaan

Jelas beliau, tempat pengajian di IPTA khususnya bagi kursus kritikal seperti perubatan adalah sangat terhad dan sepatutnya diberi keutamaan buat pelajar yang kekal dalam sistem kebangsaan dari awal hingga akhir.

“Keutamaan harus diberikan kepada pelajar yang sanggup bertahan di dalam sistem kebangsaan, termasuk pelajar masyarakat Cina yang beralih ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) selepas tamat pengajian di sekolah vernakular.

“For whatever reason, for better or for worse, mereka sanggup berada di situ.

“Jadi bagi saya, tempat-tempat di IPTA kita ini, khususnya untuk kursus-kursus kritikal perubatan dan sebagainya, sangat-sangat terhad. Kita gunakanlah konsep affirmative action (tindakan afirmatif), polisi dan amalan untuk melindungi mereka ini,” terangnya lagi.

Turut Sifatkan Pelajar Bukan Melayu Jadi ‘Penyelamat’ Aliran Sains STPM

Teo turut menjelaskan sumbangan besar pelajar bukan Melayu khususnya kaum Cina yang disifatkan sebagai ‘penyelamat’ kepada kelangsungan aliran Sains Tingkatan 6 Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Ketiadaan pelajar Melayu yang majoritinya disalurkan ke program matrikulasi menyebabkan aliran Sains STPM kini digerakkan dan dipertahankan oleh pelajar bukan Melayu, malah untuk STPM aliran Sains itu, kalau bukan kerana pelajar-pelajar bukan Melayu, khususnya Cina, sudah lama terkubur aliran Sains STPM.

“Pada satu waktu dahulu, apabila aliran Sains STPM itu dalam Bahasa Melayu, anak-anak Cina yang tak boleh berbahasa Melayu dengan baik ni, mereka stay put memartabatkan bahasa Melayu.

“Sekarang Tingkatan 6 guna Bahasa Inggeris, mereka mempertahankan STPM aliran Sains. Kalau tak sebab mereka, dah lama terkubur,” ujarnya.

Tindakan Afirmatif Lindungi Pelajar Kebangsaan Dari Dikhianati

Terang beliau lagi, tindakan afirmatif adalah penting untuk melindungi pelajar kebangsaan dari dikhianati.

“Jadi atas nama tindakan afirmatif, polisi ini kita buat, amalan ini kita buat untuk jaga, melindungi mereka ini yang sanggup berada di dalam sistem kita yang tidak diyakini oleh pihak-pihak tertentu itu.

“Kalau kita tak jaga mereka ini, kita zalim, kita khianati mereka,” ujarnya dalam satu temubual khas bersama Malaysia Gazette.

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Pelik Kenapa Ada Yang Bantah?” – Anthony Loke Bidas Pihak Bangkang Akses Pelajar UEC Ke IPTA

Baca Artikel Berkaitan: Tak Perlu Iktiraf UEC Selagi Sistem Itu Tidak Harmoni Aspirasi Nasional – Mohamad Hasan