liza28/05/2026 - 09:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei – UEM Edgenta Bhd kembali mencatat keuntungan pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026) ketika syarikat itu sedang melalui proses penswastaan dan penyahsenaraian daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Syarikat itu memaklumkan dagangan sahamnya akan digantung bermula 12 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR).
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan penswastaan oleh UEM Group Bhd, yang juga syarikat milik Khazanah Nasional Bhd.
Pelaksanaan SCR itu akan menyaksikan UEM Group meningkatkan pegangan sahamnya dalam UEM Edgenta daripada 69.14% kepada 100% yang membuka laluan kepada penyahsenaraian syarikat itu pada Julai depan.
Cadangan tersebut sebelum ini telah mendapat kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada awal April lalu.
Di bawah pelaksanaan itu, UEM Group akan mengambil alih baki 30.86% kepentingan dalam UEM Edgenta atau kira-kira 257 juta saham pada harga RM1.10 sesaham.
Secara keseluruhan, transaksi itu melibatkan pembayaran tunai sekitar RM282 juta kepada pemegang saham minoriti syarikat berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEM Edgenta berkata dagangan saham syarikat akan terus digantung sehingga proses penyahsenaraian daripada Senarai Rasmi Bursa Securities selesai sepenuhnya selepas SCR dimuktamadkan.
Sebelum ini, UEM Group menjelaskan langkah penswastaan itu bertujuan memberi fleksibiliti lebih besar kepada syarikat dalam mengurus operasi dan strategi perniagaan dalam suasana pasaran yang mencabar.
Menurutnya, prestasi syarikat selepas pandemik masih belum kembali kukuh berikutan peningkatan kos operasi, margin keuntungan yang tertekan serta pembayaran dividen yang lebih rendah berbanding tempoh sebelum 2020.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, UEM Edgenta mencatat keuntungan bersih RM2.02 juta berbanding kerugian bersih RM17.95 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Perolehan kumpulan turut meningkat 4.34% kepada RM674.12 juta daripada RM646.06 juta sebelumnya, disokong hasil lebih tinggi daripada segmen pengurusan aset serta margin yang bertambah baik daripada kontrak penyelesaian infrastruktur sedia ada. Bagaimanapun, tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
Bagi tahun kewangan 2025 (FY2025), UEM Edgenta merekodkan kerugian bersih tahunan terbesar sejak 2003 sebanyak RM401.19 juta. - DagangNews.com






