UEM Edgenta peroleh kontrak urus semua kemudahan stesen minyak, premis runcit Shell Malaysia

LocalBusiness & Finance
8 Dec 2025 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Edgenta peroleh kontrak urus semua kemudahan stesen minyak, premis runcit Shell Malaysia
image is not available
haziq08/12/2025 - 10:20 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Dis – UEM Edgenta Berhad menerusi anak syarikatnya, Edgenta GreenTech Sdn Bhd, peroleh kontrak berbilang tahun bagi menyediakan perkhidmatan Pengurusan Kemudahan Bersepadu (IFM) untuk keseluruhan rangkaian stesen minyak dan premis runcit Shell Malaysia Trading Sdn Bhd di seluruh negara.

 

Dalam kenyataan hari ini, UEM Edgenta berkata syarikat itu kini dilantik sebagai penyedia berpusat tunggal yang bertanggungjawab terhadap perancangan, penyelarasan dan pengurusan semua kerja penyelenggaraan, pembaikan serta projek modal di seluruh rangkaian Shell Malaysia.

 

Menurut UEM Edgenta, skop kontrak ini melangkaui penyelenggaraan konvensional apabila ia memberi tumpuan kepada pengurusan kitaran hayat aset, pengoptimuman operasi dan kecemerlangan keselamatan.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, kemenangan kontrak ini mencerminkan keyakinan Shell terhadap keupayaan operasi dan teknologi kumpulan.

 

“Mendapat kontrak pengurusan kemudahan yang komprehensif ini bersama pemain tenaga global seperti Shell menunjukkan keupayaan kami menyampaikan penyelesaian pengurusan aset berskala besar yang dipacu teknologi.

 

Syarikat akan memanfaatkan platform digital proprietari kami bagi mengoptimumkan prestasi aset serta memastikan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi di setiap stesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Teras kepada pelaksanaan kontrak ini ialah penggunaan platform pengurusan aset digital UEM Edgenta, Asseto, yang menggunakan data dan analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menjangka potensi kegagalan sebelum berlaku.

 

Menurut syarikat itu, aplikasi mudah alih Asseto membolehkan pemantauan operasi masa nyata dilakukan terus di tapak, sekali gus mempercepatkan pembuatan keputusan, mengurangkan masa henti perkhidmatan kritikal serta mengawal kos pemilikan aset Shell secara lebih cekap.

 

Ketua Penyelesaian Hartanah & Kemudahan UEM Edgenta merangkap Pengarah Urusan Edgenta GreenTech Sdn Bhd, Ir. Vekneswaran T. Arasappan berkata, penyelarasan sistem Asseto dengan rangka kerja operasi kumpulan akan memberi kesan langsung kepada prestasi aset Shell.

 

“Dengan sistem pengurusan aset mobiliti syarikat kami dan budaya keselamatan tanpa kompromi, syarikat bukan sahaja mengoptimumkan kitaran hayat aset Shell, malah memastikan persekitaran stesen yang sentiasa selamat dan mesra pelanggan,” katanya.

 

Kontrak ini turut disokong oleh komitmen terhadap kempen ‘Goal Zero’ Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) Shell, yang menyasarkan sifar bahaya dan sifar insiden di semua operasi.

 

Menurut UEM Edgenta, pelaksanaan kontrak ini dijangka mengukuhkan aliran pendapatan berulang kumpulan dalam segmen Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur, selain meningkatkan skala operasi Edgenta GreenTech dalam sektor peruncitan tenaga. - DagangNews.com

Terkini standard