UEM Sunrise, Affin Bank jalin kerjasama perkasa wanita dalam pemilikan kediaman
zulfadli
10/11/2023 - 15:09
KUALA LUMPUR 10 Nov - UEM Sunrise Bhd menjalin kerjasama dengan Affin Bank Bhd melalui ‘Affinita’, sebuah program perolehan gadai janji terbaharu, bertujuan memperkasakan wanita dan mempromosikan pemilikan rumah.
Ia juga sebagai langkah ke arah mencapai kesaksamaan jantina dan menyokong usaha pemilikan rumah dalam kalangan wanita secara khususnya.
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, kerjasama dengan Affin Bank merupakan salah satu inisiatif bagi menyediakan bantuan kewangan buat pembeli rumah yang ingin memiliki rumah idaman mereka.
"Di samping itu, kerjasama ini mewakili satu langkah penting ke arah menyokong wanita dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, dan dengan tawaran sokongan kewangan yang menarik, kami boleh memperkasakan wanita untuk mencapai impian pemilikan hartanah mereka, antara lain.
"Menerusi program khas untuk wanita ini, UEM Sunrise mengekalkan komitmen untuk menyokong hak wanita serta memupuk kesaksamaan jantina dan keterangkuman mereka di dalam sektor hartanah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Perniagaan Gadai Janji Affin Bank, Jessie Wong pula berkata, menerusi program itu, orang ramai boleh menikmati diskaun hebat dan penebusan faedah menerusi rangkaian terkemuka yang merangkumi 100 peniaga eksklusif, menawarkan pelbagai produk gaya hidup dan perkhidmatan khusus buat wanita.
"Menerusi tumpuan terhadap pembangunan dan sokongan terhadap wanita, kami memperjuangkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan saksama.

"Kami percaya dengan kuasa memperkasakan wanita di dalam mendorong mereka mengawal masa depan kewangan mereka.
"Menerusi pelbagai pilihan pembiayaan menarik dan kerjasama dengan para peniaga untuk menawarkan diskaun eksklusif, kami bukan sahaja menggalakkan para wanita untuk melabur di dalam hartanah tetapi turut memupuk pertumbuhan peribadi dan profesional mereka," katanya.
Antara insentif yang ditawarkan termasuk akses kepada INVIKTA Premier Banking Affin Bank untuk pelanggan wanita dengan jumlah pinjaman melebihi RM500,000.

Selain pelbagai perkhidmatan dan faedah sedia ada, kerjasama itu memperluaskan tawarannya kepada pemilikan rumah, dengan penyertaan pelbagai pembangunan UEM Sunrise di sekitar Lembah Klang termasuk pelancaran terbaharunya pada tahun ini seperti The MINH, Mont’Kiara; The Connaught One, Taman Connaught; Residensi AVA dan Residensi ZIG, Kepong; Serene Heights Intrika, Semenyih; KAIA Heights, Taman Equine dan lain-lain.
Manakala Aspira Gardens dan Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya dan Serimbun di Iskandar Puteri adalah antara pembangunan yang mengambil bahagian di Wilayah Selatan, semuanya khusus buat pembeli rumah wanita sama ada untuk kediaman pertama mahupun bagi yang mencari kediaman yang lebih luas atau yang ingin mengembangkan portfolio hartanah mereka.- DagangNews.com


