UEM Sunrise dan MPC anjurkan Rangka Kerja Kecemerlangan tingkatkan daya tahan vendor Bumiputera

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise dan MPC anjurkan Rangka Kerja Kecemerlangan tingkatkan daya tahan vendor Bumiputera Image from: UEM Sunrise dan MPC anjurkan Rangka Kerja Kecemerlangan tingkatkan daya tahan vendor Bumiputera amree22/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept — Vendor Bumiputera disasar meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran kos dan memperkukuh daya saing bagi menghadapi pasaran yang semakin mencabar menerusi kerjasama UEM Sunrise Berhad dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Menurut kenyataan, kerjasama kedua-dua pihak tersebut memberi tumpuan bersama secara khusus kepada usaha memperkukuh pengurusan serta prestasi perniagaan vendor menerusi program dikenali Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF).

 

Ujarnya, ia berfungsi seperti ‘pemeriksaan kesihatan perniagaan' yang direka untuk membantu syarikat mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta perkara yang boleh menjejaskan prestasi sebelum langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan.

 

"Penilaian berkenaan pula merangkumi pelbagai aspek termasuk dari segi kepimpinan, perancangan perniagaan, pengurusan maklumat, layanan pelanggan, pembangunan pekerja, proses kerja serta pencapaian syarikat tersebut," jelasnya.

 

Tambahnya, berdasarkan kepada hasil penilaian berkenaan, UEM Sunrise akan memberikan bimbingan dan mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan mengikut keperluan serta tahap keupayaan setiap vendor yang terlibat untuk dilaksanakan.

 

Antara manfaat yang disasarkan menerusi MBEF termasuk memperkemas proses kerja, mengurangkan pembaziran masa, kos dan sumber, meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan dan memperkukuh pengurusan pekerja serta pelanggan.

 

MPC UEM Sunrise_DagangNews2026

 

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mazrina Mohamed Ibramsah berkata matlamat utama program tersebut adalah membantu vendor Bumiputera melaksanakan penambahbaikan yang benar-benar memberi kesan kepada prestasi perniagaan mereka sendiri.

 

“MBEF bersedia membantu syarikat berkenaan melihat keadaan sebenar perniagaan mereka, termasuk kekuatan yang perlu dikekalkan, kelemahan yang perlu diperbaiki dan tindakan yang perlu diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau menambah, penilaian dan bimbingan disediakan itu adalah penting bagi vendor tersebut untuk segera meningkatkan tahap pengurusan, produktiviti dan kesediaan bersaing dalam rantaian bekalan yang semakin mencabar ketika ini.

 

Jelasnya, peranan MPC bukan sekadar memberikan penerangan berkaitan produktiviti, malah bekerjasama dengan syarikat bagi mengenal pasti sebarang masalah, membina keupayaan dan melaksanakan langkah penambahbaikan yang bersesuaian.

 

Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen UEM Sunrise dalam memperkukuh vendor Bumiputera di bawah program pembangunan vendornya, dengan matlamat membantu syarikat bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi membina perniagaan mampu berkembang secara mampan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved