UEM Sunrise lantik Eric Chan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

22/08/2025 - 12:10
Eric Chan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – UEM Sunrise Berhad melantik Eric Chan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu syarikat itu, berkuat kuasa 21 Ogos 2025.
Dalam satu kenyataan, UEM Sunrise berkata, Chan memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, kewangan korporat dan perbankan pelaburan.
“Sebelum ini, beliau adalah Timbalan Pengarah Urusan Eastern & Oriental Berhad (E&O) selama 15 tahun dan memainkan peranan penting dalam mentransformasikan syarikat tersebut menjadi pemaju hartanah gaya hidup terkemuka.
“Sepanjang perkhidmatannya, permodalan pasaran E&O meningkat dengan ketara didorong kejayaan projek-projek ikonik seperti Dua Residency, Idamansara dan projek penambakan Seri Tanjung Pinang di Pulau Pinang.
“Beliau turut menguruskan operasi pelbagai bahagian termasuk pembangunan hartanah, hospitaliti, F&B dan pelaburan di E&O,” kata UEM Sunrise.
Selain itu, Chan juga memacu pengembangan portfolio hospitaliti dan gaya hidup E&O, termasuk pemodenan Eastern & Oriental Hotel di Pulau Pinang, pelancaran E&O Residences di Kuala Lumpur, serta pengurusan Lone Pine Hotel.
Beliau turut menjalin kerjasama strategik dengan rakan serantau dan antarabangsa seperti Khazanah Nasional, Temasek, Sime Darby dan Mitsui Fudosan, mencerminkan kepakarannya dalam membina perkongsian bernilai tinggi.
Sebelum menceburi industri hartanah, Chan berkhidmat dalam bidang kewangan korporat dan perbankan pelaburan bersama BNP Paribas dan RHB Sakura, selain di Danaharta, di mana beliau terlibat dalam penyusunan semula aset bermasalah ketika krisis kewangan Asia.
Sementara itu, Pengerusi UEM Sunrise, Datuk Hisham Hamdan berkata, pengalaman luas Chan dalam pembangunan hartanah, kewangan korporat dan kerjasama strategik, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara akan membawa perspektif berharga kepada syarikat.
“Kami menantikan sumbangan beliau ketika UEM Sunrise terus memperkukuh asas dan merangka bab seterusnya pertumbuhan,” katanya.
Chan ialah seorang Akauntan Bertauliah dan pemegang MBA dalam Perniagaan Antarabangsa daripada ISG, Perancis, di mana beliau menamatkan pengajian sebagai Valedictorian.
Beliau turut aktif memperkaya ilmu melalui pembelajaran sepanjang hayat, termasuk kajian terkini mengenai aplikasi blockchain di Universiti Oxford serta pemantapan kepakaran dalam penilaian hartanah berasaskan AI.
Beliau juga baru-baru ini dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pembangunan Lembaga PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd pada Jun 2025. - DagangNews.com
standard



