UGreen Memperkenalkan Storan NAS Dengan Spesifikasi Komputer Riba, Kemampuan AI

TechnologyDigital
9 Sep 2025 • 5:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

UGreen ialah sebuah jenama yang dikenali untuk penawaran aksesori pengecasan mereka, tetapi tahukah anda bahawa mereka juga ada siri storan mereka sendiri, khususnya storan Network Attached Storage (NAS) mereka yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pengguna.

Pada awal tahun ini, UGreen telah memperkenalkan UGreen IDX6011, iaitu storan NAS yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Arrow Lake-H, yang hadir dengan enam slot untuk cakera keras SATA dengan kapasiti keseluruhan 160TB dalam satu perkakasan.

image is not available

Pada pertengahan tahun ini, mereka telah mengemaskini model tersebut dengan penawaran yang lebih baru, iaitu UGreen IDX 6011 Pro, yang kini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 255H dengan gabungan pilihan memori LPDDR5X sehingga 64GB dan storan SSD untuk tujuan caching sebanyak 128GB.

image is not available

Kami telah berpeluang untuk melihat sendiri produk NAS ini sewaktu acara IFA 2025 yang berlangsung di Berlin pada minggu lepas. Ia telah diperkenalkan melalui platform biayasama Kickstarter pada pertengahan tahun ini, dan menurut pihak UGreen, akan mula dijual secara rasmi pada bulan ini.

image is not available

Apa yang menarik lagi ialah penawaran palam yang diperlihatkan pada NAS ini. UGreen IDX 6011 Pro tampil dengan pilihan palam USB 3.2 Type-C, pembaca kad SD, palam HDMI yang menyokong resolusi 8K, palam Oculink untuk sambungan data pantas dan dua palam RJ-45 10Gbps untuk sokongan sambungan internet berwayar yang pantas.

image is not available

Dalam pada itu, NAS UGreen IDX 6011 Pro ini juga tampil dengan ciri-ciri AI terbina sama seperti IDX 6011 sebelum ini, seperti carian menggunakan AI, termasuklah carian konteks, dimana anda boleh menggunakan kata-kata mudah untuk mencari gambar ataupun fail dengan cepat dan mudah, tanpa perlu bergantung kepada nama fail semata-mata.

image is not available

Ciri AI ini dilanjutkan kepada ciri seperti Smart Image Recognition yang akan menyusun gambar-gambar anda menurut konteks masa, lokasi dan objek melalui metadata, membuatkan kerja menyusun gambar lebih cepat dan mudah.

image is not available

Mereka yang berminat untuk pra-tempah sebuah NAS UGreen IDX 6011 Pro ini boleh melakukannya melalui laman web produk tersebut, tetapi perlu diingatkan bahawa buat masa ini, ia hanya akan dihantar ke negara-negara tertentu seperti USA, Kanada, United Kingdom, Jerman, Belanda, Itali, Sepanyol dan Perancis buat masa ini.

image is not available

Pihak UGreen berkata bahawa produk ini akan mula dihantar kepada pembeli sekitar bulan November 2025. Kami telah bertanya sekiranya UGreen akan membawa masuk produk ini ke pasaran Malaysia, dan mereka telah menyatakan hasrat untuk memperkenalkannya tidak lama lagi.

  • UGreen