Acer Predator Mula Menawarkan Kit Memori Dan Storan Untuk Komputer Berprestasi Tinggi

TechnologyDigital
11 Aug 2025 • 5:49 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Acer Predator ialah sebuah jenama yang terkenal untuk penawaran komputer desktop,komputer riba dan aksesori gaming kelas premium. Kebelakangan ini, mereka telah memasuki pasaran komponen juga dengan penawaran kad grafik mereka sendiri menggunakan model-model kad grafik oleh AMD dan Intel.

Terkini, mereka nampaknya telah mengembangkan penawaran tersebut kepada komponen memori dan storan pula dengan tiga produk baru, iaitu kit memori Predator Hera Gold Edition dan dua model storan SSD Predator GM9000 dan Predator GM9.

image is not available

Bermula dengan kit memori Predator Hera Gold Edition, ia merupakan kit memori DDR5 dengan konfigurasi memori 192GB, ataupun 48GB untuk setiap batang memori dengan kelajuan 6000MT/s. Memori ini boleh digunakan pada mana-mana papan induk yang menyokong penggunaan memori DDR5, tetapi adalah lebih sesuai dipadankan dengan papan induk AMD X870/X870E/B850 dengan teknologi memori AMD EXPO diaktifkan.

image is not available

Jika anda mahukan storan SSD pantas dan tahan lama untuk digunakan sebagai pilihan storan utama komputer anda, Predator GM9000 mungkin sesuai untuk komputer anda. Storan SSD PCIe 5.0×4 ini hadir dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data sepantas 14000MB/s dan 13500MB/s dan dilengkapi dengan sirip penyejuk yang diperbuat daripada logam untuk membantu mengalirkan haba daripada cip storan yang terbina untuk membolehkannya beroperasi pada kadar lebih optima.

image is not available

Predator GM9 pula merupakan satu lagi storan SSD PCie 5.0 tetapi kali ini lebih bersesuaian untuk menyimpan jumlah data yang banyak dan tidak memerlukan kadar penulisan data yang pantas. Ia hadir dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data 14500MB/s dan 13000MB/s, tidak jauh daripada GM9000, tetapi tidak mempunyai komponen DRAM terbina.

Pilihan storan untuk kedua-dua SSD Predator GM9000 dan Predator GM9 hadir dengan pilihan 1TB sehingga 4TB, tetapi untuk pasaran Malaysia, kami memperlihatkan bahawa kedai komputer Thundermatch membawa masuk pilihan storan 1TB dan 2TB.

Untuk kit memori DDR5 Predator Hera Gold Edition pula, ia tidak diketahui jika ia akan ditawarkan untuk pasaran tempatan atau tidak.