Ujian DNA Untuk Waris Mangsa Di IPD Klang Selatan Malam Ini

17 Aug 2023 • 10:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siasatan sedang giat dijalankan di lokasi nahas di Elmina, Shah Alam. - gambar Nooreeza Hashim

SHAH ALAM - Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk waris mangsa bagi mengenal pasti 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, di sini hari ini dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mulai malam ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata beberapa individu waris mangsa nahas pesawat itu, telah hadir di IPD Klang Selatan untuk proses DNA.

“Sudah dibuka (untuk ujian DNA) dan ada waris yang telah sampai dan kita akan menunggu mereka yang lain juga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu. Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada pukul 2.48 petang. - BERNAMA