Perdana Menteri UK, Keir Starmer mengumumkan bahawa Britain akan mengharamkan penggunaan pelbagai aplikasi media sosial bagi individu bawah 16 tahun, berkuat kuasa awal tahun depan. Ini menjadikan satu lagi negara mengenakan sekatan media sosial ke atas remaja selepas Australia dan Malaysia.
Menurut Starmer, tujuan utama larangan ini ialah bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dan isu ketagihan menggunakan peranti. Tambah beliau lagi, UK tidak akan berkompromi mengenai keselamatan kanak-kanak, serta bersedia berdepan syarikat teknologi yang menentang langkah ini dikuatkuasakan.

Walaupun pengumuman sudah dilakukan, perincian mengenai halangan yang akan dikenakan belum diumumkan secara rasmi. Tetapi The Sunday Times melaporkan antara laman yang tidak lagi boleh diakses remaja bawah umur ialah TikTok, Instagram, Facebook, X, YouTube, Snapchat, Threads, Twitch, Kick dan Reddit.
Selain itu UK juga mempertimbangkan sekatan ke atas penggunaan Chatbot kecerdasan buatan (AI), had ciri tertentu dalam aplikasi permainan video (mungkin berkenaan kotak tikam) dan mengenakan waktu perintah berkurung digital untuk menghalang remaja lebih tua daripada melayari media sosial sehingga lewat malam.
Tindakan yang diumumkan adalah lebih ketat berbanding yang diperkenalkan Australia tahun lalu tetapi kerajaan menerima 116,000 maklum balas positif daripada ibu bapa semasa tempoh konsultasi awam dilakukan. Ia mempunyai banyak persamaan dengan halangan serta garis panduan yang diperkenalkan di China sebelum ini yang dikritik Barat sebagai melanggar hak asasi manusia.
Sumber – Guardian


