
UK Isytihar Insiden Besar Selepas 30,000 Rumah Terputus Bekalan Air
LONDON (Bernama) — United Kingdom (UK) mengisytiharkan insiden besar selepas kira-kira 30,000 rumah di Tenggara England terputus bekalan air, menyebabkan penduduk dan perkhidmatan awam bergelut mengurus keadaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut laporan media Britain, beberapa kawasan termasuk Tunbridge Wells, Canterbury, Maidstone dan East Grinstead tidak menerima bekalan air sehingga lima hari, dengan sekolah dan perpustakaan terpaksa ditutup kerana ketiadaan air paip.
South East Water menyalahkan gangguan tersebut pada keadaan cuaca beku dan ribut Goretti.
Seorang jurucakap memberitahu The Guardian: “Keadaan beku menyebabkan paip pecah dan ribut itu menghalang syarikat daripada merawat air pada kadar biasa.”
“Takungan air minuman kami di seluruh daerah semakin berkurangan ekoran kebocoran paip dan paip utama pecah selepas cuaca sejuk baru-baru ini. Akibatnya, kira-kira 30,000 premis di beberapa kawasan di Kent dan Sussex mungkin mengalami ketiadaan air, bekalan tidak stabil atau tekanan rendah.
“Ini termasuk 16,500 premis di East Grinstead, manakala selebihnya di beberapa kawasan Kent termasuk Tunbridge Wells, Headcorn dan secara berselang-seli dalam sistem Maidstone kami,” tambah jurucakap itu.
Majlis Daerah Kent kini telah mengisytiharkan insiden besar.
Ketua majlis Linden Kemkaran berkata: “Insiden besar kini diisytiharkan di Kent berikutan lebih banyak rumah dan kemudahan terjejas dalam tempoh 24 jam lalu, dan kerana kami sedang menyusun langkah tambahan untuk menghadapi kemungkinan gangguan selanjutnya.”
Menteri Alam Sekitar Mary Creagh berkata beliau telah bertemu pengurusan South East Water untuk menyuarakan kebimbangannya.
“Saya amat bimbang apabila isu bekalan air di beberapa kawasan Kent dan West Sussex semakin merosot. Saya baru sahaja bertemu South East Water untuk menyatakan kekecewaan saya dan menekankan keperluan tindakan segera bagi memulihkan bekalan,”katanya.
BACA: Tular 50 Ekor Biri-Biri ‘Singgah’ Pasar Raya, Sesak Tapi Tak Beli Apa-apa
BACA: Trump Umum Tarik AS Keluar 66 Organisasi Antarabangsa
Sumber: Bernama
The post UK Isytihar Insiden Besar Selepas 30,000 Rumah Terputus Bekalan Air appeared first on Siakap Keli.




