
Kerajaan United Kingdom (UK) sedang mempertimbangkan langkah baharu bagi mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan remaja berumur 16 dan 17 tahun khususnya pada waktu malam.

Menurut cadangan tersebut, aplikasi media sosial popular yang biasa digunakan akan disekat secara automatik antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi setiap hari. Langkah ini bertujuan memastikan golongan remaja mendapat tidur yang mencukupi, menumpukan perhatian kepada pelajaran serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan.
Langkah ini turut menyusul selepas larangan penuh terhadap penggunaan media sosial bagi remaja bawah 16 tahun yang diumumkan bulan lalu. Malah, kerajaan UK menegaskan bahawa peraturan baharu ini penting untuk membantu remaja membina gaya hidup sihat dan seimbang sekali gus menyokong perkembangan mereka ke arah kehidupan dewasa yang lebih berkualiti.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan tetapan lalai yang akan menyahaktifkan ciri-ciri yang dianggap punca ketagihan termasuk fungsi auto-play dan tatal tanpa henti (infinite scroll) bagi akaun remaja dalam kumpulan umur tersebut. Bagaimanapun, remaja terlibat masih boleh memilih untuk keluar daripada sekatan ini dengan menukar tetapan akaun dan mekanisme penguatkuasaan perubahan ini masih belum diperincikan sepenuhnya.
Cadangan tersebut turut mencetuskan pertikaian daripada pelbagai pihak yang berpendapat ianya boleh melemahkan keberkesanan sekatan. Syarikat teknologi besar seperti YouTube pula memberi amaran bahawa larangan menyeluruh berpotensi mendorong remaja beralih ke platform lain yang kurang selamat.




