
UKM Bawa Isu Pembinaan Kuil Ke Mesyuarat LIMAS Selangor
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi satu kenyataan mengambil maklum isu tular pembinaan kuil di kawasan institusi berkenaan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi UKM, pihaknya mengambil maklum terhadap keprihatinan masyarakat serta telah mengambil langkah sewajarnya berkenaan perkara tersebut.
UKM menjelaskan, pihak pengurusan universiti telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor.
Pertemuan itu difahamkan bagi mencari penyelesaian isu yang melibatkan penempatan kuil tidak sah di atas sebahagian tanah UKM.
Baca juga:
12 Tan Coklat KitKat Lesap Ketika Penghantaran
Ahmad Maslan Beri 7 Cadangan Atasi Kenaikan Harga Minyak
Macam Mana Rupa Bangau Kalau Jadi Dinosaur?
”Hasil daripada perbincangan tersebut, keputusan telah diambil untuk membawa isu ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor,” maklum kenyataan tersebut.
Ketika ini, pihak universiti perlu menunggu maklum balas serta tindakan lanjut pihak Kerajaan Negeri Selangor sebelum melaksanakan tindakan lanjut.
“Sebarang tindakan perlu melalui prosedur yang ditetapkan serta melibatkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa, termasuk Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh, berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” jelasnya lagi.
Susulan itu, pihak universiti berharap agar isu berkenaan diselesaikan secara tuntas berikutan isu tersebut memerlukan pendekatan yang berhati-hati.
Pihaknya juga berharap langkah yang bersifat berperingkat itu perlu mengelakkan tindakan agresif atau tergesa-gesa.
“Pihak UKM akan terus memantau perkembangan serta bergantung kepada tindakan pihak berkuasa yang berkenaan untuk langkah seterusnya,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, UKM menyeru agar tiada pihak yang membuat spekulasi sehingga menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.
UKM turut menzahirkan penghargaan kepada masyarkat yang prihatin terhadap isu tersebut.
