
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil maklum keprihatinan masyarakat mengenai isu tular dan menegaskan bahawa isu pembinaan kuil di kawasan universiti sedang ditangani dengan penuh berhati-hati serta mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurut kenyataan rasmi UKM, pihak universiti telah mengadakan sesi perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor mengenai penempatan kuil yang didakwa tidak sah di sebahagian tanah UKM.
“Hasil daripada perbincangan tersebut, keputusan telah diambil untuk membawa isu ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor.
“Sehubungan itu, pihak UKM perlu menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor sebelum sebarang langkah selanjutnya dapat dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
Anak Allahyarham Amirul Hafiz jadi anak angkat MARA
Allahyarham Saripul terima penghormatan terakhir sebagai penderma organ
JPJ Selangor raih pujian, tumpangkan sebuah keluarga naiki kereta peronda
UKM menekankan bahawa sebarang tindakan perlu mengikut prosedur rasmi dan pertimbangan pihak berkuasa untuk memastikan penyelesaian yang menyeluruh, berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak.
“Sebarang tindakan perlu melalui prosedur yang ditetapkan serta melibatkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa, termasuk Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh, berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya.
Universiti juga menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam komuniti.
Pihak UKM menegaskan isu ini memerlukan pendekatan berperingkat dan berhati-hati, serta berharap ia dapat diselesaikan secara tuntas. Universiti akan terus memantau perkembangan dan bergantung kepada keputusan pihak berkuasa untuk langkah seterusnya, sambil menghargai keprihatinan masyarakat terhadap isu ini.
The post Isu tular pembinaan kuil di UKM: Universiti tunggu tindakan Kerajaan Negeri appeared first on The Reporter.

