
Ukraine Tekankan Gencatan Senjata Sebelum Rundingan Damai
KYIV, 16 Ogos (Bernama) — Ukraine pada Sabtu menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengadakan rundingan damai dengan Rusia tanpa terlebih dahulu melaksanakan gencatan senjata, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Pendapat kami ialah: gencatan senjata dahulu, kemudian barulah yang lain,” kata Penasihat kepada Presiden Volodymyr Zelensky, Serhiy Leshchenko, dalam siaran televisyen Ukraine.
Beliau berkata, jika pertempuran diteruskan ketika rundingan berlangsung, terdapat “risiko besar Ukraine diperas ugut”, sehari selepas Trump mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska bagi membincangkan usaha menamatkan peperangan.
Trump sebelum ini menulis di platform Truth Social bahawa selepas berunding dengan Zelensky dan sekutu Eropah, “semua” bersetuju cara terbaik mencapai keamanan di Ukraine adalah dengan terus mencapai perjanjian damai – dan bukan dengan gencatan senjata, yang menurutnya sering gagal dipatuhi.
Ukraine mempertahankan diri daripada pencerobohan besar-besaran Rusia sejak hampir tiga setengah tahun lalu.
Sumber: Bernama
The post Ukraine Tekankan Gencatan Senjata Sebelum Rundingan Damai appeared first on Siakap Keli.


![Dari Nak Tengok Terus Terbeli! Wanita Terpikat Dengan Layanan Mesra Jurujual, Terus Beli Seutas Jam Tangan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)