Ular, Kura-Kura & Hamster Antara Haiwan Yang Diselamatkan Dari Lokasi Kebakaran Putra Heights

3 Apr 2025 • 7:20 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Selain kucing dan anjing, dua ekor ular, kura-kura, ikan serta hamster antara haiwan peliharaan yang berjaya diselamatkan dari lokasi kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.

 

Berjaya diselamatkan

Pengurus Besar Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Kelvin Cheah berkata, 15 kucing dan tiga anjing dirawat oleh pihaknya dengan bantuan pelbagai pihak pada hari ini sahaja manakala dua ular telah dipulangkan kepada pemilik semalam.

Jelasnya, operasi menyelamat dan merawat haiwan berkenaan dilakukan menerusi kerjasama SPCA Selangor, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), Animal Kindness Coalition (AKC) dan badan sukarela.

"Haiwan yang berjaya diselamatkan dengan bantuan bomba, sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akan distabilkan di pusat rawatan sebelum dipulangkan kepada pemilik atau dihantar ke klinik veterinar jika perlu,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

 

Kelvin berkata, Kuil Sri Maha Kaliamman yang sebelum ini menjadi lokasi rawatan bagi mangsa, kini menjadi tempat pengumpulan haiwan yang terjejas untuk diberikan rawatan sebelum dipindahkan ke tempat lain seperti klinik haiwan atau dipulangkan kepada pemilik.

 

 

 

Tambahnya, lebih 100 laporan mengenai haiwan hilang atau terperangkap telah diterima, dengan usaha penyelamatan tertumpu kepada penyediaan makanan, minuman, dan rawatan kecemasan.

Pemilik haiwan yang masih mempunyai haiwan peliharaan terperangkap di kawasan kebakaran boleh menghubungi SPCA Selangor di talian 014-660-5312 atau melalui Instagram rasmi mereka.

Bantuan juga boleh didapati di Kuil Sri Maha Kaliamman.

Sumber: Bernama