BALING - Seekor ular sawa batik seberat kira-kira 80 kilogram yang bersembunyi di sebalik perdu buluh berjaya dikesan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini pada Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, reptilia sepanjang lebih kurang lima meter itu ditemui dalam kebun getah milik penduduk di Kampung Ketemba Luar di sini.
Menurutnya, APM menerima panggilan berhubung kejadian sekitar 12.08 tengah hari dan bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
"Kita menerima panggilan kecemasan berkaitan penemuan seekor ular sawa bersaiz besar di kawasan kebun getah di sini.
"Operasi menangkap reptilia tersebut telah diketuai seorang pegawai dan tiga anggota yang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan," katanya.
**media[3518351]**
Menurutnya, hasil tindakan pantas dan terkawal oleh anggota bertugas, ular berjaya ditangkap tanpa melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam mahupun anggota operasi.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.51 tengah hari dan reptilia tersebut telah dipindahkan dari kawasan berkenaan.
Sehingga kini, katanya, APM Daerah Baling merekodkan sebanyak 280 kes tangkapan ular pelbagai spesies bermula Januari 2026 hingga sekarang, melibatkan kawasan perumahan, kebun, premis awam dan kawasan kampung sekitar daerah ini.
"Kita juga menasihati orang awam agar tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan liar sekiranya ditemui, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.




