Ulasan ASUS ROG Ally – Prestasi Bukan Segalanya

TechnologyGamingDigital
31 May 2023 • 12:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada 1 April yang lepas, ASUS telah mengacah peranti gaming terbaru mereka, ASUS ROG Ally ke internet. Ramai yang menjangkakannya sebagai sebuah jenaka April Fool’s, tetapi beberapa hari kemudian, mereka mengesahkan bahawa ia adalah sebuah peranti gaming yang mereka benar-benar sedang bangunkan.

image is not available

Tidak lama kemudian, mereka mengumumkan kerjasama bersama AMD untuk membangunkan sebuah cip pemprosesan khusus AMD Ryzen Z1 untuk peranti tersebut yang membantu dalam memberikan peranti ini prestasi yang hebat dalam penggunaan kuasa yang rendah.

Baru-baru ini kami telah diberi peluang untuk mencuba sendiri peranti ASUS ROG Ally ini untuk sendiri, dan ini adalah pandangan awal saya mengenainya.

Spesifikasi

ASUS ROG Ally
Skrin7.0″ Full HD(1920×1080) IPS, 120Hz, Sesentuh
CPUAMD Ryzen Z1 Extreme
GPUAMD Radeon RDNA3
RAM16GB LPDDR5-5200 
Muatan Dalaman512GB PCIe Gen4 
Kamera UtamaTiada
I/O1x USB4
1x PCIe
1x pembaca kad microSD
Bateri40 Wh (4 Sel)
Pengecasan 65W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga Jualan$699 (AMD Ryzen Z1 Extreme

ASUS ROG Ally hadir dengan dua penawaran cip pemprosesan, iaitu AMD Ryzen Z1 dan juga AMD Ryzen Z1 Extreme. Dua perbezaan ketara yang diperlihatkan pada cip pemprosesan ini ialah cip AMD Ryzen Z1 hadir dengan gabungan cip pemprosesan 6 teras dan 12 bebenang kuasa dan cip grafik AMD RDNA 3 dengan 4 teras CU, manakala cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme hadir dengan 8 teras dan 16 bebenang kuasa dan cip grafik RDNA 3 dengan 12 teras CU.

image is not available

Dari segi penawaran memori pula, kedua-dua model ini hadir dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB. Dari segi prestasi perkomputeran, tidak banyak perbezaan yang dapat diperlihatkan di antara kedua-dua model ini, tetapi dari segi prestasi grafik, model dengan cip AMD Ryzen Z1 Extreme dijangka hadir dengan kemampuan mengolah grafik yang lebih tinggi.

image is not available

ASUS ROG Ally ini juga hadir dengan sistem penyejukan baru yang dinamakan Zero Gravity Thermal System yang terdiri daripada bongkah dan paip haba yang mengalirkan haba ke dua kipas penyejuk yang akan mengalirkannya ke bahagian atas peranti ini dan memastikan bahagian belakang peranti ini kekal sejuk walaupun dalam sesi permainan yang lama.

Rekaan

Walaupun peranti konsol dengan kemampuan PC gaming dilihat hanya menjadi popular dengan pengenalan peranti Steam Deck, ASUS mengatakan bahawa ASUS ROG Ally telah mula dibangunkan bermula dengan rekaannya sejak lima tahun dahulu.

Dari iterasi ke iterasi, ASUS mengatakan bahawa mereka telah mula membangunkan rekaan untuk peranti ini selama lima tahun untuk memastikan bahawa pengguna selesa memegangnya untuk jangka masa yang lama, dan juga supaya semua butang-butang pada peranti ini mudah diakses oleh pengguna.

image is not available

ASUS ROG Ally dimuatkan dengan sebuah paparan IPS bersaiz 7 inci beresolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz, yang lebih tinggi berbanding dengan peranti konsol sama seperti Steam Deck dan juga AyaNeo 2. Paparan ini juga mempunyai fungsi sesentuh yang cukup berguna untuk mengakses peranti ini jika tidak mahu menggunakan alat kawalan.

Bercakap mengenai alat kawalan, peranti ROG Ally ini menggunakan susun atur pengawal Xbox termasuklah lokasi pengawal analognya, dan ini cukup berguna khususnya apabila anda sedar bahawa peranti ini menggunakan Windows 11 sebagai sistem operasinya.

image is not available

Satu lagi kelebihan peranti ini hadir melalui kebolehan pengguna untuk mengakses bahagian dalam peranti ini, di mana komponen-komponen seperti storan SSD dan pengawal permainan boleh ditukar, dan sistem penyejukan ROG Ally ini juga boleh dinyahpasang untuk menukar bahan penyejukan yang lebih baru sekiranya diperlukan.

Dari segi penawaran palam, ROG Ally hadir dengan palam USB 4 Type-C untuk tujuan pengecasan yang disekalikan dengan palam PCIe yang dimanfaatkan bersama untuk disambungkan kepada aksesori kad grafik luaran ROG XG Mobile yang merumahkan kad grafik berkuasa seperti NVIDIA GeForce RTX 4080/4090 dan juga sejumlah palam-palam yang lain yang membolehkan anda menggunakan konsol ini sebagai sebuah komputer yang berkuasa.

Ia juga hadir dengan slot storan MicroSD yang membolehkan anda untuk mengembangkan storan dalaman sekiranya diperlukan dan palam audio 3.5mm yang boleh digunakan untuk disambungkan kepada fon telinga berwayar sekiranya diperlukan.

image is not available

Kesemua palam-palam ini juga dimuatkan di bahagian atas peranti ini, supaya anda boleh memegangnya di atas permukaan meja tanpa perlu risau mengenai keperluan menggunakan mana-mana palam tersebut.

Rekaannya yang ringan pada 608g juga membolehkan peranti ini untuk bukan sahaja dibawa kemana-mana di dalam beg anda, tetapi juga cukup ringan untuk dimainkan dengan selesa tidak kira di mana anda berada, dan anda tidak perlu risau tentang rasa lenguh sewaktu sesi gaming yang panjang.

Sokongan Perisian

Seperti konsol seperti AyaNeo 2, GPD Win dan sebagainya, ASUS ROG Ally menggunakan sistem operasi Windows 11 dan ini membolehkan pengguna untuk memasang sejumlah besar platform gudang permainan seperti Steam, GoG, Epic Games Store, Ubisoft Connect dan sebagainya.

image is not available

Untuk memudahkan lagi penggunaan peranti ini, ASUS juga menawarkan perisian Armory Crate SE. Armory Crate ialah perisian yang merumahkan pelbagai jenis kawalan untuk komponen dan aksesori ASUS sebelum ini, dan dengan Armory Crate SE, ia juga digunakan untuk mengakses permainan-permainan yang dipasang dengan cepat dan mudah, dan juga untuk mengakses pelbagai tetapan peranti ini.

Anda juga boleh menetapkan mod prestasi, mengubah tetapan butang kawalan, menambah dan membuang permainan-permainan yang anda mahu dalam senarai permainan, kawalan pencahayaan untuk peranti-peranti ini dan juga aksesori ASUS ROG yang menyokong teknologi pencahayaan Aura Sync yang disambungkan kepada konsol ini.

image is not available

Fungsi Command Center pula membolehkan pengguna untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan fungsi seperti mod prestasi, penggunaan pengawal permainan terbina, pemantauan prestasi peranti, pengehad FPS, pertukaran resolusi automatik dan juga Radeon Super Resolution.

Gabungan perisian-perisian ini memberikan ASUS ROG Ally ini satu kelebihan dari segi sokongan untuk permainan-permainan yang berbeza, tidak seperti Steam Deck yang hanya boleh menggerakkan permainan-permainan pada platformnya sahaja, ataupun permainan-permainan yang dimuat-turun bersama perisian pelagak (emulator) yang lain.

image is not available

Penggunaan sistem operasi Windows 11 juga membolehkan ASUS ROG Ally ini digunakan sebagai sebuah komputer, dan ini bermaksud bahawa pelbagai aplikasi lain seperti Netflix dan sebagainya boleh dimuat-turun melalui Microsoft Store, dan boleh menjadikan peranti ini sebagai sebuah alat multimedia yang cukup baik sekali.

image is not available

Sayang sekali peranti ini tidak mempunyai sebuah slot kad SIM terbina yang membolehkannya disambungkan ke internet tanpa WiFi, tetapi mungkin ia adalah sesuatu yang akan difikirkan oleh mereka untuk iterasi peranti yang akan datang.

Pengalaman Pengguna

Jika bercakap mengenai prestasi gaming semata-mata, saya boleh katakan bahawa ASUS ROG Ally tampil dengan kemampuan untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi 720p dan Full HD yang sangat baik sekali.

Tetapan yang dipilih juga dilihat memberi perbezaan dari segi kualiti olahan grafik dan juga kadar segar semula yang diperlihatkan, tetapi secara lazimnya untuk beberapa permainan yang kami uji, kami boleh menggerakkan beberapa permainan moden seperti Doom Eternal, dan Wolfenstein 2: The New Colossus, pada resolusi 720p dan tetapan pertengahan pada kadar segar semula 60FPS tanpa masalah.

image is not available

Malah saya akan katakan bahawa kebanyakan permainan yang anda akan mainkan pada peranti ini akan digerakkan pada resolusi dan kadar segar semula tersebut, walaupun skrin paparan ini mampu menyokong kadar segar semula sehingga 120FPS. Ini bukanlah satu masalah yang besar, dan saya selalu katakan bahawa untuk gaming pada peranti dengan skrin bersaiz kecil ini, keperluan resolusi tinggi tidaklah begitu penting.

Saya akan katakan bahawa dalam semua permainan yang saya mainkan, seperti Doom, A Plague’s Tale, Honkai Star Rail dan sebagainya, saya jarang sekali mengalami isu seperti kadar bingkai yang tersekat ataupun isu lengah masa dalam permainan.

image is not available

Malah, peranti ini juga tidak menghadapi isu panas, di bahagian pemegang dan pengawal permainan, di mana ia cukup bagus sekali untuk sesi gaming ringkas ataupun berjam-jam lamanya. Sistem penyejukan yang digunakan oleh ASUS untuk peranti ROG Ally ini cekap dalam mengalirkan haba dari komponen SoC ke lubang pengudaraan di bahagian atas peranti ini, dan digabungkan dengan jumlah penggunaan kuasa yang rendah SoC AMD Ryzen Z1 Extreme ini pada 30W sahaja, ia tidak mengejutkan bahawa peranti ini boleh dipegang untuk jangka masa lama tanpa masalah.

Lebih elok lagi, pengguna juga diberi akses mudah kepada bahagian dalam konsol ini, di mana pengguna boleh menaiktarafkan storan SSD terbina jika mereka mahu, dan juga menukar pengawal analog apabila diperlukan.

image is not available

Malah, ROG Ally ini juga boleh digunakan sebagai komputer biasa sekiranya anda membeli sebuah dermaga yang menyokong sambungan HDMI, DisplayPort dan sebagainya, dan menyambungnya ke paparan skrin.

Jika anda mahukan prestasi yang jauh lebih hebat lagi, dan mempunyai wang untuk memilikinya, anda juga boleh menyambungkan peranti ini ke kad grafik XG Mobile, yang memberi anda akses kepada sebuah kad grafik kelas premium (NVIDIA GeForce RTX 3080/4080) yang boleh menjadikan peranti ini sebagai sebuah komputer desktop kelas berkuasa.

image is not available

Walaupun begitu, sepanjang saya menggunakan konsol ROG Ally ini, isu saya dengan peranti secara lazimnya ialah berkenaan UI (antaramuka) dan juga UX (pengalaman penggunaan). Saya katakan ini kerana ROG Ally ialah sebuah peranti yang dikuasakan oleh sistem operasi Microsoft Windows 11.

Ini membolehkan ROG Ally untuk menggerakkan pelbagai jenis platform permainan tanpa masalah, tetapi ia juga tampil dengan isu-isunya sendiri. Pertama ialah rekaan antaramuka sistem operasi ini yang tiada perbezaannya dengan komputer desktop ataupun komputer riba. Isu di sini ialah ROG Ally mempunyai paparan sesentuh bersaiz 7.0 inci yang tidak mempunyai skala yang tepat untuk menggunakan antaramuka seperti ini.

Isunya bagi saya ialah mengakses menu sistem operasi ini, dan menatal pelbagai tetapan sistem operasi ini adalah lebih sukar dengan paparan skrin sekecil ini. Malah, apabila menggunakan papan kekunci digital untuk mengakses beberapa tetapan seperti untuk memasukkan kata laluan WiFi, mencari perisian dan sebagainya, ia agak sukar untuk memasukkan input pada peranti ini.

image is not available

Microsoft telah mengatakan bahawa mereka akan membangunkan antaramuka Windows 11 untuk peranti konsol seperti ROG Ally ini, tetapi sehingga hari tersebut hadir, anda akan perlu hidup dengan antaramuka yang sedikit leceh ini.

Satu lagi isu UI/UX pada peranti ini hadir melalui perisian Armory Crate SE. Cara ASUS menggunakan perisian ini juga sebenarnya adalah cukup baik, kerana anda boleh mengakses permainan-permainan yang dipasang pada peranti ini dengan cepat dan mudah daripada home screen peranti ini. Tetapan peranti seperti kadar lewah jam, kadar segar semula skrin, tetapan butang dan kemas kini peranti ini juga semuanya dapat diakses dari Armory Crate dengan cepat dan mudah.

Cuma isunya untuk masa ini, khususnya apabila ROG Ally ini masih belum dijual di pasaran lagi ialah ia juga hadir dengan beberapa isu antaramuka dan pengalaman penggunaannya sendiri. Pertama ialah jika anda membuka lebih dari satu perisian gudang permainan seperti Steam dan Xbox Store, anda tidak dapat mengakses desktop peranti ini menggunakan butang pintasan yang terbina di dalamnya kerana ia hanya akan mengulangi tetingkap gudang-gudang digital ini dan Armory Crate SE sahaja, walaupun ia mampu melakukannya sebelum ini.

image is not available

ASUS dilihat mengeluarkan sejumlah kemas kini untuk perisian tersebut, tetapi sewaktu saya menulis ulasan ini, perkara ini masih lagi salah satu isu terbesar untuk saya yang masih berlaku.

Perkara seterusnya mungkin bukan satu isu yang besar, tetapi dalam pengalaman saya bermain dengan ROG Ally ini juga, hanya satu perisian permainan boleh diaktifkan pada satu-satu masa, di mana peranti ini akan meminta anda untuk menutup permainan sebelumnya sebelum anda memainkan permainan baru.

image is not available

Pada konsol-konsol moden seperti PlayStation 5 dan Xbox Series, anda boleh membiarkan permainan-permainan untuk “tidur” di latar belakang sewaktu memainkan permainan baru, tetapi sayangnya ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan pada peranti ini pada masa ini.

Audio

ASUS ROG Ally hadir dengan pembesar suara stereo terbina, dan menyokong teknologi Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman pendengaran yang cukup baik sekali. Pembesar suara terbina pada peranti ini cukup lantang sekali, tetapi tidak sehingga audionya pecah, menjadikan ROG Ally ini sebuah peranti multimedia yang baik bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi untuk menonton dan mendengar kandungan juga.

Bateri

Konsol ASUS ROG Ally hadir dengan bateri sebesar 40Wh yang mana ASUS menjanjikan penggunaan selama 4 jam dengan satu pengecasan yang penuh. Jangkaan ini bukanlah tidak benar, tetapi hanya jika anda menggunakan peranti ini untuk tujuan seperti melayari laman web ataupun untuk menonton video melalui aplikasi Netflix.

Apabila digunakan untuk tujuan memainkan permainan-permainan kegemaran anda, peranti ini boleh hidup selama sejam ke dua jam bergantung kepada permainan yang dimainkan, dan apa yang menariknya ialah jika jangka hayat bateri adalah mencukupi, ia boleh menggerakkan permainan-permainan ini pada tetapan dan kadar segar semula yang tinggi.

image is not available

Melalui promosi yang dilakukann oleh ASUS, ia dilihat bahawa ROG Ally ialah sebuah peranti yang sepatutnya digunakan bersama-sama dengan aksesori pengecas Power Delivery 65W mereka. Jika anda mempunyai power bank dengan sokongan teknologi pengecasan tersebut, secara teknikalnya anda juga boleh mendapatkan jangka hayat permainan yang cukup lama sekali tanpa sebarang masalah.

Cuma ya, dengan bateri yang terbina sahaja, anggaran jangka hayat peranti ini tidaklah selama apa yang diuar-uarkan oleh ASUS.

Dalam Kotak

Di dalam kotak ASUS ROG Ally yang dibekalkan kepada kami, ini adalah kandungan yang diperlihatkan buat masa ini. Kandungan ini berkemungkinan akan bertukar apabila peranti ini dijual secara rasmi kelak.

  • 1x ASUS ROG Ally
  • 1x pengecas Power Delivery 65W

Penutup

ASUS ROG Ally ialah konsol permainan PC hibrid yang ditunggu-tunggu orang ramai apabila ASUS mengesahkan kewujudannya secara rasmi pada awal bulan April. Dari segi binaan, prestasi dan juga sokongan perisian permainan, saya tidak teragak-agak untuk katakan bahawa ia ialah konsol permainan terbaik dalam segmen ini.

Cuma saya berharap bahawa ASUS akan memperbaiki antaramuka dan beberapa isu yang terkandung dalam Armory Crate SE untuk memperbaiki lagi mutu pengalaman pengguna mereka yang berminat untuk membeli konsol ini.

Jika ada satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan ialah dengan kehadiran rasmi peranti ini di Malaysia, mereka yang membelinya akan mendapat sokongan daripada ASUS Malaysia dari segi waranti dan juga pembaikan peranti yang jauh lebih mudah dan baik.

image is not available

Jika anda sanggup mengimport konsol ROG Ally ini apabila ia dilancarkan pada bulan Jun ini, saranan saya ialah untuk tunggu dahulu sehingga pihak ASUS memperbaiki isu berkaitan antaramuka, pengalaman pengguna dan juga bateri peranti ini.

Walaupun saya mengakhiri ulasan ini, saya pasti bahawa pihak ASUS masih lagi akan hadir dengan banyak lagi kemas kini perisian untuk memperbaiki mutu konsol ini sebelum ia tiba ke tangan para pelanggan yang saya jangka tidak sabar untuk menggunakan peranti ini.

Buat masa ini, ASUS Malaysia masih belum mengesahkan tanda harga peranti ini, tetapi kita tau bahawa model ini, yang dikuasakan oleh AMD Ryzen Z1 Extreme hadir dengan tanda harga $699 di Amerika Syarikat, yang mana ia masih lagi di bawah tanda harga RM4000 dan akan mula dijual di pasaran tempatan bermula bulan Julai ini, bergantung kepada bekalan stok global.

Pro

  • Prestasi mengagumkan
  • Rekaan dan binaan peranti yang padat dan mudah dibawa kemana-mana
  • Mudah digunakan
  • Menyokong lebih dari satu gudang permainan digital
  • Tidak panas
  • Kualiti audio yang merdu
  • Akses kepada komponen yang mudah

Kontra

  • Jangka hayat bateri tidak seperti yang dikatakan
  • Isu antaramuka dan pengalaman pengguna yang boleh diperbaiki lagi

image is not available