
Zootopia 2 kembali menemui penonton ke dunia metropolis haiwan yang penuh warna selepas hampir satu dekad kejayaan filem pertamanya. Sekuel ini hadir dengan harapan dan tekanan tinggi memandangkan Zootopia (2016) bukan sahaja diterima baik oleh penonton malah dipuji kerana satira sosialnya yang matang dan penuh makna. Dalam filem terbaharu ini, Disney masih mengekalkan formula asal yang menekankan dinamika antara spesis serta isu kemasyarakatan sambil memperluaskan dunia dan memperkenalkan cabaran baharu kepada watak utama, Judy Hopps dan Nick Wilde.
Penceritaan Zootopia 2 bermula dengan Judy dan Nick kini bekerjasama secara rasmi sebagai pegawai polis. Mereka ditugaskan menyiasat satu kes pelik melibatkan kemunculan reptilian iaitu ular di bandar mamalia tersebut. Kehadiran spesies baharu ini bukan sahaja mengundang persoalan tentang sejarah Zootopia tetapi juga membuka rahsia lama yang melibatkan sistem bandar, politik dan hubungan kuasa antara spesies.
Plot filem ini cuba membawa penonton ke arah lebih luas dengan meliputi konspirasi, perancangan jahat dan pertarungan nilai sekali gus memberi dimensi lebih besar berbanding isu prasangka dan stereotaip yang menjadi tumpuan dalam filem pertama. Naratifnya sungguh menarik kerana penuh dengan elemen mengejutkan ditambah pula plot twist yang tidak disangka-sangka.


Dari segi watak, Judy Hopps yang disuarakan oleh Ginnifer Goodwin masih memancarkan optimisme dan semangat kuat sebagai polis muda yang percaya pada keadilan. Nick Wilde yang dilakonkan suara Jason Bateman pula meneruskan persona sinis tetapi bijak menjadikan gandingan mereka tetap kukuh dan menghiburkan. Aura antara kedua-duanya menjadi elemen penting yang mengikat keseluruhan filem terutama dalam adegan yang menuntut kerjasama dan kepercayaan. Watak baharu antagonis dari golongan reptilian diperkenalkan bagi menambah dimensi konflik dan ini memeperkayakan lagi watak-watak yang sedia ada.
Dari aspek visual, Zootopia 2 tidak mengecewakan. Dunia bandar yang sebelum ini sudah menakjubkan kini diperluas dengan reka bentuk lokasi baharu seperti zon reptilia, kawasan bawah tanah, padanag pasir dan persekitaran ekstrem yang menambah skala pengembaraan. Setiap perincian daripada tekstur bulu dan sisik haiwan, cahaya neon bandar hingga ke pergerakan watak, semuanya menunjukkan tahap ketelitian animasi yang tinggi. Adegan aksi pula dirakam dengan koreografi visual yang bertenaga dan menghiburkan.
Tema filem ini turut menyentuh isu sosial yang relevan seperti diskriminasi, marginalisasi dan sejarah penindasan terhadap kelompok tertentu. Walaupun disampaikan secara ringan dan mesra kanak-kanak mesejnya tetap jelas iaitu masyarakat hanya adil apabila semua pihak diberi ruang suara dan peluang sama rata.
Secara keseluruhannya, Zootopia 2 ialah sekuel yang menghiburkan, penuh warna dan mengekalkan semangat fiksyen dunia haiwan yang kreatif. Ia berjaya menjadi tontonan keluarga dengan menggabungkan humor, aksi dan mesej moral tanpa terasa berat. Cuti sekolah ini pasti lebih meriah jika pergi menontonya bersama keluarga.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya& Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
