Ulasan Harman Kardon Studio Aura 5 – Speaker Dengan Aura Tersendiri

TechnologyLifestyle
27 Feb 2026 • 3:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dalam dunia ini ada beberapa produk yang boleh dikategorikan mempunyai rekaan ikonik seperti iPod pertama, Volkswagen Beetle, iMac G3 dan Harman Kardon Soundsticks. Bentuknya sangat mudah dikenali dan dikekalkan pada model lebih terkini. Jika anda melawat Apple Store (atau Switch) di awal millennium, anda pasti akan dapat melihat speaker Harman Kardon Soundsticks yang dipaparkan dengan cukup prominen. Dilancarkan pada tahun 2000, speaker lutsinar direka oleh Harman dengan kerjasama Apple supaya serasi digunakan dengan pelbagai produk lutsinar Apple yang lain.

image is not available

Tidak ada speaker yang menyerupainya walaupun produk sudah berumur lebih suku kurun. Harman Kardon Studio Aura 5 menggunakan rekaan sama seperti Soundsticks cuma tanpa dua speaker satelit dan kini dilengkapi sistem lampu LED terbina. Apa bagus dan apa yang kurang? Ini ulasan penuh saya.

SPESIFIKASI

CiriHarman Kardon Aura Studio 5
JenisSpeaker bluetooth 360-Darjah
Pemandu6x Mid-range (40mm),
1x Tweeter (25mm)
1x Subwoofer (143mm)
Audio Disokong360-Darjah
Aplikasi SokonganHarman Kardon ONE App
Lampu5 Tema Animasi (Ocean, Aurora, Blossom, Sunrise, Fireplace)
SambunganBluetooth 5.4,
Auracast
Bicu Audio 3.5mm
Berat4.2 Kilogram
Harga JualanRM 1,599

REKAAN

Aura Studio 5 mengekalkan bentuk kubah ikonik yang diperbuat daripada bahan plastik lutsinar memberikan pandangan terus ke kebuk yang mengandungi sistem lampu LED. Bahagian kebuk lampu mempunyai panel yang kini rata tanpa blok berkotak seperti pada Aura Studio 4. Bagi saya rekaan ini sangat unik dan cantik tetapi anak saya ketawa kerana mengatakan “ini Kinder Egg untuk daddy?” dan saya bersetuju dengan pendapat beliau. Memang nampak seperti coklat kegemaran beliau tetapi menerima sentuhan Dr Robotnik.

image is not available

Satu-satunya isu saya dengan kubah plastik ini ialah sangat mudah menangkap kotoran. Apabila mengubah kedudukannya, cap tangan dan jari melekat dengan mudah. Di dalam rumah, baru dua hari diletakkan di atas meja, debu akan terkumpul. Maka rekaan yang bersih suci ini memerlukan anda sentiasa membersihkannya dengan kerap. Saya tak boleh ingat kali terakhir saya perlu kerap membersihkan sebuah speaker sejak dilahirkan hampir 50 tahun di muka bumi.

image is not available

Di bahagian bawah kubah plastik diletakkan kesemua pemandu audio dan panel sentuhan untuk mengawal speaker secara manual. Tiada alat kawalan disertakan sebaliknya ia bergantung sepenuhnya dengan aplikasi Harman Kardon One untuk mengakses pelbagai ciri speaker.

image is not available

Sebanyak 6 pemandu mid-range (40mm), 1x tweeter (25mm) dan 1x subwoofer (143mm) diletakkan di bahagian tapak. Pemandu di susun mengelilingi tapak bagi memberikan pengalaman audio 360 darjah. Butang untuk mengawal kelantangan audio, mematikan/menghidupkan lampu dan tambatan bluetooth diletakkan di bahagian tapak yang sama.

image is not available

KUALITI AUDIO

Kualiti audio adalah di mana Aura Studio 5 benar-benar menyerlah, malah boleh dikatakan lebih dinamik berbanding speaker jenis silinder seperti Apple HomePod dan Huawei Sound X yang pernah diulas sebelum ini. Ini kerana saiznya yang lebih besar membolehkan audio dimainkan lebih lantang sebelum kesan distorsi dapat didengari.

image is not available

Dalam kelas speaker silinder semua dalam satu, saya merasakan Aura Studio 5 mempunyai audio yang paling baik dengan ia terasa lebih luas. Lagu jenis rock, vokal dan akustik paling serasi didengari menerusi speaker ini. Bass berdentum kuat dan dalam. Ini mendatangkan isu kerana ia boleh menenggelamkan profil audio lain.

image is not available

Aura Studio 5 ialah speaker yang menitikberatkan bass maka ia tidak begitu seimbang untuk semua genre muzik. Oleh sebab yang sama ia tidak serasi langsung digunakan untuk menonton filem atau siri TV. Ini ialah kekurangan speaker jenis silinder kerana kekangan saiz dan lokasi speaker diletakkan. Ia direka untuk digunakan di ruang kecil di rumah atau pejabat. Untuk ruang ia direka audio yang ditawarkan adalah memuaskan. Jangan pula mengharapkan ia memintas speaker atau soundbar lebih besar.


PENGALAMAN PENGGUNAAN

Speaker ini menyokong Bluetooth 5.4 terkini, yang menawarkan sambungan lebih stabil dan pantas berbanding versi terdahulu. Proses menambat (pairing) dengan telefon pintar Android atau iPhone adalah pantas dan lancar sebarang isu. Sambungan menggunakan kabel 3.5mm dan Google Fast Pair juga boleh dilakukan. Yang aneh ialah tiada sokongan AirPlay yang pastinya mengecewakan pengguna ekosistem Apple.

image is not available

Satu ciri menarik ialah sokongan Auracast. Jika anda mempunyai dua unit Aura Studio 5 (atau speaker Harman Kardon lain yang menyokong Auracast), anda boleh menggabungkannya untuk pengalaman audio stereo yang lebih menyeluruh dan sokongan Multi Room.

Dari segi visual, lampu ambien yang bergerak mengikut alunan muzik memberikan pengalaman yang menenangkan. Terdapat 5 tema cahaya (seperti Fireplace dan Aurora) yang boleh dipilih, menjadikan speaker ini bukan sekadar alat audio, tetapi juga lampu hiasan yang menaikkan seri ruang tamu pada waktu malam. Terdapat ciri menggunakan lampu sahaja dengan audio deruman laut di latar belakang untuk santai di rumah. Ia mengubah Aura Studio 5 menjadi seakan sebuah Lava Lamp yang saya miliki di universiti lebih 20 tahun lalu.


PERISIAN

Aura Studio 5 dikawal menggunakan aplikasi Harman Kardon ONE. Antaramukanya ringkas dan mudah difahami. Antara yang boleh dikawal dalam aplikasi ialah corak kerlipan lampu, warna lampu, menghidupkan mod lampu limpah, tambatan kepada peranti, tetapan EQ dan mengemaskini perisian. Menyambungkan Aura Studio 5 kepada kelengkapan lain di bawah ekosistem Harman Kardon juga hanya boleh dilakukan menerusi aplikasi ini.

image is not available

Aplikasi adalah berguna dan lancar sama ada di Android atau iOS. Kekurangan hanyalah apabila lagu dimainkan, grafik muka album tidak dipaparkan. Agak aneh sehingga membuatkan saya lebih suka mengawal lagu dimainkan menerusi YouTube Music, Apple Music dan Spotify kerana lebih intuitif.

image is not available

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian:

  • 1x Harman Kardon Aura Studio 5
  • 3x Kabel Kuasa (pelbagai kepala plag mengikut rantau)
  • 1x Manual Panduan Pantas
  • 1x Kad Jaminan

KESIMPULAN

Harman Kardon Aura Studio 5 ialah speaker yang menggabungkan sistem lampu seakan aurora yang menarik dan kejuruteraan audio dengan cemerlang. Ia bukan sekadar speaker untuk didengar, tetapi objek boleh memberikan mood yang boleh menenangkan jiwa. Dari sudut audio ia memuaskan untuk sebuah speaker kecil untuk digunakan dalam ruang kecil di rumah. Seperti kata budak-budak Gen Z, ini ialah speaker khusus untuk aura farming apabila mempunyai tetamu di rumah.

image is not available

Prestasi audio lebih baik jika dibandingkan dengan Apple HomePod, Huawei Studio X dan Samsunh Music Frame. Namun ia pada hemat saya hanya serasi untuk mengalunkan muzik bukan untuk menonton video.

Pada harga RM 1,599 ia mungkin nampak mahal tetapi Aura Studio 5 sebenarnya dijual pada harga kompetitif berbanding Apple HomePod (RM 1549) dan Samsung Music Frame (RM 1999) yang ketiga-tiganya dipasarkan sebagai sistem audio estetik di rumah.

Pro

  • Rekaan kubah lutsinar yang ikonik dan futuristik.
  • Sistem audio 3-hala dengan audio 360 darjah.
  • Bass yang sangat bertenaga dan mendalam.
  • Pencahayaan ambien yang cantik dengan pelbagai tema.
  • Sokongan Bluetooth 5.4, Auracast dan kabel 3.5mm.

Kontra

  • Tiada sokongan AirPlay atau WiFi
  • Permukaan kubah akrilik mudah memerangkap habuk dan cap jari.
  • Agak berat.
image is not available
View Original Article