Ulasan Honor Magic6 Pro – Alternatif Cukup Menarik

TechnologyDigital
20 Mar 2024 • 4:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Honor Magic kini memasuki iterasi yang keenam dengan pelbagai fungsi tambahan menarik yang disertakan untuk kali ini. Ia memperkenalkan rekaan premium dengan binaan lebih padat dan sistem kamera serba baharu lengkap dengan kemampuan telefoto periskop yang adalah perlu bagi peranti kelas mercu.

image is not available

Dengan pelancaran rasmi di Malaysia hari ini mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah inovasi kali ini mampu memenuhi kehendak pengguna semasa? Persoalan ini adalah relevan memandangkan pasaran kini dipenuhi peranti mercu lain dengan fungsi lebih daripada memadai. Inilah ulasan kami untuk Honor Magic6 Pro.


Honor Magic6 Pro
Skrin6.8″ LTPO OLED
WQHD+, 120Hz
HDR10+, Dolby Vision
Kecerahan puncak 5000nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1×3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2×3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar)
180MP f/3.0 OIS (Periskop Telefoto)
Optikal 2.5X, digital 100X
Kamera Swafoto50 MP, f/2.0,
3D ToF
Bateri5,600 mAh
Pengecasan berwayar 80W
Pengecasan nirwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM 4499 (12/512GB)

Skrin Hadapan

Skrin 6.8-inci LTPO OLED yang digunakan adalah sama seperti generasi sebelum ini. Rekaannya juga masih melengkung pada kedua-dua sisi bersama saiz bezel yang nipis di hampir kesemua bahagian. Bagi mereka pernah memiliki Magic4 Pro dan Magic5 Pro pastinya tiada masalah untuk membiasakan diri dengan peranti ini.

image is not available

Perbezaan hanya terletak pada perubahan kedudukan lubang kamera yang kini berada di tengah dan tidaklah terlalu mengganggu kandungan. Dalam masa sama turut dilindungi lapisan kaca khusus NanoCrystal Shield bertujuan melindungi skrin agar lebih tahan lama.

image is not available

Dengan skrin OLED, paparan kandungan yang memuaskan sudah pastinya dapat dinikmati. Ia dilihat terang dan tajam dengan penghasilan semula warna yang bermaya khususnya apabila digunakan dalam kawasan tertutup. Sudut pandangan juga memuaskan untuk pelbagai kandungan.

image is not available

Keadaan itu bertambah baiknya lagi apabila skrin menyokong kedua-dua format HDR10+ dan Dolby Vision untuk pengalaman tontonan yang nampak lebih sinematik. Begitu juga dengan kandungan Netflix yang boleh distrim pada resolusi HD penuh kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1.

image is not available

Isu yang dihadapi kami hanyalah kegagalan skrin untuk memaparkan kecerahan yang sepatutnya dalam situasi tertentu. Honor mendakwa peranti mempunyai kecerahan puncak 5,000 nits dan kecerahan maksimum biasa 1,600 nits. Dengan kecerahan yang tinggi peranti skrin peranti sepatutnya boleh dilihat dengan jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari.

Namun sebaliknya pula yang berlaku apabila kami mempunyai masalah untuk membaca skrin dengan jelas di bawah matahari. Kemudian dilihat terlalu terang sehinggakan ada masanya tidak selesa untuk menonton kandungan di dalam gelap.

image is not available

Seterusnya Magic6 Pro menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi pengguna diberikan pilihan untuk bertukat ke 60Hz atau 90Hz untuk lebih penjimatan bateri. Paparan terbaik adalah pada 120Hz namun begitu kami merasakan pada kadar 90Hz sekalipun skrin masih memuaskan.

Ia juga mempunyai teknologi 4320Hz PWM Dimming lebih tinggi yang mampu meminimumkan isu kerlipan. Di samping, teknologi melindungi mata yang lain seperti Dynamic Dimming dan Circadian Night Display.


Rekaan Fizikal

Untuk kali ini pengalaman memegang peranti terasa lebih berat dan padat berbanding sebelum ini. Tubuhnya dilengkapi binaan berbeza yang termasuk kaca premium melengkung di hadapan dan bingkai logam di bahagian sisi.

image is not available

Sementara itu panel belakang pula hadir dengan rekaan serba ringkas namun tampil premium. Lebih-lebih lagi untuk warna Epi Green yang nampak cukup bergaya seperti unit di tangan kami. Disebabkan bahagian belakang yang bertekstur dan kasar juga menjadikan peranti tidak terlalu licin untuk dipegang meskipun tanpa kerangka.

image is not available

Seterusnya, bahagian belakang didominasi oleh bonggol kamera yang besar dengan persediaan tri-kamera utama. Susunan sensor masih sama dengan Magic5 Pro namun saiz sensor telefoto di bahagian atas telah diperbesarkan. Kemudian Honor juga menggabungkan elemen bulatan dan empat segi melalui bonggol kamera yang turut menyediakan kemampuan zum yang tinggi.

image is not available

Sisi kanan menempatkan butang kuasa dan audio yang juga diperbuat daripada logam. Diikuti pula dengan port pengecas, ruang slot SIM dan pembesar suara di bahagian bawah. Tiada ruang slot SIM disediakan namun memori boleh dikembangkan secara maya melalui fungsi RAM Turbo.

image is not available

Honor juga menempatkan pemancar merah di bahagian atas bersama sebuah lagi pembesar suara dan lubang mikrofon. Selain itu, peranti melepasi piawaian IP68 yang bermakna kalis air dan habuk. Fungsi NFC juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pembayaran digital nirsentuh.


Biometri

Magic6 Pro mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Ia berfungsi dengan baik secara konsisten tanpa kegagalan mengimbas jari. Pujian juga diberikan untuk sokongan imbasan wajah disediakan yang boleh menyahkunci peranti dengan pantas walaupun dalam keadaan gelap. Sistem biometri lain turut disediakan seperti kata laluan, nombor pin dan lukisan sebagai pilihan tambahan yang boleh dimanfaat oleh pengguna


Perisian – MagicOS 8.0 (Berasaskan Android 14)

Dari segi perisian, pelancar baharu MagicOS 8.0 berasaskan Android 14 digunakan pada peranti. Sepintas lalu nampak dengan jelas antaramuka MagicUI baharu ini tiada bezanya dengan iterasi sebelum namun sebenarnya ia dibina bersama model AI untuk sejumlah ciri baharu. Sekaligus mampu meningkatkan kepuasan pengguna sewaktu menggunakan peranti.

image is not available

image is not available

image is not available

Antaranya seperti Magic Portal yang membolehkan pengguna menukar dan mengakses perkhidmatan antara aplikasi dengan hanya drag dan drop. Sebagai contoh ialah proses salin dan tampal artikel pada aplikasi Notes. Melaluinya pengguna boleh menyalin mana-mana ayat atau petikan yang dimahukan, kemudian sahaja seret ke kanan untuk ditampalkan pada Notes.

image is not available

image is not available

Kesemua ayat akan ditampal dengan mudah dan diberi juga beberapa suntingan tambahan lain yang termasuk merekod audio. Ia juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain seperti mencari sesebuah lokasi, beli-belah secara dalam talian, menghantar emel, muat-naik siaran di Instagram dan banyak lagi.

Seterusnya ialah Magic Ring bagi tujuan pengalaman yang lancar merentasi peranti berbeza termasuk tablet, komputer riba dan lain-lain. Terdapat juga ciri Magic Capsules yang berfungsi seperti Dynamic Island untuk pemberitahuan asas seperti kiraan jam randik dan main baik video.

image is not available

Fungsi Air Scroll pula membolehkan proses menavigasi skrin boleh dibuat menggunakan gerak isyarat sahaja. Misalnya seperti menggunakan gerak isyarat untuk membuat tangkap layar, menatal ke atas atau ke bawah, menjawab panggilan dan menjeda main balik audio/video.

Kemudian pengalaman panggilan suara turut boleh dinikmati dengan kemampuan AI Privacy Calling terbina yang sedia diperkenalkan sejak Magic4 Pro lagi. Ia boleh menapis bunyi suara daripada panggilan seterusnya menghalang orang sekeliling daripada mendengarnya.

image is not available

Paling penting ialah Magic6 Pro berfungsi sepenuhnya dengan mana-mana aplikasi atau perkhidmatan yang memerlukan log masuk ke akaun Google. Sekaligus aplikasi seperti YouTube, Google Maps, Google Photos, gMail dan banyak lagi ekosistem Google boleh diakses tanpa masalah.

image is not available

Seperkara yang menarik perhatian ramai sewaktu pembentangan produk ini di MWC 2024 ialah sokongan model bahasa raya LLaMa 2 yang terbina pada peranti. Ia boleh digunakan untuk sokongan soal jawab, penjanaan teks dan meringkaskan teks bacaan pada peranti. Bagi menjayakannya, Honor telah bekerjasama dengan Qualcomm namun masih diperingkat demo semata-mata.

Honor juga menjanjikan sokongan kemas kini selama empat tahun sistem operasi dan lima tahun untuk sekuriti pada peranti baharu ini. Kedengaran agak bagus namun ia masih ketinggalan berbanding dua pengeluar lain seperti Samsung dan Google yang menawarkan kemas kini di antara tujuh hingga lapan tahun lamanya untuk peranti mereka.


Penanda Aras – Cip Snapdragon 8 Gen 3

image is not available

Magic6 Pro dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan memori 12GB LPDDR5X RAM dan storan 512GB UFS 4.0. Gabungan cip pemproses berkuasa dan memori besar bermakna prestasi yang baik juga boleh diharapkan melaluinya. Seperti yang dimaklumkan peranti menyokong penambahan RAM secara maya 8GB melalui fungsi RAM Turbo. Ia diaktifkan terus secara lalai tanpa kebolehan untuk diubahsuai. Skor yang dicatatkan dalam aplikasi penanda aras popular adalah seperti di bawah.

image is not available

AnTuTu 3D

  • Honor Magic6 Pro – 1,366,519
  • Xiaomi 14 – 1,773,520
  • iQOO 12 – 2,075,82
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
  • ASUS ROG Phone 8 – 1,953,486
  • RedMagic 9 Pro – 2,114,787

Geekbench 6

  • Honor Magic6 Pro – 1362/4677
  • Xiaomi 14 – 1741/6313
  • iQOO 12 – 2181/6631
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
  • ASUS ROG Phone 8 – 3032/6373
  • RedMagic 9 Pro – 2153/6775

3DMark Wildlife Extreme

  • Honor Magic6 Pro – 2,492
  • Xiaomi 14 – 4,499
  • iQOO 12 – N/A
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 4,657
  • ASUS ROG Phone 8 – 5,236
  • RedMagic 9 Pro – 5,231

Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai prestasi. Penggunaan hampir sebulan menunjukkan peranti boleh mengendali sebahagian besar tugasan harian dengan baik. Keadaan ini sudah tentunya dibantu oleh gabungan mantap 16GB dan storan dalaman 512GB. Storan UFS 4.0 mampu melancarkan aplikasi dengan pantas tanpa kegagalan peranti berfungsi.

image is not available

Tatalan juga lancar tanpa isu lengah masa kronik kerana kadar segar semula tinggi terbina yang berfungsi dengan baik. Kemudian pengalaman bermain permua juga baik namun sedikit panas selepas sesi yang panjang. Isu yang sama turut boleh dirasai dengan kadar pemanasan lebih ketara sewaktu melakukan ujian penanda aras.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Magic6 Pro dilengkapi persediaan tri-kamera utama dengan gabungan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 50MP dan periskop telefoto 180MP. Di hadapan pula, terdapat kamera swafoto sebesar 50MP dan sensor 3D ToF.

image is not available

Peningkatan sudah tentunya dilakukan untuk sensor periskop telefoto sebesar 180MP dengan zum optikal sehingga 2.5X dan digital 100X. Kamera peranti juga menawarkan kebolehan aperature yang boleh berubah di antara f/1.4 dan f/2.0 bergantung pada imej yang diambil. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina untuk penghasilan gambar dengan imbangan cahaya lebih baik. Namun masih boleh dimatikan secara manual sekiranya perlu.

image is not available

Turut diberi fokus ialah ciri Millisecond Falcon Capture serba baharu dengan peningkatan pada masa kelajuan autofokus dan butang pengatup untuk tangkapan objek yang bergerak bersama kabur minima. Diikuti juga fungsi AI Motion Sensing Capture 2.0 untuk penghasilan gambar pegun dalam gerakan yang drastik yang lebih baik. Ia didapati boleh berfungsi dengan baik dalam sesetengah dengan hasil lebih tajam berbanding generasi sebelum ini.

image is not available

image is not available

Seperti biasa pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3 dan penuh. Peranti turut boleh merakam video sehingga 4K/60fps dengan penstabilan terbina menggunakan kamera utama. Seterusnya rakaman video Magic-Log 10-bit Log 4K 60FPS dan Movie 3D LUT. Ini fungsi yang sama seperti sebelum ini di mana membolehkan setiap butiran pada rakaman dikekalkan dengan baik.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Kamera utama boleh menghasilkan gambar yang baik bergantung pada keadaan. Melihat contoh gambar yang dilampirkan sebahagian besarnya mempunyai penghasilan semula warna yang menonjol sekaligus tampil lebih menarik. Perincian juga dijaga dengan baik bersama hingar yang minimum kecuali untuk tangkapan gambar ultra-lebar. Namun ini tidak bermakna tiada langsung tarikan untuk sensor tersebut. Malahan penghasilan semula warna nampak bermaya seumpama kualiti daripada kamera utama.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Seterusnya, tiada masalah dedahan berlebihan dapat dilihat pada sumber cahaya malahan kontras mampu dikekalkan sebaiknya. Sistem kecerdasan buatan AI terbina juga memudahkan peranti menawarkan tetapan terbaik mengikut keadaan semasa. Selain itu peranti juga mampu mengambil gambar waktu malam yang menyerlah dengan hasil yang terang dan hingar terkawal.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Bagaimanapun kekurangan mula disedari pada keupayaan potrait yang memberi hasil tidak konsisten. Jelas boleh dilihat gambar yang diambil pada jarak 2X mengalami perubahan warna amat drastik dalam pencahayaan rendah. Ia dilihat lembut dengan warna nampak kebiru-biruan yang tidak bermaya. Namun ia tidak pula berlaku untuk gambar dalam pencahayaan terang. Dalam pada itu, edge detection juga tidak sempurna dengan latar belakang yang gagal dikaburkan sebaiknya meskipun dalam situasi yang tidak kompleks.

Prestasi zum pula terbaik sehingga 10X dengan perincian pada gambar yang masih terjaga. Namun situasi mula berubah pada zum yang lebih tinggi apabila hasilnya dilihat kurang memuaskan dengan perincian yang hilang sepenuhnya. Viewfinder pada Magic6 Pro juga kurang stabil pada tetapan zum yang tinggi. Pujian masih boleh diberikan untuk kamera swafoto yang mampu memberi hasil lebih ke arah semula jadi tanpa mod kecantikan yang diaktifkan.

image is not available

image is not available

image is not available