Kemunculan Infinix GT 30 menambah pilihan baharu dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan. Peranti ini hadir dengan spesifikasi yang seimbang, sesuai untuk pengguna yang mencari gabungan antara prestasi harian, pengalaman permainan yang stabil serta harga yang berpatutan.

Ciri seperti trigger button dan panel belakang dengan rekaan mekanikal bercahaya menjadi antara tarikan utama pada peranti ini. Ia turut dipasarkan sebagai sebuah telefon pintar gaming bajet, namun persoalannya sejauh mana praktikalnya dalam penggunaan dunia sebenar?
Pengalaman Penggunaan
| Infinix GT 30 | |
|---|---|
| Skrin | 6.78″ AMOLED, 144Hz, 1224 x 2720 piksel 20:9 ratio (~440ppi) 1600 nit Corning Gorilla Glass 7i |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 7400 (4 nm) |
| Cip | 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Mali-G615 MC2 |
| RAM | 8GB RAM LPDDR4X 8GB RAM Maya |
| Muatan Dalaman | 256GB UFS 2.2 |
| Kamera Utama | 64 MP, f/1.8 23mm (lebar) 8 MP, f/2.2 (ultra-lebar) |
| Kamera Depan | 13 MP, f/2.2 (lebar) |
| Bateri | 5500 mAh Berwayar 45W Berbalik 10W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano / 5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP65 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM1,099 (8/256GB) |
Saya berpendapat bahawa rekaan Infinix GT 30 berpotensi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna. Hal ini demikian kerana beberapa elemen yang diketengahkan pada peranti ini kelihatan kurang selari dengan arus semasa bagi tahun 2025. Sebagai contoh, bonggol kameranya mengimbau kembali gaya rekaan peranti sekitar tahun 2021 yang kini pula dianggap agak ketinggalan berbanding trend reka bentuk terkini.

Walaupun begitu, saya masih berpendapat bahawa Infinix berjaya menjadikan rekaan tersebut kelihatan relevan. Hal ini terbukti apabila ia dilihat dalam konteks sebuah telefon pintar gaming mampu milik yang menampilkan elemen rekaan berkonsepkan cyberpunk.
Selain itu, panel belakang direka dengan corak geometri bersegi yang menonjol sekali gus memberikan sentuhan reka bentuk yang berbeza. Bagi saya, ciri ini secara tidak langsung mengukuhkan identiti peranti tersebut dan pada masa sama menyerlahkan karakter uniknya dalam pasaran telefon pintar yang kian mencabar.

Selain itu, sistem LED yang dikenali sebagai Mechanical Light Waves turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan tarikan peranti. Pada pandangan awal, saya merasakan ia mungkin kelihatan seperti sekadar gimik kerana cirinya mirip dengan Pulse Light yang ditawarkan oleh vivo. Namun demikian, penggunaannya sebenarnya lebih menarik, malah memberikan nilai tambah kepada rekaan. Dalam masa yang sama, ia juga terasa cukup kemas serta terperinci dari segi penawarannya.
Menariknya, pencahayaan tersebut boleh disesuaikan untuk bertindak balas terhadap pelbagai fungsi seperti panggilan masuk, pemberitahuan, dan muzik yang dimainkan. Melalui Party Mode, pengguna diberikan tiga pilihan kesan irama lampu (rhythm lighting) termasuk tetapan di mana lampu akan sentiasa menyala walaupun skrin dalam keadaan tertutup. Bagaimanapun, ciri ini turut memberi kesan terhadap penggunaan bateri, dan oleh itu perlu dipertimbangkan dari segi kecekapan tenaga.

Selain itu, pengguna juga boleh menetapkan tempoh masa kesan pencahayaan (light effect duration) bagi menentukan berapa lama lampu akan berkelip. Sementara itu, fungsi Flip to Flash membolehkan lampu berkelip secara automatik apabila peranti diterbalikkan dan skrin dihidupkan.

Konsep ini pada asasnya mengingatkan saya kepada pendekatan yang digunakan pada peranti Nothing khususnya apabila mod Party Mode Rhythm diaktifkan dalam tetapan. Namun begitu, tahap kebebasan kawalan pada Infinix masih belum setanding dengan yang ditawarkan oleh Nothing.
Seterusnya, antara ciri yang menarik perhatian saya ialah GT Shoulder Triggers. Pada mulanya, saya menyangka ia merupakan butang fizikal, namun sebenarnya ia adalah bahagian yang memberi respons terhadap sentuhan jari bagi membolehkan akses pantas.

Melalui ruangan tetapan, pengguna boleh menetapkan pelbagai fungsi seperti kamera, lampu suluh, serta pilihan lain mengikut keperluan. Dari segi pengalaman, sokongan haptiknya mungkin sederhana, tetapi tetap memberikan rasa responsif yang memadai. Selain itu, ia mampu mengesan sentuhan jari dengan baik dan sekali gus memberikan tindak balas segera.
Selain itu, peranti ini turut dilengkapi dengan butang kuasa dan laras audio di bahagian kanan, manakala bahagian kiri tidak menempatkan sebarang butang atau port. Di bahagian atas, terdapat pemancar infra-merah bersama pembesar suara sejenis stre sementara itu bahagian bawah menempatkan port USB-C, pembesar suara tambahan serta slot untuk kad SIM yang sekali gus melengkapkan keseluruhan rekaan peranti. Penggunaan sistem audio stereo di sini memberikan pengalaman bunyi yang jelas dan sekadar sedap didengar untuk kegunaan harian seperti menonton video atau mendengar muzik.

Kemudian, skrin hadapan AMOLED bersaiz 6.78 inci digunakan, yang sememangnya sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan peranti masa kini. Malah, ia sama seperti versi Pro sebelum ini, sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati pengalaman setaraf Pro pada harga yang lebih rendah. Selain itu, skrin ini turut dilapisi Corning Gorilla Glass 7i.
Namun secara logiknya, saya tidak menguji ketahanannya dengan cara menggores atau menjatuhkannya kerana tiada siapa membeli peranti untuk tujuan tersebut. Sehingga kini, pengalaman saya menunjukkan tahap ketahanannya memuaskan. Meskipun terdapat calar halus, ia hanya muncul pada pelindung skrin tambahan dan bukan pada panel asal.

Dari segi prestasi, pengalaman saya menggunakan skrin ini cukup meyakinkan, terutamanya apabila mod 144Hz diaktifkan. Tatalan terasa responsif sama ada ketika menelusuri media sosial, bermain permua, mahupun menyelesaikan tugasan harian termasuk membalas mesej. Selain itu, sistem beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah atau lengah masa.
Bagi saya, sokongan skrin 144Hz ini merupakan satu kelebihan besar, kerana tidak semua peranti pada harga sebegini menawarkan ciri tersebut, sekali gus menjadikannya nilai tambah yang sangat bernilai. Pun begitu, tidak semua pengguna akan benar-benar memanfaatkannya secara menyeluruh memandangkan ia turut memberi kesan kepada penggunaan bateri.
Perkakasan Dan Perisian

Infinix GT 30 menggunakan cip Mediatek Dimensity 7400 bersama gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Selain itu, ia turut menawarkan memori maya melalui fungsi Memfusion sehingga 8GB RAM, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mencapai sehingga 16GB RAM.
Pun begitu, storan tidak boleh dikembangkan lagi, yang bermaksud pengguna terhad kepada konfigurasi asal. Oleh itu, versi 256GB merupakan pilihan yang saya syorkan untuk tahun 2025. Seterusnya, saya akan kongsikan markah penanda aras serta beberapa perbandingan terdekat.
- Tecno Camon 40 Pro 5G – Dimensity 7300 Ultimate
- CMF Phone 2 Pro – Dimensity 7300 Pro
- Infinix Note 40 Pro – Dimensity 7020
- Poco X7 – Dimensity 7300 Ultra
- Realme 14 5G – Snapdragon 6 Gen 4
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Infinix GT 30 | 955,191 |
| Tecno Camon 40 Pro 5G | 664,827 |
| CMF Phone 2 Pro | 688,532 |
| Infinix Note 40 Pro | 450,320 |
| Poco X7 | 686,014 |
| Realme 14 5G | 763,258 |
Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Infinix GT 30 | 1070 | 3068 |
| Tecno Camon 40 Pro 5G | 1017 | 3079 |
| CMF Phone 2 Pro | 1006 | 2957 |
| Infinix Note 40 Pro | 1120 | 3338 |
| Poco X7 | 1026 | 2936 |
| Realme 14 5G | 1106 | 3080 |
Wild Life 3DMark Extreme
| Cip | Skor |
| Infinix GT 30 | 1047 |
| Tecno Camon 40 Pro 5G | 870 |
| CMF Phone 2 Pro | 833 |
| Infinix Note 40 Pro | N/A |
| Poco X7 | 850 |
| Realme 14 5G | 967 |
Namun, itu sekadar nombor dan yang lebih penting ialah pengalaman penggunaan harian di dunia sebenar. Dalam penggunaan seharian, telefon ini memang boleh diharap kerana tiada penurunan prestasi atau lengah masa ketika multi tugas, beralih antara aplikasi mahupun menavigasi antaramuka.
Sepanjang masa, ia terasa lancar dan responsif seperti sebuah peranti kelas pertengahan biasa. Sekiranya dibandingkan dengan cip peranti lebih terkini pastinya yang satu ini sekadar memadai. Meskipun begitu, dalam kelasnya ia berfungsi dengan sebaiknya.

Dari segi pengalaman permainan, GT 30 boleh dianggap memadai kerana ia mampu menjalankan kebanyakan judul dengan stabil. Sebagai contoh, Honor of Kings dapat dimainkan dengan lancar, namun tetapan grafik tertinggi hanya menyokong sehingga 60FPS walaupun berada pada pilihan maksimum.

Begitu juga dengan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang mampu mencapai 60FPS pada tetapan ultra. Sekali-sekala kadar bingkai boleh turun sehingga 51FPS tetapi penurunan tersebut jarang berlaku dan kebiasaannya masih kekal sekitar 59FPS. Prestasi keseluruhan dilihat stabil tanpa kelewatan respons atau kegagalan sistem, meskipun dalam pertempuran yang melibatkan banyak watak.

Sementara itu, Call of Duty Mobile (CODM) boleh dimainkan mencapai tahap 90FPS yang memberikan pengalaman yang lebih lancar berbanding permainan lain. Selain itu, pengurusan haba peranti ini juga cukup baik kerana ia hanya terasa suam dan sistem terus berjalan dengan stabil tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan.
Secara keseluruhan, GT 30 menawarkan prestasi yang stabil dan boleh diharap untuk kelas pertengahan. Namun, jika dibandingkan dengan cip flagship atau peranti gaming khusus, ia jelas mempunyai batasan contohnya kadar FPS yang terkunci pada 60 untuk sesetengah permainan.

Penambahan GT Triggers turut bantu meningkatkan pengalaman permainan saya terutamanya dalam CODM di mana tindak balas segera amat diperlukan. Namun seandainya anda bukanlah jenis yang gemar bermain permainan mudah alih dan berpendapat bahawa butang ini tidak berguna, jangan risau kerana ia boleh disesuaikan untuk melakukan pelbagai tindakan lain.
Misalnya, apabila tidak berada dalam mod permainan, saya menggunakannya sebagai butang kamera atau untuk menghidupkan lampu suluh, yang menjadikannya lebih praktikal dalam penggunaan harian kerana saya tidak perlu membuka telefon untuk mencari aplikasi tersebut.

GT 30 menggunakan sistem operasi XOS 15 berasaskan Android 15 yang dilengkapi dengan pelbagai ciri berasaskan AI. Melalui AI Studio, terdapat beberapa fungsi utama yang ditawarkan. AI Eraser berfungsi untuk membuang subjek yang tidak diingini dalam gambar, namun hasil gantian kadangkala kurang tepat dan boleh kelihatan pecah-pecah.

Seterusnya, AI Sharpen Plus lebih menumpukan kepada peningkatan warna gambar agar kelihatan lebih cerah berbanding menajamkan imej. Selain itu, AI Extender menyokong pembesaran sehingga 140% dengan pilihan untuk mengekalkan nisbah aspek menggunakan bentuk bebas atau melaraskan sudut putaran dan hasilnya dilihat realistik.

Di samping itu, terdapat juga Dynamic Bar yang berfungsi memaparkan maklumat penting dengan konsep yang hampir sama seperti Dynamic Island. Infinix turut melengkapkan peranti ini dengan pelbagai ciri AI lain seperti Folax Voice yang membolehkan kawalan suara, Folax Smart Touch yang menyediakan gerak isyarat pintar, Call Assistant yang membantu mengurus panggilan serta Translation Assistant yang memudahkan terjemahan teks atau dialog.

Selain daripada itu, Social Assistant menyokong interaksi media sosial, Document Assistant memudahkan pengurusan dokumen, manakala Writing Assistant memberikan cadangan penulisan yang lebih baik. AI Note pula digunakan untuk menyusun nota, Recording Summary boleh menghasilkan ringkasan daripada rakaman suara, sementara itu AI Subtitle menyediakan sari kata automatik untuk video.

Selain itu, AI Wallpaper Generator membolehkan pengguna mencipta wallpaper mengikut tema pilihan, manakala AI Gallery pula mengatur gambar dan video dengan lebih teratur untuk memudahkan carian serta pengurusan. Seterusnya, Circle to Search memudahkan carian pantas terus daripada skrin sementara itu AI Suggestion memberikan cadangan tindakan yang relevan mengikut konteks penggunaan. Akhir sekali, Game Accelerator berfungsi mengoptimumkan pengalaman permainan melalui pengurusan sumber sistem dan rangkaian agar lebih lancar.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Kualiti yang ditawarkan oleh Infinix GT 30 boleh dianggap sederhana. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang masih berpotensi untuk diperbaiki agar pengalaman pengguna dapat ditingkatkan secara keseluruhan.

Bermula dengan mod AI Cam, saya dapati hasil gambar yang dihasilkan sekadar memuaskan. Apabila saya cuba melakukan zum maksimum sehingga 15X kualiti imej merosot dengan ketara terutamanya dalam keadaan pencahayaan rendah. Gambar yang diambil kelihatan kabur dan hampir tiada butiran jelas. Selain itu, terdapat kesan pemprosesan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang agak ketara sehingga imej kelihatan kurang semula jadi.




Peranti ini juga menawarkan pilihan untuk melangsingkan bentuk muka, bahu dan badan namun hasilnya kadangkala kelihatan janggal dan tidak realistik. Dari segi fokus, kamera cenderung tertumpu di bahagian tengah imej manakala bahagian tepi dilihat kehilangan ketajaman. Sementara itu dari segi warna saya perhatikan tona yang dihasilkan agak kurang kontras menyebabkan gambar kelihatan sekadar sederhana.







Bagi mod potret, pemisahan antara subjek dan latar belakang tidak begitu kemas menyebabkan hasilnya sekadar memuaskan dan tidak menyerlah. Selain itu, kesan bokeh yang dihasilkan lebih kepada kabur biasa, tanpa memberikan kedalaman seperti yang diharapkan. Dari segi tona kulit, ia kelihatan sedikit tepu, dan kelemahan ini menjadi lebih ketara apabila gambar diambil dalam keadaan pencahayaan rendah.



Untuk mod Super Night, kualiti yang ditawarkan sekadar memadai dan cukup untuk menyelesaikan tugas asas. Namun begitu, ia tidak boleh dijangka lebih. Detail masih ada tetapi tidak begitu tajam. Walaupun terdapat hingar (noise) tetapi ia tidak terlalu ketara. Lampu jalan atau sumber cahaya yang terlalu cerah pula menyebabkan kesan cahaya berlebihan yang sangat ketara. Selain itu, tiada kawalan manual untuk exposure kerana kamera menetapkan kawalan tersebut secara automatik.



Bagi mod Potret Malam, warna terhasil dilihat terlalu pudar dengan tona kulit yang kusam. Selain itu, pengalaman menggunakan mod ini turut menunjukkan sedikit lengah masasebelum gambar berjaya diambil. Selain itu, hasil rakaman cenderung menjadi terlalu terang sekali gus menjadikan kualitinya kurang konsisten.

Dalam aspek rakaman video, Infinix GT 30 menyokong resolusi sehingga 4K30FPS dan turut dilengkapi dengan mod penstabilan. Secara keseluruhan, kualiti video dirakam adalah memuaskan dengan tahap ketajaman yang baik.
Bagaimanapun, warna yang dihasilkan kelihatan sedikit pudar dan tidak begitu menyerlah. Sementara itu, rakaman dalam resolusi 1080P memberikan hasil yang hampir sama dengan rakaman 4K menjadikannya pilihan yang masih relevan untuk kegunaan harian.
Menariknya, peranti ini turut menawarkan fungsi vlog yang sesuai untuk pengguna yang gemar merakam perjalanan atau menghasilkan video kompilasi secara terus daripada telefon. Meskipun begitu, fungsi ini sememangnya berguna namun pilihan templat yang tersedia agak terhad, sehingga ia mungkin kurang fleksibel bagi pengguna yang mahukan lebih variasi.
Secara keseluruhan, pengalaman saya menggunakan kamera Infinix GT 30 boleh dianggap sederhana. Ia mampu memenuhi keperluan asas fotografi dan videografi. Namun bagi pengguna yang mementingkan hasil lebih profesional dan konsisten, peranti ini mungkin bukan pilihan utama. Sebaliknya bagi pengguna kasual yang mengutamakan fungsi asas serta bajet berpatutan, GT 30 masih menawarkan nilai yang wajar dipertimbangkan.
Bateri Dan Pengecasan
Ketahanan bateri pada peranti ini boleh dikatakan baik dalam aspek penggunaan harian. Dengan kapasiti 5500mAh, ia mampu bertahan sepanjang hari walaupun digunakan untuk permainan, penstriman video serta menerima pemberitahuan berterusan. Sementara itu, pada penggunaan yang lebih ringan, baterinya boleh bertahan sehingga kira-kira satu setengah hari.

Prestasi ini boleh dianggap sebagai standard kerana kebanyakan peranti dalam kelas yang sama turut menawarkan ketahanan bateri yang setara. Dari segi pengecasan, peranti hadir dengan pengecas pantas 45W yang disertakan dalam kotak. Bateri boleh diisi daripada 0 – 50% dalam kira-kira 30 minit sementara itu pengecasan penuh mengambil masa kurang daripada satu jam. Selain itu, ia turut menyokong ByPass Charging bagi mengurangkan haba ketika bermain permua serta pengecasan berbalik 10W.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Infinix GT30
- 1 x Kepala Pengecas 45W.
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
- 1 x Pelindung skrin.
Kesimpulan
Infinix GT 30 boleh dianggap sebagai peranti kelas pertengahan yang menawarkan prestasi stabil untuk kegunaan harian. Ia mampu menjalankan permainan popular dengan kadar bingkai konsisten walaupun terdapat batasan pada sesetengah permua.
Dari segi rekaan, sebahagian elemen mungkin tidak sepenuhnya selari dengan trend semasa namun masih berfungsi dengan baik. Pengurusan haba juga memuaskan dengan peranti hanya terasa suam walaupun digunakan untuk sesi permainan yang panjang. Hayat bateri pula memberi ketahanan yang baik sepanjang hari.
Infinix GT 30 sesuai untuk mereka yang mahukan peranti seimbang di antara prestasi harian, pengalaman permainan kasual dan bateri tahan lama tanpa perlu berbelanja besar pada peranti berprestasi tinggi. Ia lebih ditujukan kepada pengguna umum serta pemain kasual berbanding mereka yang mencari prestasi gaming tahap tinggi atau rekaan premium sepenuhnya.
Pro
- Prestasi stabil untuk harian dan permainan kasual.
- Butang bahu GT Triggers untuk permua.
- Haba terkawal walaupun digunakan lama.
- Bateri 5500mAh tahan sepanjang hari.
- Pengecasan pantas 45W penuh kurang sejam.
- XOS 15 dengan Android 15 serta pelbagai ciri AI.
Kontra
- Masih menggunakan Android 15.
- Rekaan kurang selari dengan trend semasa.
- Hasil ciri AI kadang tidak konsisten.
- Kurang sesuai untuk gaming tahap tinggi.




