Infinix Note Edge muncul sebagai peranti kelas pertengahan yang praktikal untuk digunakan. Dari segi rekaan, ia dilihat kemas malah mampu bersaing dengan pesaing lain dalam segmen yang sama. Namun, persoalan utama terletak pada perkakasan dalaman serta pengalaman penggunaan sebenar. Untuk lebih lanjut, teruskan membaca ulasan penuh mengenai peranti ini.

Spesifikasi Peranti
| Infinix Note Edge | |
|---|---|
| Skrin | AMOLED, 1B colors, 120Hz 6.78″ (1208 x 2644 pixels)19.5:9 ratio (~429 ppi) Corning Gorilla Glass 7i |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 7100 (6 nm) |
| Cip | 4 x 2.4 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Mali-G610 MC2 |
| RAM | 8GB RAM (+8GB RAM Maya) |
| Muatan Dalaman | 256GB (tiada kad mikroSD) |
| Kamera Utama | 50MP (lebar) Dual-LED flash, HDR, panorama 1440p@30fps / 1080p@30fps |
| Kamera Depan | 13 MP, f/2.2 (lebar) 1440p@30fps / 1080p@30fps |
| Bateri | 6500 mAh Berwayar 45W Bebalik 10W Bypass charging |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP65 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM999 (8/256GB) |
Pengalaman Penggunaan
Pengalaman memegang peranti tidak hanya berada dalam genggaman semata malah terasa seakan “menggenggam kembali”. Saya juga kerap memusingkan peranti di tangan bukan untuk memeriksa notifikasi tetapi merasai cengkaman yang berbeza. Tubuh yang nipis dan ringan memberi pengalaman penggunaan yang hampir sama dengan beberapa model daripada vivo serta realme. Meletakkannya di dalam poket sama ada di hadapan atau di belakang turut tidak menimbulkan rasa tidak selesa.

Rekaan melengkung pada bahagian hadapan dan belakang menimbulkan persoalan kerana kebanyakan pengeluar kini memilih rekaan berkotak dengan sisi bersegi. Pendekatan ini jelas menunjukkan perbezaan yang dibawa oleh Infinix melalui model terkini mereka. Pun begitu, kosmetik sebegini bersifat subjektif kerana ada pengguna yang menyukainya manakala ada juga yang kurang gemar.
Bagi saya, perkara yang lebih penting ialah aspek praktikal. Peranti mudah untuk digunakan, tidak terlalu besar serta senang dibawa. Keseluruhan faktor ini menjadikan pengalaman penggunaan lebih menyenangkan dan memberi nilai tambah menarik kepada reka bentuk yang ditawarkan.

Prestasi skrin pada Infinix Note Edge boleh dikatakan baik kerana paparan jelas sama ada digunakan di dalam bangunan mahupun di luar. Kebanyakan peranti lain dalam kelasnya sukar digunakan di bawah cahaya matahari terik sehingga pengguna terpaksa menutup skrin dengan tangan untuk membaca mesej.
Berbeza dengan peranti ini, kandungan masih mudah dibaca walaupun di bawah cahaya matahari yang mencabar. Namun, skrin sebegini mempunyai kekangan dari segi perlindungan disebabkan reka bentuk melengkung yang menyukarkan carian pelindung skrin yang sesuai. Malah turut memerlukan penjagaan lebih teliti khususnya pada bahagian tepi untuk ketahanan jangka masa panjang.

Susun atur butang dan port masih mengekalkan elemen standard seperti beberapa peranti Infinix lain. Namun demikian, terdapat sebuah butang akses pantas tambahan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Secara lalai, menekan lama pada butang ini akan membuka aplikasi kamera. Fungsi tersebut turut boleh ditukar kepada pilihan lain melalui tetapan. Dengan kata lain, butang ini berfungsi seakan sama seperti butang tambahan yang ditawarkan oleh pengeluar lain sekaligus menjadikannya lebih fleksibel untuk kegunaan harian.

Infinix Note Edge menggunakan pembesar suara stereo yang ditala oleh JBL, menyokong Hi-Res Audio, serta dilengkapi dengan dua mikrofon. Dari segi pengalaman, bunyinya lantang dan sesuai untuk kegunaan multimedia. Walaupun kedudukan pembesar suara atas dan bawah tidak sepenuhnya seimbang, hasilnya masih lebih baik berbanding kebanyakan peranti lain.

Sebagai contoh, ketika mendengar lagu Good Goodbye nyanyian Hwasa, liriknya jelas kedengaran satu persatu dan instrumen muzik juga sedap didengar di telinga. Ia tidak kedengaran terlalu janggal malah boleh dikatakan cukup memuaskan untuk tontonan video, muzik dan permua walaupun belum mencapai tahap keseimbangan sempurna sepenuhnya. Selain itu, peranti ini juga dilengkapi dengan ketahanan debu dan percikan air IP65 yang menambah keyakinan dalam penggunaan harian.
Perkakasan Dan Perisian Dalaman
Pada awal penggunaan, saya berhadapan dengan beberapa isu. Antaranya seperti peranti tidak dapat disambungkan kepada rangkaian WiFi 2.4GHz walaupun sambungan kepada 5GHz tidak menimbulkan masalah. Situasi ini agak pelik kerana sepanjang saya membuat ulasan sebelum ini, perkara sebegini tidak pernah berlaku. Selain itu, peranti juga tidak dapat menjalankan aplikasi Antutu pada awal penggunaan.

Skrin pula kerap terpadam sehingga terpaksa mematikannya dan menghidupkannya semula. Masalah ini sering berlaku apabila saya menggunakan peranti dalam tempoh yang lama. Keadaan tersebut secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang selesa terutamanya apabila saya terganggu sewaktu sedang mengambil gambar untuk ujian kamera. Pun begitu, semua isu ini berjaya diselesaikan selepas saya memuat turun kemas kini terkini. Selepas kemas kini dipasang, peranti ini berfungsi seperti biasa tanpa lagi mengalami masalah yang disebutkan tadi.
| Cip | Skor |
| Mediatek Dimensity 7100 | 805,806 |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 1,255,130 |
| Dimensity 8400-Ultra | 1,590,533 |
| Dimensity 8450 | 1,437,541 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 788,110 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1,524,100 |
| Tensor G4 | 1,016,712 |
Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Mediatek Dimensity 7100 | 972 | 2827 |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 1264 | 3615 |
| Dimensity 8400-Ultra | 1575 | 6121 |
| Dimensity 8450 | 1615 | 6174 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1146 | 3123 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1137 | 3130 |
| Tensor G4 | 1916 | 4644 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Mediatek Dimensity 7100 | 2513 |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 6367 |
| Dimensity 8400-Ultra | 3839 |
| Dimensity 8450 | 3780 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1037 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 5334 |
| Tensor G4 | 2567 |
Justeru itu, saya meneruskan penggunaan peranti ini dan mendapati ia berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah besar. Proses menaip mesej terasa lancar tanpa lengah masa, manakala menatal lebih responsif berkat sokongan skrin dengan kadar segar semula yang tinggi. Selain itu, proses memuat turun aplikasi tidak mengambil masa yang lama. Pertukaran antara aplikasi juga dapat dilakukan dengan lancar tanpa menyebabkan kegagalan sistem atau peranti terpadam sendiri. Keseluruhan pengalaman selepas kemas kini memberikan rasa lebih meyakinkan dalam menggunakan peranti untuk tugasan harian.

Peranti ini turut menjalankan XOS 16 berasaskan Android 16 dengan beberapa peningkatan utama. Ia juga hadir dengan rekaan Glow-space serta animasi peralihan yang lebih lancar melalui konsep “Liquid Motion Animations”. Antara aspek yang diberi perhatian ialah kebolehan memperibadikan peranti dengan ikon aplikasi baharu, tema tersuai, wallpaper serta kesan unik pada skrin kunci dan skrin utama. Selain itu, terdapat juga penjana tema berasaskan AI yang boleh menghasilkan tema daripada teks atau imej untuk memastikan pengalaman penggunaan lebih mesra pengguna.

Fokus utama XOS 16 ialah integrasi AI yang lebih mendalam. Ia hadir dengan Folax assistant, AI Notes, AI Recording Summary dan Flash Memo yang boleh menangkap kandungan skrin, membuat ringkasan, serta menambah tag untuk pengurusan lebih teratur. Terdapat juga fungsi AI Call Assistant yang menawarkan terjemahan masa nyata, ringkasan panggilan dan fungsi menjawab automatik bagi panggilan penting. XOS 16 turut menyediakan alat untuk menterjemah teks, mengimbas dokumen, membantu penulisan dan menyelesaikan soalan kompleks.

Bukan itu sahaja, XOS 16 menambah baik fungsi kamera dan multimedia. Ia menyertakan ciri AI Eraser yang membolehkan pengguna membuang elemen tidak diingini daripada imej dengan mudah, serta fungsi Image Extension yang boleh meluaskan paparan gambar mengikut kehendak pengguna. Untuk permua, ia menawarkan mod prestasi seperti Performance, Balanced, dan Power Saving, di samping ciri yang menjadikan animasi lebih lancar dengan menambah bingkai tambahan pada paparan. Fungsi bypass charging juga disediakan untuk memastikan sesi permainan lebih stabil tanpa menjejaskan bateri.

Kamera Dan Kualiti Gambar
Infinix Note Edge hadir dengan sistem kamera yang ringkas tetapi praktikal. Kamera utama menggunakan sensor 50 MP dengan sokongan PDAF untuk fokus pantas. Rakaman video turut menyokong resolusi sehingga 1440p@30fps dan 1080p@30fps. Untuk kamera swafoto, peranti ini menggunakan sensor tunggal 13 MP dengan bukaan f/2.2 (lebar). Sama seperti kamera utama, ia juga menyokong rakaman video pada resolusi 1440p@30fps dan 1080p@30fps.








Prestasi kamera pada Infinix Note Edge boleh dikatakan tidak konsisten. Ada masanya hasil gambar kelihatan biasa sahaja manakala pada masa lain kualitinya rendah sehingga mengecewakan. Kebanyakan foto kelihatan terlebih tajam tetapi warnanya cenderung kusam. Selain itu, terdapat isu pada panjang fokal apabila paparan menunjukkan pilihan ultra-lebar 0.6x sedangkan kamera sebenarnya masih berada pada panjang fokal 1x. Hasil yang paling baik hanya dapat dicapai pada panjang fokal 2x namun apabila melebihi daripada itu kualiti menurun dengan ketara.





Untuk penggambaran malam, prestasi kamera pada Infinix Note Edge kelihatan kurang memuaskan terutama dari segi keseimbangan warna putih yang tidak konsisten. Mod potret pula hanya memberikan kualiti sederhana kerana tona kulit kelihatan kusam. Kesan bokeh boleh dihasilkan dengan penggunaan panjang fokal 35mm atau 50mm namun kualitinya sederhana dan boleh hilang sekiranya mod pelangsing badan (Curve Body) digunakan. Selain itu, pemisahan antara subjek dan latar belakang kurang kemas menjadikan hasil potret tidak begitu menarik.





Super Night Mode pada Infinix Note Edge cuba meningkatkan pencahayaan keseluruhan gambar, tetapi hasilnya tidak begitu sesuai apabila keadaan sudah mempunyai pencahayaan mencukupi. Masalah imbangan warna putih masih ketara menjadikan gambar malam kelihatan kurang semula jadi. Dari segi rakaman video, penstabilan yang ditawarkan mampu berfungsi dengan baik namun hanya terhad kepada resolusi 1080p pada 30fps. Jika menggunakan resolusi 2K pada 30fps, warna kelihatan lebih menarik dan hasilnya lebih tajam tetapi pilihan ini tidak disertakan dengan penstabilan yang sama baik.





Dari segi pengalaman menggunakan aplikasi kamera pada Infinix Note Edge terasa kurang lancar kerana aplikasi kamera sesekali mengalami lengah masa. Ada keadaan di mana peranti ini sukar dibuka semula selepas ditutup tanpa keluar terlebih dahulu daripada aplikasi kamera dan isu yang sama boleh berlaku pada aplikasi lain sehingga menjejaskan kelancaran penggunaan. Masalah ini bagaimanapun berlaku sebelum kemas kini yang saya sebutkan dalam ruangan perisian. Selepas kemas kini, prestasi menjadi lebih baik walaupun lengah masa masih berlaku dalam beberapa keadaan tertentu.



Dari segi kedudukan butang kamera di bahagian tepi yang agak ke bawah menjadikan penggunaannya sedikit janggal. Walaupun begitu, terdapat satu mod tambahan iaitu Sky Shop. Mod ini cuba memberikan kesan menarik pada gambar dengan latar langit atau awan, tetapi dalam beberapa keadaan ia sukar mengesan objek atau bangunan dengan tepat menyebabkan hasilnya tidak selalu konsisten.
Bateri Dan Pengecasan Pantas
Dari segi bateri, kapasiti 6,500 mAh memang besar dan digabungkan dengan pengecasan pantas 45W. Namun begitu, pengalaman sebenar menunjukkan variasi yang ketara. Ada ketika ia mampu mencapai sehingga 9 jam SOT manakala dalam situasi lain hanya sekitar 5 hingga 6 jam bergantung pada tahap penggunaan.
Sebagai contoh, saya berjaya mencatat 6 jam 1 minit dengan baki 7% ketika penggunaan berat, 9 jam dengan baki 6% sewaktu penggunaan kerap, 5 jam 17 minit dengan baki bateri 19% dalam penggunaan minimum dan 5 jam 35 minit dengan baki 18% dalam penggunaan sederhana.
Hal ini memperlihatkan bahawa ketahanan bateri bukan sekadar bergantung pada kapasiti besar yang ditawarkan tetapi dipengaruhi oleh corak penggunaan serta tahap pengoptimasian perisian. Dengan kata lain, ketahanan bateri lebih realistik kerana ia benar-benar bergantung pada cara peranti digunakan bukan sekadar angka di atas kertas.
Apa Dalam Kotak?
Berikut ialah kandungan yang disertakan dalam kotak Infinix Note Edge :
- 1x Infinix Note Edge.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 45W USB-A.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual pengguna.
- 1x Pin SIM.
- 1x Pelindung skrin.
Kesimpulan

Kesimpulannya, Infinix Note Edge ialah peranti kelas pertengahan yang menawarkan pakej menarik dengan beberapa kelebihan utama. Ia menonjol melalui rekaan moden yang selesa digenggam, skrin yang terang walaupun di bawah cahaya matahari, sistem audio stereo ditala oleh JBL serta sokongan AI dalam antaramuka XOS 16. Namun begitu, prestasi kamera dan ketahanan bateri masih tidak konsisten walaupun besar bergantung pada corak penggunaan harian. Secara ringkas, ia sesuai untuk pengguna yang mahukan telefon kelas pertengahan dengan rekaan menarik, audio yang memadai dan ciri AI pelbagai tetapi perlu menerima kompromi pada kamera serta ketahanan bateri.
Pro
- Rekaan moden, nipis, ringan dan selesa digenggam.
- Skrin terang dan mudah dibaca di bawah cahaya matahari.
- Butang akses pantas boleh disesuaikan mengikut keperluan.
- Audio stereo JBL dengan bunyi lantang dan memuaskan.
- Antaramuka XOS 16 dengan integrasi AI.
- Bateri 6500 mAh dengan pengecasan pantas 45W.
Kontra
- Kamera tidak konsisten, terutama dalam pencahayaan rendah.
- Ketahanan bateri tidak stabil bergantung pada corak penggunaan.
- Aplikasi kamera kadang-kadang mengalami lengah masa.
- Skrin melengkung menyukarkan pencarian pelindung skrin yang sesuai.
- Masalah WiFi 2.4GHz dan kestabilan sistem sebelum kemas kini.


