Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

TechnologyGaming
20 Nov 2026 • 6:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Untuk bersaing dengan nama-nama seperti AMD dan Qualcomm dalam industri konsol permainan mudah-alih, Intel telah memperkenlakan siri cip pemprosesan khusus untuk peranti-peranti sedemikian dengan siri cip pemprosesan Intel Arc G3 yang terdiri daripada model Intel Arc G3 Extreme dan juga Intel Arc G3 untuk memberi pilihan kepada penggemar permainan komputer bergantung kepada keperluan dan kemampuan mereka.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Salah satu model konsol pertama yang diperkenalkan menggunakan siri cip pemprosesan ini ialah MSI Claw A8 AI EX+ yang diperkenalkan oleh MSI sewaktu acara Computex Taipei pada pertengahan tahun ini. Kami telah berkesempatan untuk menguji kemampuan cip pemprosesan gaming “generasi pertama” oleh Intel ini, bersama-sama dengan konsol ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

MSI CLAW A8 AI EX+
Skrin8″, 1920×1200 FHD IPS, 120Hz
Skrin Sesentuh
PemprosesIntel Arc G3 Extreme
AI Boost (NPU)
GPUIntel Arc B390
RAM32GB RAM LPDDR5-6400
Storan512GB SSD M.2 2230
Bateri80 Whr
Audio2x 2W Speaker Stereo
Kawalan Dan Lain-Lain1x USB-C (DP / Thunderbolt 4 / PD)
1x Pembaca Kad Mikro SD
1x Butang ABXY RGB
1x Analog Hall Effect Kiri & Kanan RGB
1x D-Pad
1x Trigger analog Kiri & Kanan
1x Bumper Kiri & Kanan
1x Butang View
1x Butang Menu
1x Butang MSI Center M
1x Butang Quick Settings
1x Butang Makro button (M1/M2)
1x Sistem haptik HD
ImbasanPengimbas cap jari pada butang kuasa
Harga JualanRM7699

Konsol MSI Claw A8 AI EX+ yang dihantar kepada kami untuk diuji oleh Intel Malaysia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme yang digabungkan dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan juga storan dalaman terbina sebanyak 512GB.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Dari segi paparan skrin pula, ia tampil dengan panel skrin IPS dengan saiz 8 inci dan resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula 120Hz yang sedikit sebanyak membantu untuk memaparkan output skrin pada kadar yang lebih lancar tanpa isu tersekat-sekat

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Butang-butang dan kayu kawalan juga memiripi alat kawalan Xbox, dan sama seperti konsol MSI Claw sebelum ini, menggunakan suis magnetik Hall Effect yang menjanjikan kawalan yang lebih selesa, teguh dan hampir tiada isu stick drift tidak seperti penggunaan alat kawalan jenis tradisional.

Walaupun ia hadir dengan saiz yang besar, konsol MSI Claw A8 AI EX+ ini rasa cukup ringan untuk diangkat dan dipegang, walaupun dengan berat 785g. Saya katakan ini, tetapi apabila saya memainkan permainan dengan konsol ini untuk lebih dari 30-45 minit, ya lengan saya masih akan rasa sedikit penat.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Dari segi bateri dan pengecasan pula, konsol ini hadir dengan bateri dengan kapasiti pengecasan 80WHr dan hadir dengan sokongan pengecasan pantas 65W melalui salah satu daripada dua palam Thunderbolt 4 terbina. Secara teknikalnya, anda juga boleh menggunakan sambungan Thunderbolt ini untuk menyambungkan konsol ini kepada paparan skrin yang lebih besar, dan sekiranya ia menyokong ciri pengecasan juga, ia juga boleh digunakan untuk mengecas konsol ini sekaligus.

Intel Arc G3 Extreme

Sebelum kita beralih kepada sokongan perisian konsol ini, MSI Claw A8 AI EX+ merupakan antara konsol pertama yang menggunakan cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme, dan adalah konsol permainan PC mudah alih pertama yang memasuki pasaran Malaysia.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Bercakap mengenai cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme, Ini merupakan cip pemprosesan Intel pertama yang dibina khusus untuk konsol-konsol permainan PC mudah-alih, sama seperti apa yang dibina oleh AMD sebelum ini dengan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z2 mereka.

Model cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme yang tampil menguasakan konsol MSI Claw A8 AI EX+ terdiri daripada 14 teras fizikal dan 14 bebenang kuasa terdiri daripada 2 teras Performance, 8 teras Efficiency dan 4 teras Low Power Efficient. Rekabentuk cip yang digunakan adalah asas Panther Lake sama seperti cip Intel Core Ultra X7 285H yang kami ulas sebelum ini, tetapi dengan konfigurasi teras yang berbeza.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Sama seperti cip Panther Lake tersebut, cip ini juga merumahkan cip Intel Arc B390 yang sama, dan cip inilah yang memberikan cip Intel Arc G3 Extreme kemampuan pemprosesan grafik dalam permainan yang sangat baik sekali, dan digabungkan dengan penggunaan tenaga bateri yang cekap.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Konsol ini boleh digerakkan dengan penggunaan kuasa serendah 15W sehingga 45W bergantung kepada olahan grafik dan kadar segar semula permainan, tetapi secara lazimnya tetapan asal 25W adalah memadai untuk kebanyakan permainan dan memberi keseimbangan terbaik antara mutu olahan grafik dalam permainan dan juga penggunaan kuasa bateri.

Dari segi teknikal yang lain, cip pemprosesan ini juga boleh menyokong konfigurasi memori sehingga 96GB, tetapi untuk konsol ini, konfigurasi memori yang ditetapkan adalah pada 32GB sahaja.

Ia juga menyokong teknologi sambungan moden yang lain seperti PCIe 5.0, WiFi7, Bluetooth 6.0 dan lain-lain. Seperti yang dapat diperlihatkan pada konsol MSI ini, ia merumahkan dua palam Thunderbolt 4 yang menyokong sambungan pantas tersebut untuk kadar penghantaran dan pengecasan yang pantas.

Pengalaman Pengguna

MSI Claw A8 AI EX+ hadir dengan rekaan yang pada pendapat saya agak generik, khususnya dengan kepelbagaian jenis konsol yang boleh didapati di pasaran sekarang oleh jenama-jenama seperti ASUS, Lenovo, Ayaneo, GPD dan sebagainya.

Dari segi antaramuka pula, sistem operasi Windows 11 digunakan dengan antaramuka Xbox Mode digunakan secara lalai. Dalam mod ini, antaramuka desktop Windows 11 MSI juga menawarkan perisian MSI Center M untuk memudahkan akses kepada platform-platform gedung permainan digital yang berbeza, dan juga untuk mengemaskini perisian pemandu konsol, dan juga komponen-komponen dengan mudah. Pertukaran antara kedua-dua mod antaramuka ini juga adalah mudah sekali dengan butang-butang di sebelah paparan.

Konsol ini juga tampil dengan paparan skrin IPS 8.0 inci dengan resolusi 1920×1200 dan kadar segar semula 120Hz yang secara teorinya cukup besar dan jelas untuk konsol sebegini, tetapi bagi saya, dengan harga konsol ini yang cukup mahal sekali, penggunaan panel IPS tidak memperlihatkan olahan warna yang cantik seperti apa yang dapat dilihat pada konsol Lenovo Legion Go 2 yang pernah kami ulas sebelum ini.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Walaupun begitu, dari segi prestasi olahan grafik dan kelancaran permainan, konsol yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme ini pada pendapat saya adalah jauh lebih lancar berbanding konsol ASUS ROG Ally X saya sendiri yang saya gunakan untuk menggerakkan permainan-permainan kegemaran saya.

Dari segi prestasi permainan, kami telah menguji konsol MSI Claw A8 AI EX+ ini dengan beberapa permainan baru dan juga teruji, seperti Blood of The Dawnwalker, Marvel Tokon dan juga Cyberpunk 2077. Bermula dengan Blood of The Dawnwalker, permainan ini digerakkan pada resolusi Full HD dengan tetapan Medium dan boleh digerakkan pada kadar 40-50 FPS, dan ini dilakukan sebelum pengoptimasian permainan. Jangkaan saya ialah apabila konsol dan cip pemprosesan menerima kemaskini terbaru, permainan ini boleh digerakkan pada kadar 60FPS dengan tetapan yang sama tanpa begitu banyak masalah.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Permainan bertarung Marvel Tokon pula boleh dimainkan dengan tetapan tinggi, resolusi Full HD dan juga kadar segar semula stabil 60FPS dengan selesa sekali. Had kadar FPS juga adalah tetapan dalam permainan, dan jangkaan kami ialah sekiranya permainan ini mengalih had kadar tersebut, konsol ini boleh menjana lebih banyak bingkai lagi, menjadikan pengalaman permainan ini jauh lebih lancar.

Permainan yang mungkin akan mengejutkan pengguna dengan kestabilan dan kelancarannya ialah Cyberpunk 2077. Kami menggerakkan permainan ini pada resolusi Full HD dengan tetapan tinggi, dan mungkin kerana pengoptimasiannya yang kini sangat baik dalam pelbagai konfigurasi komputer.

Konsol ini berjaya menggerakkannya pada kadar 60FPS dengan selesa, walaupun terdapat beberapa ketika, khususnya apabila dalam babak-babak aksi yang berpanjangan, kadar bingkai boleh turun sedikit ke 45-50FPS. Apabila olahan grafik menggunakan XeSS 3, kadar bingkai tersebut meningkat ke hampir 100FPS secara stabil.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Sistem penyejukan MSI Cooler Boost HyperFlow juga membantu mengalirkan haba dari komponen CPU, memori dan storan keluar dari konsol dengan cekap. Tidak dinafikan bahawa udara yang dialirkan khususnya dari bahagian atas dan belakang konsol adalah panas, tetapi bahagian alat kawalan dan butang-butang gaming kekal sejuk ataupun suam dan langsung tidak mengganggu pengalaman gaming kami.

Jika ada satu isu yang mungkin saya tidak begitu gemar ialah kipas penyejukan HyperFlow tersebut akan menjadi agak bising apabila ia perlu berpusing dengan laju untuk mengalirkan haba. Ia bukanlah satu isu yang besar, tetapi jika anda bermain dengan output audio menggunakan pembesar suara terbina, ia mungkin menjadi sesuatu yang agak menjengkelkan untuk anda.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Menariknya, konsol ini secara lazimnya akan bertahan selama dua ke dua jam setengah apabila dimainkan pada bateri penuh bergantung kepada permainan yang digerakkan. Bagi saya, ini bukan satu isu yang begitu serius kerana jujur saya katakan bahawa lengan saya akan menjadi terlalu penat untuk memegang konsol ini dalam masa jauh lebih singkat sebelum bateri konsol ini mati.

Dari segi pengecasan, konsol ini menyokong pengecasan pantas 65W dan jika anda sudahpun memiliki pengecas pantas untuk peranti pintar dan juga komputer riba, anda boleh menggunakan pengecas tersebut dengan konsol ini tanpa masalah. Dengan bateri terbina 80WHr, konsol ini boleh dicas dari kosong sehingga penuh dalam tempoh kurang dari 2 jam secara konsisten.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Ini juga adalah satu cara untuk saya mengatakan bahawa cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme yang menguasakan konsol ini adalah cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai jenis permainan komputer yang boleh dimainkan hari ini, dan isu bottleneck ataupun had prestasi adalah lebih kepada bagaimana jenama-jenama peranti mengoptimasikan rekaan konsol mereka.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x MSI Claw A8 AI EX+
  • 1x Pengecas 65W
  • 1x Manual

Penutup

MSI Claw A8 AI EX+ yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme kini menampilkan pilihan baru untuk pengguna yang berminat untuk membeli sebuah konsol permainan komputer mudah-alih untuk membolehkan mereka memainkan permainan-permainan komputer kegemaran tidak kira dimana mereka berada.

Walaupun begitu, konsol ini kini dipasarkan pada harga RM7699 menurut laman web MSI Malaysia, dan buat masa ini, konsol ini nampaknya sudah habis dijual. Pada harga tersebut, sukar untuk saya mengesyorkan orang ramai untuk membelinya, melainkan anda sudahpun tekad mahukannya untuk diri sendiri.

Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih

Tidak lama lagi, akan ada beberapa konsol permainan mudah-alih lain yang dikuasakan cip Intel Arc G3 Extreme yang akan memasuki pasaran tempatan. Jika stok konsol MSI Claw A8 masih belum dikemaskini, anda kelak berpeluang memilih konsol-konsol permainan lain yang juga dikuasakan oleh cip pemprosesan gaming khas oleh Intel ini.

Pro:

  • Prestasi CPU Intel baru yang sangat baik untuk konsol permainan PC mudah-alih.
  • Sokongan untuk pelbagai gudang permainan PC.
  • Gabungan Xbox Mode dan perisian MSI Center M mudah digunakan.
  • Jangka-hayat dan kadar pengecasan bateri yang memuaskan.

Kontra:

  • Konsol berat yang menyukarkan sesi gaming yang lama.
  • Kipas bising pada penyejukan maksima.
  • Harga pasaran yang melambung tinggi, tetapi masih sukar untuk dibeli.
Image from: Ulasan MSI Claw A8 AI EX+ (Intel Arc G3 Extreme) – Pesaing Baru Dalam Ruang Konsol Mudah-Alih
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved